PEKAN 8 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan bahawa tidak ada tempat dalam UMNO bagi pemimpin parti itu yang terlibat dalam gejala politik wang.
Tegasnya, UMNO memerlukan pemimpin yang memiliki kredibiliti dan bersih daripada amalan politik wang untuk meneruskan perjuangan parti ke peringkat tertinggi.
Bagaimanapun, kata beliau, ia terpulang kepada ahli parti untuk memilih pemimpin dan bergantung tahap penguatkuasaan parti berhubung gejala itu.
''Tidak ada tempat untuk pemimpin yang mengamalkan politik wang tetapi ia akhirnya terpulang kepada ahli UMNO untuk membuat pilihan.
''Ia juga bergantung kepada tahap penguatkuasaan kita. Ia macam perangkap laju, ada yang terlepas dan ada yang terkena," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meminta pucuk pimpinan UMNO segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan diterima setakat ini.
Menurut Tengku Ahmad Rithauddeen, beliau berulang kali melaungkan amaran mengenai politik wang malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan empat tahun lalu.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya sedar untuk menangani politik wang dalam pemilihan parti bukan sesuatu yang mudah tetapi usaha ke arah itu perlu diperhebatkan.
''Kita sedar ia bukan mudah. Bercakap memang mudah tetapi hendak melakukannya sukar. Namun bukan bererti usaha-usaha ke arah itu kita hentikan. Kita patut memperhebatkan lagi usaha kita," tegasnya.
Ditanya mengapa tiada sebarang tindakan diambil ke atas calon-calon tertentu setakat ini, katanya, setiap aduan dan laporan memerlukan bukti kukuh untuk mensabitkan seseorang calon dengan politik wang.
''Walaupun ia (Lembaga Disiplin UMNO) bukan mahkamah tetapi asas bukti (politik wang) mesti ada iaitu di mana berlaku kejadian, berapa jumlah wang yang diterima dan bukti wangnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, UMNO sedang meneliti kesahihan setiap aduan politik wang yang sebahagiannya dipercayai palsu dan bertujuan menjatuhkan calon tertentu.
Menurut beliau, pihaknya mengaku menerima banyak aduan berhubung politik wang tetapi setiap tindakan tidak boleh diambil terburu-buru bagi mengelakkan mana-mana calon teraniaya.
''Aduan itu banyak tetapi kita jangan menganiaya sesiapa. Kadang-kadang ada aduan palsu dan kurang tepat. Kadang-kadang pihak tertentu hendak mengena atau menjatuhkan mana-mana pemimpin dengan politik wang.
''Setiap aduan mesti disiasat dari segi kesahihan laporannya," katanya
Beliau menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras bagi memastikan imej parti tidak terjejas selain perjalanan proses pemilihan adalah bersih.
Amalan politik wang, tambah Najib, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya dipilih memegang sesuatu jawatan.
''Kita mungkin mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan UMNO ke tahap yang lebih tinggi lagi selain merosakkan kredibiliti parti itu sendiri.
''Rakyat akan menilai terhadap UMNO melalui pemimpin yang diketengahkan," jelasnya.
0 comments:
Post a Comment