Utusan Online
|
|
KUALA LUMPUR 2 Jun - Pembinaan pasar raya besar atau 'hyper market' secara berleluasa di seluruh negara tanpa mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan telah membunuh peniaga-peniaga kecil.
Presiden DPPM, Syed Ali Alattas (gambar) berkata, walaupun kerajaan menetapkan syarat pembinaannya perlu berada dalam lingkungan 10 kilometer dari bandar, tetapi kebanyakannya tidak dipatuhi.
"Akibatnya ia mengancam dan membunuh bukan sahaja peniaga runcit Melayu bahkan peniaga runcit Cina," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertumbuhan pesat hyper market di negara ini yang ada di antaranya tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Ini termasuk membina pasar raya itu di kawasan yang tidak dibenarkan termasuk di bandar- bandar kecil.
Menurut Syed Ali, pasar raya itu juga memiliki rangkaian pengedaran, pemborongan dan pemasaran produk yang jauh lebih teratur berbanding perniagaan runcit.
Saiz mereka yang besar juga katanya, membolehkan ia menghimpunkan pelbagai produk di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai membeli-belah yang mana di tidak dapat disaingi oleh peniaga kecil.
"Pasar raya besar dimiliki syarikat gergasi yang berkemampuan membeli secara pukal terus dari kilang-kilang selain pada harga yang lebih murah.
"Maka terdapat peruncit Melayu termasuk Cina menderita kerana gagal bersaing sehingga ada yang gulung tikar.
"Kehadirannya ibarat pukulan maut terakhir terhadap peruncit," katanya
Beliau berkata, walaupun pasar raya tersebut mendakwa kehadiran mereka dapat membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan terutama bumiputera namun realitinya tidak begitu.
Syed Ali memberitahu, IKS tempatan sukar menyenaraikan produk mereka di pasar raya besar ekoran halangan kos penyenaraian serta peraturan yang ditetapkan.
Menurut beliau, ketika ini terdapat kira-kira 20,000 produk tempatan dijual di pasar raya besar dan daripada jumlah itu, peruncit bumiputera hanya menyumbang kira-kira 3,000 hingga 5,000 produk.
Menurutnya, untuk berhadapan dengan saingan pasar raya besar, peniaga runcit perlu mengubah cara pengurusan perniagaan mereka dan menghidu peluang perniagaan baru.
Syed Ali turut mencadangkan penubuhan Majlis Pengedaran dan Peruncitan Negara untuk membantu para peruncit.
Katanya, majlis itu berperanan untuk memastikan pemasaran produk dilakukan secara berkesan, terjalinnya suatu rangkaian pengedar dan pemborong yang berkesan dan terdapat kemudahan tapak perniagaan kepada peruncit.
0 comments:
Post a Comment