+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 3, 2008

Perak jumpai mineral berkualiti tinggi

Utusan Online

IPOH 2 Jun - Perak bakal menarik pelaburan besar selepas beberapa syarikat dari Eropah dan Amerika Syarikat berminat untuk menjalankan aktiviti perlombongan mineral bermutu tinggi yang ditemui di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyatakan jenis mineral tersebut dan nilai pelaburan yang bakal diterima daripada syarikat-syarikat asing itu.

Katanya, mineral berkualiti tinggi itu juga bukan bijih timah.

''Sebuah daripada syarikat berkenaan sudah memulakan kajian dan mengesahkan aktiviti perlombongan mineral itu boleh bertahan sekurang-kurangnya untuk tempoh 30 tahun," katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persidangan Geosains Kebangsaan yang turut dihadiri Presiden Persatuan Geologi Malaysia, Yunus Abdul Razak di sini hari ini.

Kira-kira 150 ahli geosains dari seluruh negara mengambil bahagian dalam persidangan itu yang diadakan selama tiga hari.

Menurut Mohammad Nizar, kerajaan negeri juga sedang mempertimbangkan untuk meluluskan pelaburan syarikat-syarikat asing itu bagi mencari gali mineral berkualiti tinggi di Perak.

''Pelaburan syarikat-syarikat berkenaan dijangka mewujudkan sekurang-kurangnya 500 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Perak," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sejak kenaikan harga bijih timah di pasaran antarabangsa akhir-akhir ini, kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada bekas pelombong bijih timah untuk menjalankan semula aktiviti tersebut.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri tidak akan mengeluarkan lesen melombong yang baru tetapi hanya akan membenarkan syarikat perlombongan yang sudah mempunyai lesen menjalankan aktiviti itu.

''Kita mahu pastikan aktiviti perlombongan dijalankan menggunakan teknologi terkini dan mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Geosains dan Mineral.

''Kita tidak mahu kerja-kerja perlombongan boleh menyebabkan berlaku tanah runtuh dan menjejaskan alam sekitar," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |