MUMBAI 27 Nov. – Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam tadi.
Setakat ini, masih belum jelas siapakah dalang di sebalik kejadian itu, namun Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan pejuang Islam di kawasan sempadan sebagai suspek utama.
Kumpulan kecil militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan rambang dan melontar bom dalam serangan ke atas kedua-dua hotel mewah tersebut, sebuah hospital dan sebuah stesen kereta api sejak lewat malam tadi serta sebuah kafe popular yang kerap dikunjungi pelancong asing.
Anggota keselamatan dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan ketika komando dan polis menggempur salah sebuah hotel berkenaan bagi membebaskan tebusan.
Bagaimanapun keadaan kini agak terkawal, namun berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan masih terperangkap di dalam Hotel Taj Mahal berusia 105 tahun dan sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Trident Oberoi di pusat bandar Mumbai, yang menjadi sasaran serangan.
“Ramai yang terperangkap di dalam dua hotel berkenaan dan kami mendapat laporan berlakunya tembak-menembak terutama di Hotel Taj Mahal,” ujar seorang pegawai bertugas di bilik kawalan polis Mumbai.
Komando dan pasukan polis bersenjata masih lagi berkawal di dalam dan di sekitar hotel itu setelah kumpulan ini menjadikan warga tempatan dan asing sebagai tebusan.
Menurut polis, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek, manakala 12 anggota polis terbunuh termasuk ketua skuad antikeganasan, Hemant Karkare dalam kejadian tembak-menembak di Hotel Taj Mahal.
Manmohan Singh mengecam kejadian itu yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini dan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai pertalian dengan kumpulan dari luar.
“Serangan ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pengganas asing dan ia dilakukan dengan perancangan yang teliti.
“Ia dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara dengan memilih kawasan-kawasan yang berprofil tinggi sebagai sasaran,” kata Manmohan Singh melalui siaran televisyen hari ini.
Serangan ini didakwa dilakukan oleh satu kumpulan yang tidak dikenali, Deccan Mujahideen namun berita ini masih belum dapat disahkan.
Menurut satu laporan terbaru salah seorang anggota kumpulan militan tersebut menelefon stesen televisyen tempatan dan menyalahkan kerajaan dengan menyatakan tentera telah menyerang penduduk Islam di Kashmir.
Dalam satu lagi maklum balas daripada kerajaan India, Menteri Perdagangan Kamal Nath menyifatkan serangan itu sebagai “satu perkara malang”, namun ia dijangka tidak memberi kesan kepada ekonomi India, yang sudahpun menurun.
Namun menurut pengawal atur pasaran saham India, Bursa Saham Bombai dan bursa saham kebangsaan tidak akan dibuka hari ini berikutan krisis tersebut.
– Agensi
0 comments:
Post a Comment