+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, June 24, 2008

Urus niaga beli minyak guna kad kredit dihenti

Berita Harian

Oleh Nahar Tajri

KUALA LUMPUR: Semua stesen minyak di seluruh negara akan menghentikan sementara urus niaga menggunakan kad kredit mulai hari ini sehingga kerajaan memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan komisen jualan minyak.

Keputusan Persatuan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Tempatan (PDAM) itu bagaimanapun hanya membabitkan pembelian minyak, manakala urus niaga di kedai runcit stesen minyak masih menerima kad kredit.

Presiden PDAM, Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima pandangan semua 3,500 ahli persatuan yang terpaksa menanggung beban akibat peningkatan kos operasi, termasuk caj kad kredit yang dikenakan bank.Beliau memberi contoh bagi setiap liter diesel yang dijual, pengusaha hanya memperoleh keuntungan 4.5 sen tetapi terpaksa menanggung caj bank sebanyak 2.58 sen.

"Selepas ditolak kos pengewapan sebanyak 1.29 sen, pengusaha hanya mendapat 0.63 sen yang juga akan ditolak sewa lesen cukai operasi (OLF) dengan kadar yang lebih dari itu. Kadar minimum sewa OLF yang dikenakan adalah 0.63 sen.

"Ini tidak termasuk gaji pekerja, penyelenggaraan serta kos lain yang menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata, walaupun kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan komisen jualan minyak, ia belum dilaksanakan dan pengusaha masih terus menanggung beban kos operasi yang merugikan.

"Oleh itu, selepas mencapai persetujuan bersama, kami putuskan semua urus niaga menggunakan kad kredit dihentikan sehingga kerajaan menaikkan komisen jualan ke tahap yang munasabah dan mampu membantu kami untuk mengatasi kerugian selama ini," katanya.

PDAM sebelum ini menuntut kerajaan menaikkan komisen jualan minyak daripada tiga peratus yang dinikmati sekarang kepada enam peratus.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, dilaporkan berkata kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menaikkan komisen jualan minyak seperti dituntut oleh PDAM.

Beliau berkata, kerajaan akan berusaha memenuhi tuntutan PDAM secepat mungkin kerana ia mempunyai kewajaran akibat beban kos operasi yang semakin meningkat.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |