ALOR STAR 27 Nov. – Keadaan penjara di negara ini lebih baik berbanding negara lain kerana mengutamakan keselamatan dan kebajikan penghuninya.
Koordinator Persidangan Pentadbir-Pentadbir Penjara Rantau Asia Pasifik (APPCA), Profesor Neil Morgan berkata, antara perbezaannya ialah pihak pengurusan penjara negara ini menyediakan latihan kemahiran tertentu kepada setiap banduan bagi membantu mereka memulakan hidup baru.
‘‘Setiap negara mempunyai sistem yang berbeza namun negara ini patut dipuji kerana mementingkan keselamatan dan menyediakan kemahiran kepada para banduan.
‘‘Kami telah melawat banyak negara untuk melihat keadaan penjara dan banyak perbezaan dari segi layanan, pengurusan dan tahap keselamatan di penjara negara ini,” katanya selepas melawat Penjara Alor Star di sini hari ini.
Sebanyak 260 peserta dari 25 negara menghadiri persidangan itu yang bermula tiga hari lalu di Langkawi, dekat sini.
Hari ini mereka dibawa meninjau Penjara Alor Star iaitu antara penjara tertua di negara ini dan Penjara Pokok Sena, sebuah penjara baru dilengkapi dengan sistem keselamatan lebih moden serta canggih.
Menurut Neil, persidangan kali ke-28 itu membantu para peserta program untuk bertukar-tukar pandangan dan berkongsi idea dalam pengurusan penjara di negara masing-masing.
‘‘Banyak perkara baru yang boleh dikongsi oleh peserta program ini untuk meningkatkan kehidupan penghuni penjara di negara mereka,” katanya.
Neil menjelaskan, penjara di negara ini yang terletak di tengah bandar juga membantu para banduan dari segi emosi mereka.
‘‘Tidak seperti sesetengah negara penjara mereka yang terletak jauh dari kawasan penempatan juga membuatkan ahli keluarga banduan sukar untuk melawat mereka.
‘‘Penjara Alor Star merupakan contoh penjara yang baik kerana terletak di tengah bandar dan ini menyebabkan banduan tidak berasa seolah-olah dipinggirkan,” katanya.
Seorang ahli psikologi, Cheang Si Lok dari Macau pula melihat satu keadaan persekitaran yang lebih mesra apabila melawat penjara di negara ini.
‘‘Bidang kemahiran yang disediakan juga banyak yang akan membantu para banduan untuk memulakan hidup mereka,’’ ujarnya.
0 comments:
Post a Comment