+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, August 7, 2008

Cukup bukti dakwa Anwar

Berita Harian


JALANKAN TUGAS: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira (kanan) keluar dari rumah Anwar di Bukit Segambut selepas menyampaikan sapina, semalam.

Hadapi tuduhan liwat pembantu

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didakwa atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Pejabat Peguam Negara selepas meneliti kertas siasatan yang dikemukakan polis berhubung kes berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang diminta mengulas perkara itu percaya polis mempunyai cukup bukti bagi mendakwa Anwar bersabit tuduhan itu.

"Polis bukan bodoh untuk mendakwa jika tiada bukti," katanya sambil menegaskan beliau tidak pernah

mengarahkan supaya Anwar didakwa bagi mengalihkan perhatian

rakyat terhadap masalah yang dihadapi negara.

Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, Abdullah berkata, beliau sendiri pernah mengingatkan polis supaya menggugurkan kes itu jika tidak ada bukti.

"Jika ada bukti, dakwa... jika tidak, gugurkan. Itu yang saya katakan... terpulang kepada mereka untuk memutuskan berdasarkan siasatan yang sudah dilakukan.

"Jika mereka berasakan terdapat cukup bukti, mereka perlu mendakwa kerana ada orang, iaitu Mohd Saiful menuntut keadilan... mungkin anda terlupa Saiful dan berasakan Anwar lebih penting.

"Ini adalah persoalan undang-undang dan polis bertanggungjawab menjalankan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful. Jika mereka ada bukti untuk mendakwa, kita tidak boleh menghalangnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataannya berkata polis semalam menyerahkan notis mengarahkan Anwar hadir di mahkamah pada jam 10 pagi ini.

"Polis sudah selesai menjalankan siasatan kes jenayah seksual membabitkan persetubuhan yang bertentangan aturan tabii membabitkan Anwar, dengan berlandaskan prinsip undang-undang dan prosedur sedia ada dalam sistem perundangan negara.

"Sehubungan itu, kertas siasatan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat nasihat dan keputusan. Pejabat Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa Anwar," katanya.

Terdahulu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Deputi Superintendan Jude Pereira, menyerahkan notis itu kepada Anwar di kediamannya di Bukit Segambut, Segambut Dalam di sini.

Anwar sendiri menerima notis itu dan mengesahkan akan hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan berkenaan.

Pereira yang diiringi tiga pegawai dan anggota polis dengan menaiki dua kereta, dilihat memasuki kediaman Anwar seorang diri, kira-kira jam 12 tengah hari sebelum keluar 15 minit kemudian.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila dikerumuni lebih 30 wartawan dan jurugambar yang menunggu di luar kediaman Anwar sejak jam 8 pagi.

Polis menjalankan siasatan terhadap Anwar selepas Mohd Saiful, 23, membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Jun lalu mendakwa Penasihat PKR itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setia Kasih, Damansara, 26 Jun lalu.

Pada 16 Julai lalu, Anwar ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokan hari dan diarah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada 18 Ogos ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

2 comments:

Unknown said...

Betul tu. Pihak polis tidak mungkin begitu bodoh untuk mendakwa DSAI seandainya mereka tidak mempunyai cukup bukti untuk mendakwa DSAI terhadap kes sodomi beliau. Ini adalah persoalan undang-undang dan pihak polis sememangnya bertanggungjawab menjalankan siasatan ekoran laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful. Jika mereka ada bukti untuk mendakwa, kita tidak boleh menghalangnya.

Unknown said...

"Jika ada bukti, dakwa... jika tidak, gugurkan. Itu yang saya katakan... terpulang kepada mereka untuk memutuskan berdasarkan siasatan yang sudah dilakukan.

"Jika mereka berasakan terdapat cukup bukti, mereka perlu mendakwa kerana ada orang, iaitu Mohd Saiful menuntut keadilan... mungkin anda terlupa Saiful dan berasakan Anwar lebih penting.

Kenyataan di atas jelas menunjukkan bahawa dalam kes ni, Saiful adalah pihak yang menuntut keadilan. Sebab itulah Anwar perlu didakwa jika sudah ada bukti. Tapi oleh kerana penyokong Anwar dah terlalu taksub, maka mereka lebih mengutamakan Anwar dalam kes ini dan mengabaikan pihak yang menuntut keadilan...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |