PUTRAJAYA 17 Sept. - Kerajaan hari ini mengumumkan harga borong dan runcit barangan di seluruh negara yang lebih tinggi berikutan kesan peningkatan kos pengeluaran, harga makanan ternakan dan pengimportan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, harga yang dikenal pasti di 138 kawasan itu melibatkan ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kerbau import India serta telur ayam gred A, B dan C.
Kata beliau, secara keseluruhan harga yang ditetapkan adalah lebih tinggi kerana trend semasa menunjukkan paras yang meningkat sebelum penetapan harga dibuat.
"Bagaimanapun harga yang ditetapkan masih berada pada paras normal pasaran sekarang.
"Apapun peniaga tidak dibenarkan menjual barang-barang yang tersenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) melebihi harga maksimum ditetapkan,'' katanya.
Beliau memberi amaran tindakan akan diambil kepada peniaga yang ingkar.
Shahrir mengumumkan penetapan harga maksimum borong dan runcit barang-barang terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Hari Raya Puasa dan Deepavali 2008 pada sidang akhbar di sini.
Menurutnya, harga ayam yang naik RM1 berbanding tahun lepas membuktikan kerajaan prihatin dengan perubahan pasaran.
"Kita sudah pendekkan tempoh SKHMP dua minggu sahaja tahun ini berbanding 38 hari tahun lalu kerana tidak mahu memberi tekanan kepada peniaga,'' katanya.
Barang-barang lain yang terlibat dalam SKHMP ialah daging lembu tempatan, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang dan daging kambing biri-biri import tanpa tulang, kubis bulat import, cili merah, kelapa parut, bawang merah kecil, tomato dan ikan kembung tempatan.
Bagi memastikan bekalan mencukupi, Shahrir berkata, kerajaan membenarkan import kelapa dari Indonesia sebanyak 150,000 biji dan 6,650 tan metrik ayam dari Thailand dan China.
Beliau memberitahu, ketetapan harga barang dibuat selepas mengambil kira pandangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
Perbincangan turut dibuat dengan pengimport, pengeluar, pembekal dan pemborong.
Shahrir memberitahu setakat ini sebanyak 25,276 lesen telah dikeluarkan di seluruh negara untuk Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Tegas beliau, pihak kementerian akan meneruskan usaha melindungi pengguna daripada perbuatan mencatu barangan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.
0 comments:
Post a Comment