+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, November 28, 2008

Timbalan menteri mati mengejut

Malaysiakini

Nov 28, 08 7:31pm

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.

razali ismailDalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.

Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima
anak.

Malaysiakini difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Hisham: Satu kehilangan

Sementara itu, Bernama juga melaporkan, seorang kakitangan institut itu berkata ketika kejadian, Razali sedang bermain badminton di situ untuk beriadah dengan beberapa kakitangan institut berkenaan.

"Dia tidak ada acara spesifik di situ tetapi dia datang untuk berekreasi," katanya.

Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, ketika dihubungi pula berkata, kematian Razali merupakan satu kehilangan besar kepada kementeriannya.

"Terlalu sedih...Ia satu kehilangan besar," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Hishammuddin berkata beliau sedang menguruskan jenazah Allahyarham di tempat kejadian.

Biodata

Menurut laman web rasmi Umno Terengganu, allahyarham dilahirkan di Hulu Terengganu pada 25 Jun 1949.

Beliau mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Kemudian, Razali melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang sejarah. Setelah mengajar beberapa tahun, beliau tidak melepaskan peluang untuk membuat Sarjana Pendidikan di Birmingham, United Kingdom.

Memulakan kerjaya sebagai guru, allahyarham juga pensyarah di beberapa buah maktab perguruan di Malaysia.

Menjadi timbalan pengetua di Maktab Perguruan Kota Bharu sebelum dilantik pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan kemudiannya di Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Setelah itu, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran pada 2002.

Isterinya merupakan surirumah sepenuh masa, namun sebelum itu, beliau pernah bekerja dengan kerajaan dan tempat terakhir beliau bertugas adalah di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Allahyarham bersama Nooraini dikurniakan lima orang anak yang kesemuanya lelaki.

Anak sulung mereka, Muhammad Nurazli kini merupakan pengurus di bawah Sime Darby Berhad. Anak kedua, Asrul Shah pula pegawai tadbir dan diplomatik yang berkhidmat sebagai penolong pengarah di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara tiga lagi anak mereka masih menuntut.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |