PETALING JAYA - Keluarga Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, akan melantik seorang peguam bagi membantu Saiful berhubung laporan dakwaan liwat yang dibuatnya Sabtu lalu.
Bapa saudara Saiful, yang mahu dikenali sebagai 'Uncle Pat' berkata, sebaik melantik peguam, keluarga Saiful akan mengadakan sidang akhbar berhubung perkara itu.
"Jadi minta maaf sidang akhbar hari ini (semalam) batal, kita akan buat nanti dalam masa terdekat, harap semua wartawan bersabar ya,'' katanya di hadapan rumah keluarga Saiful di Bandar Utama, Damansara di sini semalam.
Semasa itu terdapat berpuluh-puluh wartawan yang menunggu di luar rumah banglo tersebut dan Uncle Pat hanya muncul pukul 2.45 petang bagi bertemu wartawan.
Berikutan itu, Uncle Pat berkata, buat masa ini, beliau tidak dapat memberi sebarang kenyataan berhubung isu liwat itu selain perlu memberi peluang kepada polis untuk menyiasat perkara tersebut terlebih dahulu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan semasa dihubungi memberitahu ''Kita ikut perkembangan siasatan dan jika ada yang baru serta perlu dihebahkan, kita akan beritahu.''.
Musa semasa ditanya berhubung laporan polis yang dibuat oleh Anwar yang turut mengaitkan dengan beliau juga enggan mengulas perkara itu.
0 comments:
Post a Comment