Harakahdaily Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh Tue | Jun 24, 08 | 1:25:17 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - Tindakan pihak Parlimen menguatkuasakan kawasan larangan terhadap petugas media dan wartawan di kawasan Lobi Parlimen disifatkan sebagai 'tindakan bodoh'. Demikian kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua (KeADILan-Batu) semasa ditemui wartawan dalam mengulas tindakan larangan tersebut. Dengan larangan itu wartawan kini hanya dibenarkan berada di kawasan Sidang Media yang cukup sempit, kata Tian Chua. "Kita membantah tindakan ini yang dilihat bertujuan menghalang pihak wartawan membuat liputan media di Parlimen, sebaiknya media memboikot sahaja laporan Parlimen berikutan tindakan ini," kata Tian Chua. Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) semasa bangkit mengutarakan peraturan mesyuarat bagi menyatakan rasa kesal terhadap larangan itu meminta Yang diPertua Dewan Rakyat menarik semula larangan itu. Ujar Kit Siang, tindakan itu mengesahkan betapa kebebasan media di negara ini berada pada tahap yang teruk. Larangan ini katanya dibuat tanpa sebarang sebab yang munasabah kerana wartawan tidak pernah menggangu ahli Parlimen mahupun kelancaran sidang dewan. Sebelum itu Kit Siang dan Tian Chua turut bertemu dengan pihak wartawan bagi mendengar rintihan mereka terhadap larangan tersebut. Beberapa orang wartawan media tempatan termasuk media berbahasa Cina mengecam tindakan itu sambil meminta larangan itu ditarik semula. Seorang wartawan arus perdana yang enggan namanya disiarkan berkata, larangan ini menjadikan wartawan seolah-olah 'budak' yang hanya perlu mengikut apa sahaja arahan walaupun arahan itu memperbodohkan kalangan wartawan. "Saya fikir ini satu tindakan yang tidak mencerminkan kebebasan, dan lebih baik jika kita boikot sahaja laporan Parlimen, dan jika mereka (ahli Parlimen atau kerajaan) mahukan laporan disiarkan elok sahaja mereka fakskan kepada kami, tak perlu kami ke Parlimen lagi," ujarnya. Sementara itu, beberapa wartawan lain termasuk di kalangan akhbar berbahasa Cina sibuk membincangkan soal larangan itu. Rata-rata menyatakan rasa kesal mereka terhadap larangan tersebut yang membataskan liputan media di Parlimen._ |
Tuesday, June 24, 2008
Larangan kawasan media di Parlimen, 'tindakan bodoh' - Tian Chua
Posted by
Sang Pemantau
at
8:31 PM
Labels: Harakahdaily, media bebas, parlimen
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment