|
|
KOTA BAHRU - Nasib malang menimpa seorang peniaga, Mohd. Huzaifah Mohd. Nor, 18, apabila mata kanannya buta dalam sekelip mata akibat terkena kelongsong gas pemedih mata Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kejadian Selasa lalu.
Insiden berlaku sewaktu mangsa yang sedang sibuk mengemas barang berniaga sebelum pulang tiba-tiba menjadi sasaran kelongsong itu yang dipercayai dilepaskan oleh polis bagi meleraikan rusuhan di luar Stadium Sultan Muhamad Ke-IV di sini.
"Masa itu keadaan kelam-kabut, saya dengan sepupu tengah kemas barang berniaga untuk pulang, tiba-tiba saya rasa ada benda keras kena mata kanan saya.
"Selepas itu saya rebah dan hampir pengsan kerana terlalu sakit, darah banyak keluar dari mata kanan.
"Dalam keadaan separuh sedar itu, saya dipapah oleh sepupu saya ke hospital yang terdekat yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. Mata saya selesai dibedah kira-kira pukul 2 pagi semalam (kelmarin)," ceritanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Tambahnya, kecederaan itu menyebabkannya mengalami kecacatan kekal dan pasti menyukarkan kehidupannya sebagai pelajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pengkalan Chepa dekat sini.
0 comments:
Post a Comment