+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, July 2, 2008

Akuan pembabitan pejabat Najib

Malaysiakini

Abdul Rahim Sabri | Jul 1, 08 11:55pm

PKR mempunyai satu akuan berkanun yang mengaitkan pembabitan pejabat Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan liwat terbaru yang dilaporkan kepada polis Sabtu lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Hari ini kita ada satu pengakuan bersumpah daripada seseorang yang belum kita dedahkan yang tahu bahawa memang ada pakatan dan perencanaan yang melibatkan pejabat timbalan perdana menteri untuk menghina saya," kata penasihat PKR malam ini dalam program ceramah penjelasan isu panas tersebut.

Sebelum itu beliau mengulangi lagi dakwaan awalnya di sidang media petang tadi, bahawa wujud penglibatan Najib bersama isterinya Rosmah Mansor dan pegawainya Khairil Anas Yusof dalam dakwaan pemuda yang membuat laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau turut mengulangi laporan polisnya di Shah Alam - mendakwa peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan terlibat dalam pemalsuan laporan kedua kes beliau ditumbuk oleh Tan Sri Rahim Noor pada 1998, ketua polis negara waktu itu.

Ucapannya hampir sejam itu diikuti pemaparan imej-imej individu-individu berpengaruh, termasuk Najib dan isterinya, yang disebutkan dalam ucapannya.

Selain imej Abdul Gani, Musa, Khairil Anas dan Mohd Saiful, imej-imej demonstrasi Gerakan Reformasi 1998 dan perhimpunan Bersih tahun lalu turut ditayangkan di skrin besar di belakang Anwar.

Dalam program tersebut, lebih 10,000 penyokong Anwar hadir di Stadium Melawati di Shah Alam untuk mendengar sendiri ucapan tokoh pembangkang tersebut.

Selain tayangan imej, turut dinaikkan kain pemidang besar, dianggarkan bersaiz 5 x 5 meter, di bahagian atas, belakang pentas utama.

Pemidang itu memaparkan imej mata lebam Anwar akibat dibelasah Rahim sedekad lalu dengan tulisan berhuruf besar "jangan biarkan ini berlaku lagi."

Tiga pemidang berimej yang sama dalam saiz lebih kecil digantung di dalam stadium itu.

Sebelum Anwar menyampaikan ucapannya pada 10.20 malam, program yang dipengerusikan oleh ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, dimulakan dengan ucapan dua naib presiden PKR - Sivarasa Rasiah dan Mohd Azmin Ali.

Sewaktu Anwar tiba, mereka menyanyikan lagu Negaraku dan kemudian teriakan "reformasi" bergema di stadium itu sebanyak tiga - dimulakan dengan beliau sendiri sebagai menandakan berakhirnya program tersebut menjelang 11.30 malam.

Barisan pemimpin utama pembangkang yang hadir di pentas termasuklah menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kerajaan negeri Ronnie Liu, speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Teng Chang Khim, timbalan presiden PKR Dr Syed Husin Ali, setiausaha agungnya Datuk Salehuddin Hashim dan pengerusi PSM Dr Mohamad Nasir Hashim.

Program yang bermula jam 9.10 malam itu mula dihadiri orang ramai kira-kira setengah jam lebih awal.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |