+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, May 13, 2008

Kisah lompat parti - Apa dah jadi...?

Agenda Daily




Ketika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya petang Isnin dimana beliau masih lagi mempertahankan dakwaannya sudah mempunyai cukup bilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan bersamanya membentuk kerajaan baru...di Dewan Rakyat lain pula suasananya.

Nama-nama yang disebut akan berhijrah menyertai Anwar, satu persatu membuat penegasan mereka bukan sahaja akan tetap bersama BN tetapi menafikan akan menjadi penumpang kerajaan baru Anwar tersebut.

Malah ada yang memberi penegasan yang dicari ialah keadilan bukan Parti Keadilan dan menyifatkan dakwaan Ahli-Ahli Parlimen BN dari Sabah yang paling ramai akan melompat sebagai satu penghinaan kepada mereka.

Antara mereka yang berada dalam senarai teratas, kumpulan yang didakwa akan melompat parti secara terbuka membuat penafian kepada Agendadaily ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Raden, Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr,. Makin Marcus Mojigoh, Ahli Parlimen Arau dan Datuk Ismail Kassim. Manakala Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mengambil sikap tidak mahu membuat ulasan.

Menurut mereka, walaupun suara mereka di dalam Dewan Rakyat macam pembangkang itu tidak bererti mereka akan menyertai pembangkang tetapi sebaliknya melahirkan suara akar umbi dari Sabah yang mengharapkan kerajaan berlaku adil kepada mereka.

Ini satu penghinaan

Anifah Aman menegaskan, beliau tidak mempunyai niat untuk melompat parti apatah lagi hendak menyertai pakatan pembangkang dan menyifatkan dakwaan ada yang akan lompat parti satu penghinaan kepada Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah.

“Buat masa ini saya tidak pernah berjumpa dengan pembangkang. Saya tidak ada niat untuk melompat parti seperti yang didakwa,” katanya kepada Agendadaily hari Isnin di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataanya semasa mencelah perbahasan menjunjung kasih atas titah Diraja Ahli Parlimen Tuaran dengan menyatakan, isu-isu berkepentingan rakyat Sabah kini tenggelam ekoran adanya dakwaan ada Ahli Parlimen BN akan melompat parti.

Anifah yang sebelum ini menolak perlantikan sebagai Timbalan Menteri menjadi tumpuan dalam isu melompat parti kerana kononnya beliau tidak berpuashati dengan kepimpinan dan parti.

Malah kenyataan keras beliau mengenai nasib rakyat dan negeri Sabah menghangatkan lagi spekulasi seolah-olah kenyataan kerasnya itu member indikasi bahawa beliau akan meninggalkan BN.

Terdahulu semasa mencelah perbahasan, beliau berkata banyak isu-isu penting mengenai Sabah ditenggelami dengan dakwaan melompat parti dan dakwaan itu merupakan satu penghinaan kepada mereka.

Saya tak jumpa Anwar

Ghapur Salleh pula menafikan beliau ada menemui penasihat PKR, Anwar Ibrahim.

"Orang lain saya tidak tahu tapi saya tidak ada jumpa dia," katanya ringkas.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas mengenai cakap-cakap akan berlaku lompat parti di kalangan Ahli Parlimen BN ke pakatan pembangkang dan beliau adalah antara nama yang disebut-sebut salah seorang daripadanya.

Menurut beliau, tidak ada sebab untuknya melompat parti jika masalah yang ada sekarang boleh diselesaikan oleh kerajaan.

"Bagi saya tidak guna kita dengar janji di luar jika kerajaan ini boleh selesaikan masalah yang ada," jelasnya.

Terdahulu semasa berucap membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, beliau melahirkan rasa tidak puas hati rakyat Sabah terhadap cara kerajaan mengendalikan masalah yang timbul di negeri itu.

Katanya, Sabah telah dianak tirikan bukan sahaja dalam soal perlantikan menteri Persekutuan dari Sabah tetapi juga dalam soal pembangunan.

Beliau turut memberi amaran, sekiranya kerajaan sekarang tidak memperbetulkan hal-hal yang berlaku, beliau yakin pada pilihan raya akan datang rakyat akan menghukum BN.

Beliau juga menolak perbuatan melompat parti tetapi tidak menolak kemungkinan dalam usaha penubuhan parti baru.

Mereka boleh buat spekulasi

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar berpendapat, pihak-pihak tertentu boleh membuat spekulasi dengan cuba mengaitkan dirinya sebagai salah seorang yang akan menyertai parti pembangkang.

Katanya, beliau bukan sahaja tidak akan mengambil tindakan mengkhianati rakyat yang memilihnya sebagai wakil rakyat BN malah menolak sebarang kemungkinan lompat parti itu akan berlaku.

"Isu besarnya bukan soal lompat parti tetapi ialah harapan rakyat Sabah agar kerajaan menunaikan janji yang dibuat. Memang ada orang yang kecewa tetapi tidak sampailah nak keluar parti. Apa yang mereka mahu ialah suara mereka didengar dan segala janji yang dibuat ditunaikan.

"Kita sudah jumpa Perdana Menteri dan sampaikan harapan kita. Ada janji yang dibuat jadi kita harap janji-janji itu ditunaikan," jelasnya.

Dakwaan hanya nak pecah belahkan perpaduan

Ahli Parlimen Tenom, Raime Unggi turut menegaskan beliau tidak ingin pun untuk menyertai pembangkang kerana isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah soal nasib rakyat dan negeri Sabah.

Sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN dari Sabah yang disebut-sebut akan melompat parti, beliau berkata, isu melompat parti tidak akan terjadi kerana dakwaan tersebut penuh dengan muslihat politik.

“Dakwaan melompat parti ini hanya bertujuan untuk memecah belahkan perpaduan kita,” katanya kepada Agendadaily.

Menurut beliau, isu utama bukanlah soal melompat parti tetapi keseriusan kerajaan membantu rakyat dan negeri Sabah yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Antaranya kata beliau, ialah soal kemiskinan yang masih lagi menjadi isu utama yang perlu diberikan perhatian di samping isu-isu pembangunan.

“Yang kita mahu ialah keseimbangan pelaksanaan program pembangunan kerana sokongan rakyat kepada BN bukan sedikit. 140 kawasan Parlimen satu jumlah yang besar dan kukuh. Dengan itu jangan kita tenggelam dengan isu lompat-melompat kerana ada perkara yang lebih besar perlu diberikan keutamaan,” ujar beliau.

Ini semua sampah

Ahli Parlimen Putatan, Dr. Makin pula menganggap cerita kononnya ada di antara mereka akan melompat parti dan menyertai pakatan pembangkang adalah 'sampah'.

Katanya, beliau secara peribadi tidak akan berbuat demikian malah memilih untuk meletakkan jawatan sekiranya kerajaan yang dipilih oleh rakyat tidak dapat melaksanakan janji-janji pembangunan yang sepatutnya telah lama dilaksanakan di Sabah.

"Kami adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat daripada parti yang memerintah. Apa yang kami tuntut ialah pelaksanaan segala janji pilihan raya yang telah dibuat sejak dahulu lagi, bukan soal kami nak lompat parti," jelasnya.

Saya tiada keinginan

Ahli Parlimen Arau, Ismail Kassim yang turut disebut-sebut sebagai salah seorang Ahli Parlimen BN yang akan 'melompat' menyertai pakatan pembangkang menegaskan, beliau tidak punya keinginan untuk berbuat demikian.

Katanya, tidak ada sebarang perundingan atau perjumpaaan yang melibatkan dirinya berhubung dengan perkara itu.

"Ini cuma khabar angin," katanya.

Malah beliau menambah, jika diikutkan cakap-cakap, ramai lagi Ahli Parlimen BN yang disebut-sebut akan menyertai pembangkang.

Selain itu jelasnya, jika ada pun mereka terserempak ia tidak harus ditafsir sebagai adanya rundingan.

Nama beliau dikaitkan akan melompat kerana kononnya beliau tidak berpuashati dengan kepiminan BN yang tidak melantik semula abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Menteri Besar Perlis.

Saya tak ada komen

Sementara itu, Ahli Parlimen BN kawasan Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mengelak untuk memberikan sebarang ulasan mengenai isu adanya Ahli Parlimen BN khususnya dari Sabah akan melompat parti menyertai pakatan pembangkang.

Agendadaily yang menemuinya di Parlimen meminta ulasan beliau kerana namanya disebut-sebut oleh pihak PKR sebagai wakil dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menemui Anwar di luar negara baru-baru ini.

"Saya tidak ada komen mengenai perkara itu buat masa ini," katanya. - 12/5/2008


-------------------------------




Apa cerita sidang akhbar Anwar….

Terdapat sikit hu ha bila tersebarnya pengumuman Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim nak adakan sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya jam 2.30 petang Isnin.

Pengumuman itu menjadi perbualan bukan saja dikalangan para wartawan dan orang politik tetapi sebilangan ahli parlimen yang sedang menghadiri sidang Dewan Rakyat juga tertanya-tanya apa ceritanya.

Ada juga yang menduga kemungkinan sesuatu ‘ berita besar’ akan muncul dari sidang akhbar itu berdasarkan timing nya dalam senario hangatnya spekulasi kemungkinan ada ahli parlimen Barisan Nasional yang nak melompat ke pembangkang.

Kira-kira 30 orang wartawan dan jurugambar serta dari agensi berita asing hadir pada sidang akhbar itu.

Anwar muncul bersama Timbalan Presiden PKR Dr Syed Hussein Ali dan Dr Jeffery Kittingan di ruang tamu rumah banglo yang dijadikan pejabatnya itu sambil dengan nada jenaka bertanya mereka ‘ ada apa berita yang menarik.’

Beliau memulakan sidang akhbarnya dengan membacakan satu kenyataan ringkas berhubung dengan laporan Suruhanjaya Diraja mengenai kes klip video VK Lingam yang sudah diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

Kenyataan itu nampaknya tidak begitu menarik minat para wartawan sehingga beliau terpaksa meminta soalan pertama difokuskan kepada hal itu dulu.


Ini bila mana wartawan pertama yang nak bertanya soalan berkata bolehkan dia kemuka soalan lain dari isu itu yakni mengenai isu lompat parti.

Setelah menjawab beberapa soalan mengenai kenyataannya tentang laporan suruhanjaya itu para wartawan mula tumpu menembak berbagai soalan khusus mengenai spekulasi terbaru tentang lompat parti.


Antaranya mereka nak tahu betulkah sesuatu akan berlaku pada hari Rabu ini merujuk kepada satu laporan Agendadaily tentang kemungkinan 17 orang ahli parlimen BN kebanyakannya dari Sabah nak melompat Rabu ini.

Apapun sepanjang sidang akhbar itu Anwar tidak dapat memberi sebarang indikasi yang meyakinkan sesuatu yang besar bakal berlaku dalam masa terdekat.

Beliau sebaliknya banyak bermain dengan teka teki dan mengulangi kenyataannya yang pernah dibuatnya sebelum ini bahawa pakatan pembangkang akan dapat membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.

Penasihat PKR itu juga mempertahankan dakwaannya bahawa mereka sudah ada dalam tangan jumlah ahli parlimen BN yang mencukupi untuk tujuan itu dan hanya menunggu masa.

Ditanya kalau sudah cukup kenapa langkah membentuk kerajaan itu tidak dibuat sekarang,Anwar memberi alasan sesuatu perubahan besar perlu dibuat dengan teliti dan tidak boleh tergesa-gesa.

"Saya sudah jelaskan, biar UMNO dan BN buat spekulasi masing- masing. Kita ambil langkah mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur dan kita akan umumkan pada waktu yang tepat,”katanya.

Anwar secara sinis berkata beliau tidak mahu umum diketika UMNO dalam keadaan kelamkabut menghadapi macam-macam hal sekarang akan akan menunggu waktu mereka ‘tengah selesa’.

Beliau juga memberi alasan mahu isu ini diperbahaskan secara meluas di seluruh negara agar tidak menimbulkan ketegangan bila ia berlaku.

Ditanya tentang soal itu Anwar berkata beliau yakin tidak berlaku huru hara dalam negara bila kalangan ahli parlimen BN melompat parti kelak.

Menurutnya ini terbukti dengan keadaan aman di empat negeri lagi yang berjaya di tawan oleh pembangkang semasa pilihanraya 8 Mac lalu.

Menjawab soalan lain Anwar berkata mereka memberi kebebasan kepada mana-mana ahli parlimen BN yang nak melompat membuat pengumuman itu secara bersendirian dari masa ke semasa menjelang 16 September ini.

Katanya hanya apabila tiba masanya bila nak buat ‘pengumuman besar’ baru beliau akan tampil.

Menjawab satu lagi soalan tentang kemungkinan BN membubarkan parlimen untuk mengelakkan peralihan kuasa melalui langkah lompat parti, Anwar berkata mereka sedia berdepan dengan kemungkinan itu.

Namun katanya jika pilihanraya semula hendak diadakan ia tidak harus dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang sedia ada.

Katanya jika pilihanraya semula diadakan beliau yakin BN akan kalah teruk.

Ditanya pula tentang pandangan bahawa para pengundi di sesuatu kawasan yang mengundi BN berhak memprotes jika ahli parlimen mereka melompat kerana mereka telah mengundi calon BN, beliau menjawab sebagai negara yang amalkan demokrasi mereka berhak memprotes.

Ditanya tentang pendirian Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak setuju dengan tindakan lompat parti kerana menggangap perbuatan itu tidak ‘ manusia’ ,Anwar berkata beliau ada bercakap mengenainya dengan Menteri besar Kelantan itu.

