+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 3, 2008

Harga siling simen dimansuh 5 Jun

PUTRAJAYA 2 Jun – Kerajaan hari ini mengumumkan tiga langkah drastik bagi mengatasi masalah gangguan bekalan simen, antaranya memansuhkan harga siling bahan itu di pasaran tempatan berkuat kuasa Khamis ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, bagi menangani masalah yang sama kerajaan juga menetapkan pengimport simen kini hanya perlu membayar duti import pada kadar 10 peratus.

Selain itu, katanya, pengimport simen di Sabah dan Sarawak akan dikecualikan daripada memperoleh lesen import.

Abdullah berkata, langkah liberalisasi simen tersebut melibatkan simen jenis biasa Portland (HS 2523 29 900) dan simen hidraulik (HS 2523 90 000).

“Kerajaan telah menerima banyak aduan mengenai masalah gangguan bekalan simen yang ditetapkan pada harga siling.

“Ini kerana permintaan serta penggunaan simen dalam bentuk beg berbanding pukal telah meningkat di pasaran tempatan manakala harga simen di pasaran dunia pula lebih tinggi daripada harga kawalan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Perdana Menteri, liberalisasi simen tersebut selaras dengan hasrat kerajaan memastikan pembangunan negara berjalan lancar di samping menjamin pasaran simen yang telus serta cekap.

“Masalah gangguan bekalan dan harga yang tinggi di pasaran dunia telah memberikan kesan negatif kepada industri pembinaan sekali gus akan menjejaskan pelaksanaan projek-projek pembangunan negara,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan harga siling simen di pasaran tempatan namun ia melahirkan kebimbangan pembekal mungkin menaikkan harga simen sewenang-wenangnya.

Presiden PKMM, Senator Datuk Roslan Awang Chik tidak menolak kemungkinan pembekal mengambil kesempatan daripada pemansuhan harga siling simen itu.

Menurut beliau, walaupun sebelum ini kerajaan mengawal harga simen tetapi masih wujud fenomena harga simen yang berbeza-beza di pasaran tempatan.

Pada masa ini harga simen ialah RM14 sekampit.

“PKMM menjangkakan ada kecenderungan pembekal menaikkan harga pada paras yang tinggi dalam tempoh tiga bulan ini ekoran pengumuman kerajaan memansuhkan harga siling simen,” kata Roslan ketika dihubungi.

Awal Mei lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemansuhan penetapan harga siling besi keluli di pasaran tempatan bagi menangani masalah kenaikan harga serta kesukaran mendapatkan bahan binaan itu di pasaran.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |