+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, July 5, 2008

Politik pembangkang Malaysia semakin kotor - Najib

Mstar Online

05-07-2008 03:07:24 PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, politik Malaysia kini sudah mencapai tahap kotor apabila pihak pembangkang kini dilihat menjadikan fitnah dan akuan bersumpah bagi mencapai matlamat politik mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka sanggup mempermain-mainkan keluhuran undang-undang negara dan mempolitikkan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah demi kepentingan politik bagi mengubah persepsi rakyat terhadap pemimpin kerajaan.

"Saya sebut ini sebagai satu prinsip maknanya kalau kita cintakan negara, kita mesti sedar, untuk membina sebuah negara seperti Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah, (jadi) janganlah buat sesuatu yang boleh memusnahkan apa yang kita lakukan, yang kedua prinsip keluhuran undang-undang amat penting, jadi jangan kita sebut tentang undang-undang rimba dan sebagainya tapi kita sendiri tidak amalkannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Rukun Tetangga kawasan Peramu Jaya 3 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai fitnah politik yang semakin berleluasa ketika ini, Najib berkata, sekalipun fitnah bukanlah sesuatu yang baru namun zaman teknologi maklumat (ICT) kini memudahkan fitnah tersebar lebih meluas dan pantas.

"Fitnah bukan sesuatu yang baru, sejak dulu lagi, tapi fitnah kini tersebar lebih luas, pantas dengan zaman ICT ini, kalau dulu nak buat surat layang payah sikit dan penyebaran tidak begitu meluas.

"Tapi melalui ICT, macammacam boleh tersebar dengan begitu singkat, bagaimanapun kita akan terus membawa pembangunan untuk membela nasib rakyat, tapi rakyat mesti memperkukuhkan benteng yang ada dalam diri mereka masing-masing untuk menilai apa yang benar dan apa yang tidak benar.

"Melainkan kita buat penapisan, tapi penapisan dalam zaman ICT tidak begitu berkesan, akan timbul tanggapan bahawa kerajaan tidak terbuka, tidak demokratik dan sebagainya, sebab itulah penting bagi kita memperkukuhkan benteng pada rakyat supaya mereka mampu berfikir secara matang dan membuat kesimpulan masingmasing antara yang hak dan benar, palsu dan bathil," katanya.

Ditanya mengenai trend akuan bersumpah bagi memburukkan pemimpin, Najib berkata:
"Mereka mempermainkan apa-apa peruntukan dalam undang-undang sebab mereka tak takut, mungkin mereka ada motif dan niat tertentu, mungkin ada sesuatu habuan yang mereka terima, macam-macam andaian boleh kita buat."

Mengulas mengenai penyiasat persendirian P. Balasubramaniam yang menarik balik akuan bersumpahnya itu, Najib berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap penyiasat persendirian berkenaan.

"Ini (akuan bersumpah) tidak sepatutnya berlaku, saya kesal perkara ini berlaku, dan sebab ini menyentuh pertamanya satu kes yang sedang berjalan di mahkamah, kalau di dalam negara lain, langkah subjudis akan diambil terhadap mereka yang menyentuh kes yang masih berjalan di mahkamah.

"Yang saya kesal ada pemimpin pembangkang yang terlibat bersama-sama dalam sidang akhbar menyentuh kes yang sedang berjalan dalam mahkamah (kes pembunuhan Altantuya), sepatutnya tidak berbangkit, kes itu kes serius dalam mahkamah, ini bukan perkara yang boleh main-main, ini soal undang-undang, itu soal nasib tiga orang di mahkamah yang menghadapi dakwaan yang begitu serius, kenapa pula kita hendak masukkan unsur politik dan sebagainya?" katanya.

Ditanya jika akuan bersumpah awal penyiasat persendirian itu menjejaskan imejnya, Najib berkata:

"Saya terpaksa hadapi, apa nak buat, dia dah berniat sedemikian, saya kena terima bahawa dalam politik Malaysia dah sampai main kotor pun tak apa juga, mainkan undang-undang pun tak apa, asalkan matlamat mereka tercapai," kata Najib.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan injunksi terhadap Balasubramaniam, Najib berkata:

"Macam mana injunksi, dia dah tarik balik, saya buat penafian dulu, sebab ini dijadikan satu mainan politik, ini soal hendak mengubah persepsi rakyat kepada pemimpin, ini bukan cari kebenaran, saya tak nak berselindung di sebalik injunksi, sebelum saya sempat buat apaapa dia dah tarik balik," kata Najib.

Mengenai kenyataan Balasubramaniam bahawa dia tertekan ketika membuat akuan bersumpah awal pada 1 Julai lepas, Najib berkata, beliau tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

Menjawab soalan mengenai rakyat semakin keliru dengan perkembangan politik semasa ketika ini, Najib berkata, rakyat akan dapat menilai perkara sebenar walaupun kerajaan sedar dalam sistem demokrasi dan zaman ICT kini fitnah dan pembohongan boleh tersebar lebih meluas.
"Kebaikan (ICT) kita dapat maklumat meluas, yang keburukan ialah segala fitnah segala pembohongan dan sebagainya boleh juga tersebar lebih meluas, kita tidak ada senjata lain melainkan kita dapat membina, memperkukuhkan benteng rakyat dan benteng rakyat ialah kemampuan untuk membezakan antara hak dan batil , benar dan palsu, ini bergantung kepada kemampuan berfikir dan membuat penilaian," katanya.

Ditanya mengenai debat kenaikan harga petrol antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadulkan pada 15 Julai depan, Najib berkata:

"Jadi ke?, tengok dulu, saya buat komen kalau jadi, (sekarang ni) banyak perkara sebut (tapi) tak jadi," kata Najib. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |