Mstar Online
08-07-2008 09:17:27 PM
Oleh ZIEMAN
(Mutakhir) PETALING JAYA: Saiful Bukhari Azlan dalam kiriman emel ke stesen televisyen swasta TV3 pagi tadi mendesak bekas majikannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyahut cabaran bermubahalah atau sumpah laknat di hadapan ulamak.
Menerusi emel bertajuk "Bermubahalah" itu yang disiarkan dalam Buletin 1:30 di TV3 hari ini, Saiful memulakan dengan ungkapan, "Yang hak pasti berdiri.Yang bathil pasti jatuh!"
Bekas pembantu peribadi Anwar itu juga menyifatkan isu liwat sebagai isu peribadi beliau dengan Anwar.
Katanya lagi, beliau tidak menyalahkan rakyat dan berharap semua orang akan bertenang dan menerima dengan hati terbuka.
"Saya terima segala tohmahan dengan hati terbuka. Sebagai mangsa saya berhak mendapat pembelaan,"kata Saiful yang membuat dakwaan diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau mengakhiri emelnya dengan mencabar Anwar menetapkan masa dan tarikh dan masa untuk bermubahalah.
"Nyatakan masa dan tempat untuk bermubahalah. Saya tidak gentar mengotakan janji ini," kata bekas pelajar Uniten itu dalam kiriman emelnya itu.
Cabaran yang sama turut dimuatkan di dalam laman web popular Friendster di url http://profiles.friendster.com/saifulbukhari miliknya.
Kata-kata mencabar Anwar yang tertera di laman blognya berbunyi: "Wahai Anwar munafik! Aku cabar kau bermubahalah! Tetapkan tempat dan waktu! Aku akan datang! Yang hak pasti berdiri.Yang bathil pasti jatuh!Aku tak takut mati. Allahuakbar!"
Laman tersebut dipautkan menerusi blog tunangnya, Janna Mohd Zaki - 'A Step in My Pink Mary Janes'.
0 comments:
Post a Comment