Beliau mempertikaikan pandangan yang mengatakan tindakan melompat parti ini tidak bermoral.

Anwar mendakwa banyak penipuan berlaku semasa pilihanraya umum baru ini termasuk pembatalan pengunaan dakwat pada jari.

Diminta mengulas pandangan bahawa beliau berusaha habis-habisan untuk menumbangkan kerajaan BN sekarang semata-mata kerana bercita-cita nak jadi Perdana Menteri, Anwar secara sinis menjawab, “ Najib nak jadi Perdana Menteri,Muhyiddin nak jadi Perdana Menteri you tak tanya...I nak jadi Perdana Menteri jadi masalah...pasal apa ?”.- 12/5/2008


----------------------------------------



Saya pegang cakap Mursyidul Am - Timbalan Presiden PAS

Gamat mengenai isu lompat parti selama ini hanya kedengaran daripada sebelah pihak Parti keadilan Rakyat (PKR). Sekutu rapat PKR iaitu PAS nampaknya sehingga kini masih belum membuat sebarang pendirian.

Bagi mendapatkan gambaran apakah sentimen sebenar PAS, Agendadaily hari Isnin telah menemui Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Md. Isa yang dalam perbualan ringkas dengannya, beliau berkata: “Secara peribadi saya berpegang kepada kenyataan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat”.

Nik Abdul Aziz sebelum ini menyifatkan perbuatan melompat parti sebagai tindakan yang tidak bermaruah.

‘‘Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat... mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu, dia main-main lompat. Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti dia tak lompat, orang yang faham tak buat macam itu,” katanya pada 22 Mac lalu di Kota Bharu.

Menurut Nasharuddin, secara keseluruhannya usaha PKR khususnya penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyertai pakatan pembangkang tidak lagi dibincangkan secara rasmi oleh parti itu.

Malah kata beliau, pihaknya masih lagi meneliti perkembangan tersebut secara teliti sebelum membuat sebarang pendirian mengenainya.

“Kita akan lihat dan kaji dahulu sama ada perubahan tersebut membawa kebaikan atau tidak,” jelasnya.

Ditanya apakah penada aras bahawa melompat parti itu membwa kebaikan, Nasharuddin berkata, ia sesuatu yang agak sukar untuk ditentukan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub ketika ditanya mengenai perkara yang sama memberitahu Agendadaily di lobi bangunan Parlimen, pihaknya akan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat berhubung dengan isu melompat parti ini.

Katanya, belum ada pendirian rasmi PAS mengenai perkara berkenaan kerana semua aspek yang melibatkan isu tersebut sedang diteliti. – 12/5/2008


-------------------------

Shafie nafi anggota BN Sabah lompat parti Rabu ini

Anggota Parlimen Semporna Datuk Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan satu kiriman pesanan ringkas (SMS) mengenai 17 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata dakwaan itu sama sekali tidak benar, sungguhpun beliau mengakui bahawa terdapat suara-suara ketidakpuasan hati di kalangan rakyat Sabah yang sering didengari kini.

"Ia tidak benar, tetapi kita memang tahu ada sentimen ketidakpuasan hati rakyat di Sabah yang mahukan perubahan di negeri itu terutamanya dalam aspek kemudahan prasarana yang minta dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas melawat Istana Budaya di Kuala Lumpur Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang menerima SMS kononnya 16 wakil rakyat dari UMNO Sabah akan melompat parti Rabu ini.

Shafie berkata pihaknya memahami akan keluhan dan lontaran suara rakyat negeri Sabah yang menuntut perubahan dan meminta rakyat negeri di bawah bayu itu supaya bersabar memandangkan pelaksanaan sesuatu perubahan itu mengambil sedikit masa.

Bernama melaporkan Shafie berkata pertukaran parti bukan sesuatu perkara mudah serta ringan, dan ia harus mengambil kira beberapa faktor penting.

"Apa jaminan yang diperolehi jika lompat parti... BN sudah lama wujud hasil dari gabungan semua kaum tetapi parti pembangkang adalah hasil gabungan PAS, Parti Keadilan Rakyat dan DAP, kita kena fikir," katanya.

Shafie meminta masyarakat supaya tidak mempercayai khabar-khabar angin itu dan berkata tumpuan kini adalah untuk membangunkan negeri Sabah.

Terdahulu Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata Istana Budaya merupakan satu platform dalam penyebaran dan pengembangan seni budaya tempatan ke medan antarabangsa.

"Justeru Istana Budaya harus kreatif dalam memilih karya-karya yang mempunyai unsur tradsional dan moden untuk dipentaskan kepada umum, terutama dalam menarik minat generasi muda untuk mencintai seni budaya," katanya.- 12/5/2008

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |