+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 24, 2008

Pendakwa tutup kes Altantuya

Utusan Online

SHAH ALAM 23 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan mendengar lima hujahan dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shaariibuu mulai 23 Julai depan setelah Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah menutup prosiding pada peringkat kes pendakwaan yang masuk hari ke-124, hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin ketika menetapkan tarikh setelah dipersetujui kedua-dua belah pihak menegaskan mahkamah akan mendengar kesemua hujahan tersebut secara berterusan sehingga selesai.

Empat daripada hujahan ialah pecahan kepada prosiding induk perbicaraan kes bunuh Altantuya.

Hujahan pertama dan kedua melibatkan dua prosiding mencabar kebolehpercayaan keterangan dua saksi iaitu saksi pendakwaan ketiga, DSP Mohd. Yusri Hasan Basri dan saksi ketujuh, Lans Koperal Rohaniza Roslan.

Ia melibatkan kenyataan Rohaniza kepada polis pada 16 November 2007 di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur dan mengenai percanggahan empat bahagian keterangan

Mohd. Yusri di mahkamah dengan kenyataan beramaran ketika siasatan.

Hujahan ketiga dan keempat pula menyentuh prosiding perbicaraan dalam perbicaraan berhubung keterangan Cif Inspektor Koh Fei Cheow tentang perlakuan Cif Inspektor Azilah Hadri menunjukkan tempat kejadian kepada polis dan perlakuan Koperal Sirul Azhar Umar menunjukkan barang-barang peribadi milik Altantuya di rumahnya.

Manakala hujahan kelima, mengenai prosiding induk, perbicaraan kes bunuh Altantuya di peringkat akhir kes pendakwaan.

Prosiding hari ini dimulakan pada pukul 10 pagi dengan mendengar keterangan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Polis (ASP) Tonny Lunggan.

Beliau ialah saksi pendakwaan keempat pada prosiding perbicaraan dalam perbicaraan bagi menyangkal dan mematahkan dakwaan tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri berhubung perlakuannya menunjukkan tempat kejadian kepada polis.

Sejurus Tonny selesai memberi keterangan selepas disoal dalam pemeriksaan utama, Tun Abdul Majid memaklumkan pihaknya menutup kes pada peringkat pendakwaan.

Tun Abdul Majid menyenaraikan seramai 144 orang saksi yang ditawarkan untuk diteliti sekiranya pihak pembelaan berminat dan seandainya mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan kelak.

Mahkamah mengambil sedikit masa untuk menentukan tarikh hujahan kerana menurut Hakim Mohd. Zaki, diari mahkamah itu sudah pun penuh sehingga tahun depan.

"Sepanjang 124 hari perbicaraan, nota keterangan prosiding ini telah menjangkaui 4,000 muka surat," kata Hakim Mohd. Zaki yang sering dilihat menggunakan secara maksimum kedua belah tangannya untuk menulis nota tersebut.

Bapa Altantuya, Setev Shaariibuu dan Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi hadir di mahkamah hari ini. Beliau dan isteri penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, Mazlinda Makhzan termasuk dalam senarai saksi.

Azilah, 32, dan Sirul Azhar, 36, didakwa membunuh Altantuya, 28, di antara Lot 12843 dan Lot 16735 Mukim Bukit Raja dekat sini antara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Abdul Razak, 48, pula didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

Tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara pukul 9.45 dan 10.05 pagi pada 18 Oktober 2006.

Menurut Shaariibuu, dia pulang ke Mongolia Khamis ini dan akan kembali mengikuti prosiding pada bulan depan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |