Berita Harian
KOTA KINABALU: Selepas tiga bulan mencetuskan kontroversi dengan menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Pusat, Parti Maju Sabah (SAPP) semalam mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi SAPP di Luyang dekat sini, yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee.
Pada sidang media selepas mesyuarat dua setengah jam itu, Yong bagaimanapun berkata SAPP kekal sebagai parti politik bebas dan tidak akan memohon menyertai Pakatan Rakyat.
"Ini adalah suara majoriti dan 30 daripada 32 Ahli MT yang hadir bersetuju dengan keputusan ini, manakala Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan dan Naib Presiden, Jimmy Wong, membantah," katanya.
Yong yang menjadi Ketua Menteri pada 1996-98 menerusi sistem penggiliran berkata, sejak SAPP mengumumkan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri pada 18 Jun lalu, parti itu tidak dijemput menghadiri empat mesyuarat Dewan Tertinggi BN dan dua mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan.
"Perkembangan itu menunjukkan BN seolah-olah sudah menggugurkan keahlian SAPP. Maka saya isytiharkan SAPP bukan lagi parti sekutu BN. Mulai hari ini, SAPP menjadi pembangkang yang berkualiti hingga kita kembali sebagai kerajaan," katanya.
Tan yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri dan Wong yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, lebih awal meninggalkan mesyuarat itu.
SAPP mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Eric Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawau) serta empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) - Tan (Tanjung Papat), Pembantu Menteri Kewangan, Melanie Chia (Luyang), Au Kam Wah (Elopura) dan Liew Teck Chan (Likas).
Penarikan diri daripada BN itu secara automatik menjadikan semua wakil rakyat SAPP sebagai wakil Bebas, manakala Tan dan Chia perlu melepaskan jawatan dalam Kabinet negeri.
Sementara itu, Tan ketika ditemui pemberita berkata, beliau kekal setia bersama BN dan akan membuat keputusan berhubung kedudukannya dalam SAPP serta kerajaan negeri dalam tempoh terdekat.
Mengenai kemungkinan beliau menubuhkan parti baru, Tan berkata, perkara itu belum difikirkannya.
0 comments:
Post a Comment