+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 5, 2008

Akuan bersumpah senjata politik baru, rakyat mula meluat

Mstar Online

05-07-2008 05:07:38 PM
Oleh G. MANIMARAN

(Mutakhir) PETALING JAYA: Rakyat sudah penat dengan 'perang dakwa-mendakwa' dalam isu meliwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kes pembunuhan wanita Mongolia, khususnya yang mengaitkan secara langsung dengan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak?

Ataupun tindakan seumpama itu sengaja membazirkan sumber, dalam apa jua bentuk, dengan mengada-adakan 'perang akuan bersumpah' yang kini seolah-olah menjadi satu 'senjata mematikan' kerjaya politik?

Ketika mengupas isu ini, pemerhati-pemerhati politik tempatan mengakui sudah ada satu trend menunjukkan rakyat juga sudah mula merasakan tuduhan dan dakwaan satu sama lain sebenarnya mengalihkan tumpuan daripada isu-isu sebenar dan soal yang lebih besar di samping membazirkan sumber.

Menurut profesor komunikasi Datuk Dr. Syed Arabi Idid, jika dilihat secara menyeluruh negara mengalami kerugian dalam banyak segi kerana sumber-sumber dihabiskan untuk mengeluarkan akuan bersumpah demi akaun bersumpah.

"Tindakan secara berterusan ini boleh menjejaskan ekonomi, fikiran orang ramai, keyakinan pelabur. Situasi ini sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak sama ada kerajaan atau pembangkang," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ia merupakan akuan bersumpah kedua melibatkan nama Timbalan Perdana Menteri dan keluarganya dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

Dua minggu lalu, penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin mengeluarkan akuan bersumpah yang mengaitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dengan kes pembunuhan Altantuya.

Najib telah pun menyifatkan ia sebagai satu penipuan yang bertujuan mencemarkan imej politik beliau.

Malah Najib juga telah menafikan akuan bersumpah Balasubramaniam sebagai satu pembohongan dahsyat.

Selepas 24 jam mendedahkan kandungan akuan bersumpah pertama kelmarin bersama Anwar, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), bekas penyiasat persendirian Abdul Razak Baginda itu mengeluarkan akuan bersumpah kedua pagi semalam.

Dalam akuan bersumpah kedua Balasubramaniam menarik balik kanduan akaun bersumpah pertama yang menuduh Najib mempunyai hubungan dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Isu Balasubramaniam mendapat perhatian ketika orang ramai masih belum berupaya 'menelan sepenuhnya' dakwaan bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, bahawa dia diliwat oleh bekas timbalan perdana menteri itu di sebuah apartmen mewah di Damansara Heights di sini pada 26 Jun lalu.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata ia adalah konspirasi untuk menjatuhkan karier politiknya.

Anwar menuduh Najib sebagai antara orang yang memainkan peranan penting dalam isu Saiful terhadapnya.

Najib pula mempunyai pandangan berbeza sambil tertanya-tanya mereka beliau diperlakukan sedemikian.

Anwar pula sejak sejurus pilihan raya umum 8 Mac lalu mengumumkan Pakatan Rakyat yang beliau merupakan Ketua Umum akan membentuk kerajaan menjelang 16 September ini.

Beliau telah mengulanginya banyak kali.

Parti Maju Sabah (SAPP) pula mengisytiharkan pendirian tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan merancang untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen minggu lalu tetapi tidak menjadi kenyataan.

SAPP tidak keluar Barisan Nasional (BN) sebaliknya pakatan kerajaan pusat itu telah menghantar surat tunjuk sebab kepada parti itu.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif pusat kajian pendapat umum Merdeka Center, Ibrahiam Suffian mengakui bahawa sudah mula wujud satu bentuk rasa tidak senang ekoran 'perang dakwa-mendakwa' yang berlaku sekarang.

"Perasaan ini semakin berkembang. Ini wujud di kedua-dua pihak sama ada kerajaan ataupun pembangkang," kata beliau sambil menambah, suasana itu akan terus berkembang.

Jelas Ibrahim, keadaan itu menyebabkan tumpuan dialihkan daripada isu-isu yang sebenar dihadapi rakyat, antara soal inflasi, jenayah dan keselamatan serta institusi kehakiman yang menjadi perhatian ramai.

"Keadaan ini wujud kerana ada ahli politik yang hanya mahu menjaga kepentingan masing-masing," katanya.

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan Balasubramaniam menarik balik tuduhan terhadap Najib setelah mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu mempunyai hubungan dengan Altantuya dalam akuan bersumpahnya membuktikan konspirasi untuk menjatuhkan pemimpin Umno itu gagal.

Pengakuan tersebut jelas merupakan satu perkara yang direka cipta oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan agenda politik, katanya dan menambah, "jelas pihak tertentu yang mereka cipta perkara ini ialah Anwar dan parti Pakatan Rakyat kerana mereka ada kepentingan dalam hal ini.

Khairy berkata, situasi itu juga menunjukkan akuan bersumpah seolah-olah tiada nilai kebenaran dan berharap masyarakat tidak akan mudah terpengaruh dengan perkara tersebut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |