+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 18, 2008

PM tolak gesaan Anwar sidang khas Parlimen bincang undi tidak percaya

KUALA LUMPUR: Kira-kira empat jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan sidang khas Parlimen sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau, Perdana Menteri berkata: "Tidak perlu."

Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, sidang tergempar Parlimen tidak perlu diadakan memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang tidak lama lagi.

Dewan Rakyat dijadual bersidang 13 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab perlunya diadakan sidang khas Parlimen kerana Dewan Rakyat akan mula bersidang selepas Aidilfitri.

Kata Abdullah, Anwar boleh membangkitkan apa jua perkara sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.

Pada sidang media pukul 2 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan susana politik termasuk dakwaan kepercayaan ke atas Abdullah sudah terhakis.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan pertama Ketua Umum Pakatan Rakyat itu untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Anwar menjelaskan beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi "bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya."

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

"Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya," kata beliau.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |