+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, August 7, 2008

Tarikh pilihanraya: Tektik kotor SPR susahkan pengundi Permatang Pauh


Suara Keadilan

PETALING JAYA, 6 Julai (SK)- Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua menyelar tindakan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan 26 Ogos sebagai hari mengundi di pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Menurutnya, pemilihan tarikh tersebut, yang jatuh pada hari Selasa adalah merupakan hari bekerja bagi kebanyakkan pengundi di kawasan Parlimen tersebut.

Sebelum sidang media ini, Pengerusi SPR, Abdul Rashid Rahman, mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon ditetapkan pada 16 Ogos manakala tarikh mengundi pula pada 26 Ogos, yang jatuh pada hari Selasa.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh juga akan menyaksikan calon Pakatan Rakyat, iaitu Ketua Umum keADILan Anwar Ibrahim berdepan dengan isu pengundi hantu dan taktik-taktik kotor kerajaan BN bagi menyekat beliau memenangi pilihan raya kawasan itu.

“Keputusan SPR menetapkan tarikh mengundi pada 26 Ogos boleh menjejaskan kedatangan pengundi pada hari tersebut.

Saya rasa tujuan tarikh itu dipilih adalah kerana sengaja mahu menyusahkan pengundi dan kerana itu kami (KeADILAN) menyelar tindakan SPR berkenaan.” katanya lagi.

Beliau juga melahirkan kebimbangan bahawa kemungkinan akan berlakunya penipuan dan isu pengundi hantu di hari mengundi pada pilihan raya kecil tersebut.

Sehubungan itu, Tian menyeru penyokong-penyokong Pakatan Rakyat supaya senantiasa berwaspada dan menggandakan usaha bagi memastikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat, khususnya Anwar.

“Sudah pastinya, senario yang dihadapi ialah pertarungan sengit akan berlaku di Permatang Pauh, tetapi Pakatan Rakyat yakin akan memperolehi kemenangan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata penetapan hari mengundi yang telah diumumkan SPR merupakan usaha terdesak BN dan Umno bagi tujuan mengurangkan jumlah pengundi yang akan keluar mengundi.

“Saya sangat kecewa dan mempersoalkan kenapa SPR memilih Selasa, 26 Ogos iaitu pada hari bekerja untuk pilihan raya kecil di Permatang Pauh, sedangkan sebelum ini tidak pernah berlaku sama ada dalam pilihan raya umum ataupun dalam pilihan raya kecil yang mana hari mengundi ditetapkan pada hari Sabtu,” katanya kepada Suara Keadilan.

Mahfuz berkata, penetapan hari mengundi yang jatuh pada hari bekerja itu akan memberikan kesulitan kepada pengundi-pengundi terutamanya mereka yang bekerja di luar kawasan mengundi.

“Sudah tentu tarikh ini memberikan kesulitan terutamanya bagi pekerja kilang, kerajaan dan swasta kerana masa mereka sangat terhad iaitu hanya pada waktu rehat sahaja. Ada di antara pengundi yang bekerja di Pulau, di Georgetown, tetapi mereka sebenarnya pengundi dan penduduk yang menetap yang tinggal di Permatang Pauh. Tak mungkin mereka mengambil masa rehat yang pendek itu untuk mengundi. Tidak adil bagi mereka pula yang terpaksa mengorbankan cuti tahunan sedangkan SPR sepatutnya boleh memilih hari Sabtu atau Ahad untuk pilihan raya ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya memanggil SPR dan mengarahkan suruhanjaya itu memperbetulkan dan meminda tarikh tersebut kepada tarikh bukan waktu bekerja.

“Seharusnya pihak Suhakam yang bertanggungjawab terhadap hak asasi harus memanggil dan mengarahkan pihak SPR supaya memperbetulkan dan meminda tarikh itu kepada Sabtu atau Ahad,” katanya.

Mahfuz juga meminta agar pengamal undang-undang dalam Pakatan Rakyat melihat perkara ini dari sudut perundangan bahawa apakah terdapat tindakan undang-undang terhadap SPR yang mengenepikan hak demokrasi individu yang mahu mengundi.

“Saya minta pengamal undang-undang dalam Pakatan Rakyat melihat sudut perundangan berkaitan hak asasi manusia termasuk Bersih bahawa apakah ada ruang proses tindakan undang-undang terhadap perbuatan menafikan hak untuk orang mengundi,” jelas Mahfuz.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengarah DAP Lim Hock Seng dilaporkan sebagai berkata, penggunaan dakwat hitam dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh merupakan medan terbaik untuk dijadikan percubaan supaya diguna pakai pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, penggunaan dakwat di jari terbukti tidak mengundang keadaan huru hara sebagaimana dinyatakan oleh Pengerusi SPR, Abdul Rasyid Abdul Rahman menjelang pilihan raya umum ke-12 lepas.

Katanya, inilah masa terbaik untuk SPR menguji keberkesanan pelaksanaan dakwat di jari berbanding rasa ragu-ragu pada pada pilihan raya umum konon bimbang berlaku peristiwa yang tidak diingini.

“Inilah masanya SPR menggunakan kaedah penggunaan dakwat hitam di jari daripada menggunakan kaedah lama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

“Saya tidak mahu lagi mendengar rungutan dan pertuduhan seperti berlakunya undi berganda dan pengundi hantu,” tegas Lim.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |