Ditulis oleh Editor |
Tuesday, 08 July 2008
|
Kumaresan, 27, dan Segar, 24, dua anak saudara P Bala memberitahu bahawa bapa saudaranya telah memberitahu semua perincian yang terkandung dalam akuan bersumpah yang pertama P Bala termasuk perkara yang membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya kepada mereka enam bulan yang lalu.
Kumaresan seorang petugas dalam bidang Teknologi Maklumat mengatakan P Bala memberitahu mereka bapa saudaranya itu merasa lega selepas membuat akuan bersumpah tersebut pada 3 Julai lalu namun tindakan mengejut P Bala menarik balik akuannya mengejutkan mereka. Adik beradik tersebut berkata demikian kepada pihak media selepas memberikan keterangan di Balai Polis Gombak berkaitan laporan polis berkenaan kehilangan bapa saudara P Bala yang dibuatnya Sabtu lalu.
”Dia kata dia telah dipaksa membuat akuan bersumpah yang pertama, tapi lihat riak wajahnya pada hari itu, wajahnya ceria, semua orang boleh melihatnya, ”Tapi bila dia menarik balik akuan tersebut dan mengemukakan akuan yang baru, riak wajahnya menunjukkan dia dalam keadaan tertekan, bandingkan riak wajahnya pada hari pertma dan kedua,” tambah Kumaresan.
”Kami sangat rapat dengan bapa saudara kami dan amat mengenalinya. Tidak mungkin dia menghilangkan diri tanpa memberitahu kami,”tambah Kumaresan.
Kumaresan percaya kini bapa saudaranya itu mungkin dikurung oleh pihak tertentu dan tidak dapat melepaskan diri.
Beliau juga percaya ada pihak atau pihak-pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan sedemikian selepas bapa saudaranya membuat akuan bersumpah bagi menarik balik tuduhan dalam akuan bersumpah yang dibuatnya lebih awal.
Kumaresan juga memberitahu dia tidak mengenali M.Arulampalam, peguam yang mengiringi P Bala semasa membuat akuan bersumpah yang kedua.
Manakala Segar, seorang Jurutera berkata Pak Ciknya ( P Bala) telah memberikannya sekeping sampul surat dua hari sebelum mengemukakan akuan sumpah yang pertama.
Apabila mereka membukanya dua hari kemudian, mereka dapati kandungannya adalah akuan bersumpah yang pertama itu.
P Balasubramaniam awalnya mendedahkan beberapa maklumat yang mengemparkan dalam akuan bersumpahnya pada sidang akhbar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Khamis lalu, mengenai kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Dalam sidang akhbar, keduanya yang diadakan di sebuah hotel di sini dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas yang pertama, beliau menarik balik hampir semua dakwaan yang didedahkannya.
Kumarasen membuat laporan polis mengenai kehilangan penyiasat persendirian itu selepas gagal menghubungi keluarga itu - Sumber The Sun |
0 comments:
Post a Comment