+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 1, 2008

Permatang Pauh bukti rakyat tolak cubaan bunuh karakter Anwar

Suara Keadilan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS (SK) - Kemenangan Anwar Ibrahim di Permatang Pauh telah membuktikan bahawa rakyat telah menolak politik desperado ciptaan Umno-BN yang melakukan cubaan pembunuhan karakter paling dasyat di dalam sejarah politik.

Menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan Shamsul Iskandar Mohd Akin, kemenangan besar ini berbanding keputusan Pilihanraya Umum Mac lalu, membuktikan raktar menolak usaha-usaha pembunuhan karakter Anwar Ibrahim tanpa kompromi.

“AMK melihat kemenangan ini juga menjawab segala dakwaan songsang yang dilemparkan oleh Presiden dan Timbalan Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak yang membangkitkan sentimen rakyat semata-mata untuk memastikan kemenangan Umno-BN,” katanya dalam satu kenyataan yang di terima Suara Keadilan.

Tambahnya lagi, dua individu, Menantu Perdana Menteri Khairy Jamaluddin dan Ezam Mohd Nor juga diantara faktor kemenangan kerana beliau berdua telah berjaya menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno.

“Jutaan terima kasih juga diucapkan buat Khairy Jamaluddin dan Ezam Mohd Nor yang berjaya menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno dengan kenyataan-kenyataan yang berbaur fitnah dan penuh unsur-unsur perkauman sempit,” menurutnya.

Dakyah mereka yang menjadi jajaan media arus perdana begitu hebat, dengan fitnah-fitnah tanpa asas itu turut mengakibatkan Umno sendiri menerima padah kerana kedangkalan mereka yang berpanjangan.

“AMK juga ingin menegaskan bahawa AMK akan meneruskan tindakan mahkamah ke atas Khairy yang gagal menarik balik kenyataan berkenaan tajaan AS kepada KeADILan yang jelas bermotif fitnah dan palsu semata-mata,” katanya lagi yang juga seorang peguam muda.

Shamsul juga mewakili seluruh exco dan kepimpinan AMK, juga mengambil kesempatan dalam kenyataan tersebut bagi semuda petugas dan penyokong Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan KeADILan.

“AMK ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat para petugas dan penyokong KeADILan dan Pakatan Rakyat khususnya yang bertungkus lumus menggerakkan jentera tanpa mengira waktu demi memastikan kemenangan KeADILan dicapai pada hari ini,” tambahnya

Read More...

SKMM sekat akses 'Malaysia Today'

Malaysiakini

Aug 27, 08 8:58pm

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengambil tindakan yang jarang-jarang berlaku dengan menyekat blog kontroversi Malaysia Today.

"Ia dihalang kerana didapati beberapa komen dalam laman web itu tidak sensitif, tiada batas dan menghasut," kata ketua pegawai operasi badan itu Mohamed Sharil Tarmizi.

Sehingga jam 7 petang, Malaysiakini mendapati blog itu masih tidak dapat dilayari menggunakan tiga pembekal khidmat internet (ISP) utama – TMnet, Maxis dan Time – tetapi tiada masalah melalui Jaring.

Sekatan SKMM pertama kali diambil terhadap sebuah laman web bukan pornografi.

Bagaimanapun, pengguna Internet boleh melayari laman dengan menaip alamat IP-nya atau menggunakan alamat alternatif.

raja petra malaysia today controversyPengendali blog popular itu Raja Petra Kamaruddin pula berkata beliau tidak akan memprotes tindakan SKMM itu kerana ia tidak akan didengar.

Jumaat lalu, rumah beliau diserbu polis, dilaporkan berhubung siasatan akuan berkanun seorang doktor Hospital Pusrawi dalam kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sekumpulan polis menggeledah rumahnya dekat Bandar Baru Sungai Buloh mulai jam 8 pagi.

Polis merampas sebuah komputer riba, alat pengimbas dan beberapa dokumen dalam serbuan selama dua jam, laporan itu dipetik.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Raja Petra berkata polis kemungkinan memanggilnya memberi keterangan kes itu minggu depan. Berita asal

Read More...

Perak tak tumbang, Tajol dan Nizar sekadar bertemu 31 Ogos

Mstar Online

01-09-2008 07:43:12 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Sasaran 31 Ogos bagi Barisan Nasional (BN) untuk mengambil alih kerajaan negeri Perak daripada Pakatan Rakyat tidak kesampaian.

Ternyata keyakinan yang dilahirkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali (gambar atas) awal bulan ini kerajaan negeri pimpinan pembangkang itu akan jatuh menjelang sambutan Merdeka tidak menjadi kenyataan.

Tajol ketika dihubungi mStar Online hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

“Tak payah komenlah,” katanya ringkas.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar bawah) yang turut dihubungi berkata, beliau juga menunggu perkara itu berlaku, namun ia ternyata tidak menjadi kenyataan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak masih mempunyai 31 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) pada 31 Ogos. Tiada perubahan... tiada yang melompat (parti),” katanya.

Mohammad Nizar berkata, beliau ada bertemu dengan Tajol ketika upacara perbarisan Hari Merdeka peringkat negeri di Ipoh semalam, namun katanya mereka sekadar bersalam dan bertanya khabar.

“Saya jumpa beliau... saya tunggu juga kalau-kalau ada pengumuman yang beliau hendak lakukan tapi tak ada pula.

“Saya bersalaman... bertanya khabar dan ucapkan Selamat Hari Merdeka dan selamat berpuasa kepada beliau. Tiada pula tanda-tanda yang beliau akan menggulingkan kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya kemungkinan Tajol mempunyai tarikh lain selepas ini untuk mengambil alih kerajaan pimpinannya, Mohammad Nizar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

“Itu kenalah tanya dia. Saya tidak tahu kenapa ia tidak berlaku (ambil alih kerajaan)...ada perkara-perkara yang tidak tercapai.

“Namun, apa yang penting matlamat kerajaan Pakatan Rakyat pada hari merdeka adalah memerdekakan negeri Perak dari kejahilan dan semangat perkauman,” katanya.

Bulan lalu, Tajol yang juga Pengerusi BN Perak mengharapkan lebih daripada dua ADUN Pakatan Rakyat akan menyertai BN dan beliau turut menawarkan jawatan Menteri Besar kepada PAS sekiranya parti itu bersedia membentuk kerajaan campuran dengan BN.

Read More...

Kematian dan Ramadan

Harakahdaily

Ahmad Lutfi Othman
Sun | Aug 31, 08 | 2:13:21 pm MYT

Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.

Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya.

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.

Menghampiri Ramadan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Nurul Syafiqah, pada pagi 1 Ramadan, jam 8.15, tiga tahun lalu. Dalam usia 11 tahun, kematian Syafiqah, anak kedua kami, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, isteri dan empat anak yang lain ke penjuru satu dunia berbeza.

Ternyata kasih sayang buat anak kecil darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.

Ya, Ramadan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali.

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian anak kecil, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.

Benar sekali sabda nabi. Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu. Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini, walaupun Syafiqah kerap mengejutkannya. - mks._

Read More...

Anwar menang besar: Majoriti 15,671

Malaysiakini

Aug 26, 08 9:19am

9.47 malam: Keputusan rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 15,671 undi.

Penasihat PKR itu mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi.

Sementara calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Hamat memperolehi 92 undi sahaja dan hilang wang pertaruhan.

Yang menariknya, majoriti undi yang diperolehi mantan timbalan perdana menteri itu, lebih tinggi daripada undi yang diperolehi oleh calon BN.

Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi hari ini.

9.15 malam: Keputusan awal setakat ini, daripada sumber rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 14,551 undi.

Sebanyak 11 kotak undi belum dihitung. Pengiraan masih berjalan.

8.00 malam: Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memenangi pilihanraya kecil Parlimen Permatang dengan majoriti tidak rasmi sebanyak 16,210 undi.

Menurut sumber-sumber yang mengetahui, Anwar mendapat 26,646 manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah mendapat 10,436 undi.

Pengiraan masih dijalankan.

7.59 mlm: Pengiraan tidak rasmi menunjukkan Anwar setakat ini mendapat 16,101 undi mendahului Arif Shah yang mendapat 6,071 undi. Pengiraan masih dijalankan.

7.30 mlm: SPR mula mengumumkan keputusan mengikut kotak undi. Setakat ini Anwar mendahului dengan 3,507 undi atau 48.11 peratus, iaitu PKR 5,398, BN (1,891) dan Akim (9).

Sebanyak 20 daripada 111 kotak undi telah dikira.

6.55 ptg: Proses pengiraan undi sedang berjalan di 25 pusat pengundian. Menurut sumber-sumber dalaman, Anwar mendahului di semua saluran.

6.30 ptg: Ribuan penyokong, sebahagian besarnya dari PKR, berhimpun di semua pusat pengundian. Polis turut mengadakan sekatan jalanraya menuju ke pusat pengiraan.

Kira-kira 30 anggota polis dan trak FRU juga dilihat di tempat-tempat berkenaan.

6.05 ptg: Menurut Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman, seramai 38,144 atau 65.25 peratus keluar mengundi.

5.53 ptg: Polis telah menutup jalan utama menuju ke pusat penjumlahan undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun, tempat keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh akan diumumkan.

5.00 ptg: Proses pengundian tamat dan ini akan diikuti dengan proses pengiraan undi.

4.25 ptg: Menurut Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor berkata sehingga jam 3 petang tadi, hanya 53.5 peratus keluar mengundi. Beliau juga menafikan khabar angin yang tempoh pengundian dilanjutkan hingga jam 6 petang.


1.33 tghari: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob ketika dihubungi Malaysiakini berkata, keadaan keseluruhan terkawal. Beliau mengesahkan seorang penyokong Pakatan ditahan pagi tadi kerana melempar objek dan menghalang tugas polis.

Menurutnya, kesesakan juga berlaku kerana faktor manusia yang tidak patuhi undang-undng dan ikut emosi sendiri.

1.30 tghari: Masih terdapat 200 penyokong Pakatan di SK Sri Penanti. Kelihatan 10 trak FRU serta trak meriam air ditempatkan di situ.

1.00 tghari: Menurut Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, setakat jam 12 tengahari, 44.8 peratus pengundi telah membuang undi.

Manakala Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula menganggarkan sehingga jam 1 tengahari, peratusnya dijangka meningkat kepada 53 peratus.

12.10 tghari: Seperti yang diramalkan oleh Jabatan Kaji Cuaca, hujan mulai turun di sekitar Permatang Pauh dan diramalkan juga akan berpanjangan hingga ke malam.

11.20 pagi: Bilik gerakan SPR di Permatang Pauh ketika dihubungi berkata, hanya Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor yang boleh memberitahu peratus pengundian. Kamaruzaman kini sedang meninjau perjalanan proses pengundian.

11.05 pagi: Ejen pengundian PKR, Rodziah Ismail, sahkan nama pengundi dalam kedua-dua versi daftar pengundi di SK Seberang Jaya 2, adalah sama, hanya muka surat yang berbeza.

11.00 pagi: Ramai penyokong BN dan Pakatan di SK Sri Penanti sudah beredar. Hanya tinggal kira-kira 100 penyokong BN dan kira-kira 200 penyokong Pakatan yang masih kelihatan di situ. Anggota polis masih mengawal keadaan di situ.

10.52 pagi Calon Akim, Hanafi Mamat memberitahu Malaysiakini, beliau dalam perjalanan untuk melawat pusat pengundian di Kubang Semang.

Beliau menaruh harapan dan menegaskan, jika kalahpun "mesej kita sudah sampai kepada pengundi dan mereka boleh menilai".

10.42 pagi: Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sedang berunding dengan pihak polis untuk memberi lebih masa kepada penyokong parti politik beredar.

10.42 pagi: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob tiba di tempat kejadian. Selepas berbincang dengan para pegawainya, polis mengarahkan penyokong kedua belah pihak supaya beredar.

Terdapat kira-kira 1,000 penyokong parti politik di situ, yang terdiri daripada kira-kira 400 penyokong BN dan 600 penyokong Pakatan.

10.30 pagi: seorang penyokong Pakatan ditahan di SK Sri Penanti kerana didakwa melontar objek ke arah penyokong BN.

10.10 pagi: Anwar berkata beliau berharap dapat angkat sumpah di Parlimen esok dan "kita akan masuk Parlimen dengan agenda yang jelas dan mereka (BN) patut bangun dengan menerima realitinya".

Dalam ucapan ringkasnya selepas membuang undi, Anwar berkata, beliau menerima sokongan kuat penduduk Permatang Pauh.

10.05 pagi: Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR, Fauziah Salleh berkata pihaknya sedang menyemak perbezaan muka surat dalam daftar pengundi yang diberi pada PKR dan yang digunakan di saluran dua, SK Seberang Jaya 2.

Katanya, muka surat 8 hingga 21 dalam daftar yang diberikan kepada PKR adalah untuk pengundi saluran dua, tetapi mengikut daftar pemilih yang digunakan oleh SPR pagi ini, bagi pengundi saluran dua adalah muka surat 1 hingga 14.

10.00 pagi: Anwar dan Dr Wan Azizah beredar dari SK Seri Penanti selepas kedua-dua mengundi di SK Sri Penanti. Ketika ditemui pemberita, Anwar berkata, ia bukan Anwar lawan calon BN, tetapi melawan seluruh jentera kerajaan. Bagaimanapun, Anwar yakin menang.

9.38 pagi: Anwar tiba di SK Sri Penanti untuk membuang undi. Beliau yang berbaju kameja biru dan bersongkok, bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

9.31 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertembung Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang di pusat pengundian di SK Seberang Jaya 2.

Penyokong Pakatan melaungkan 'Altantuya, pembohong, penipu' manakala penyokong BN pula melaungkan 'Hidup BN'

9.30 pagi. Menurut sumber yang layak dipercayai, 9 daripada 10 pengundi di SK Sri Penanti difahamkan memilih Anwar.

9.10 pagi PKR menghantar ‘alert' menyatakan senarai daftar pengundi yang digunakan di SMK Seberang Jaya 2, dalam DUN Seberang Jaya 2, berbeza dengan senarai yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini. Bagaimanapun, difahamkan berlaku perbezaan muka surat dalam daftar pemilih yang digunakan oleh pihak parti dan SPR di pusat pengundian tersebut.

9.05 pagi: Jumlah penyokong Pakatan di SK Sri Penanti, semakin bertambah mencecah kira-kira 700 orang. Manakala penyokong BN pula dianggarkan seramai 300 orang.

8.45 pagi: Kira-kira 30 sedang berbaris untuk mengundi di SK Sri Penanti. Manakala jumlah penyokong BN bertambah kepada kira-kira 250 orang manakala penyokong Pakatan pula meningkatkan kepada kira-kira 300 orang.

Penyokong BN kedengaran melaung liwat, penyokong Pakatan ada kata Altantuya, Ada juga penyokong Pakatan tunjuk wang kertas RM50 ke arah penyokong BN. Ada penyokong Pakatan Tanya BN ‘Tak nyanyi lagu ke'. Penyokong BN jawab ‘liwat'. Bila kenderaan lalu, mereka bersorak.

8.30 pagi: Terdapat kira-kira 200 penyokong BN dan 200 penyokong Pakatan berada di SK Sri Penanti menunggu ketibaan Anwar. Kedua belah pihak dipisahkan oleh jalanraya dan berada kira-kira 20 meter dari situ. Penyokong PKR melaungkan ‘Reformasi' manakala di pihak BN, mereka menyanyikan lagi ‘Barisan Kita". Kelihatan kira-kira 50 anggota polis bertugas mengawal keadaan di situ.

Pengundi dijangka keluar awal untuk mengundi ekoran Jabatan Meteorologi meramalkan hujan dan ribut petir akan berlaku di sebelah petang.

8.15 pagi: Keadaan lalu lintas di sekitar Permatang Pauh terkawal dan kenderaan yang membawa lambang BN dan PKR mundar-mandir mengangkut pengundi.

Seramai 6,000 anggota polis ditugaskan mengawal keadaan keselamatan di Permatang Pauh untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

8.08 pagi: Calon BN, Datuk Arif Shah merupakan antara orang pertama membuang undi sebaik sahaja pusat pengundian di buka di SK Seberang Jaya 2. Anwar dijadual mengundi jam 9 pagi.

Ketika ditemui pemberita, Arif Shah menyifatkan angka 8 adalah nombor bertuah baginya. Isteri beliau, Datin Latifah Asmawi dan anak sulung mereka, Izwan Shah, turut mengundi di tempat yang sama.

Terdapat kira-kira penyokong kedua belah pihak membawa bendera parti masing-masing Penyokong Pakatan juga kelihatan memakain topeng Anwar dan bersorak antara satu lain.

8 pagi: Sejumlah 110 saluran di 25 pusat mengundi, dibuka kepada 58,459 pengundi membuang undi dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Tujuh daripada 25 pusat mengundi itu terletak di sekolah menengah kebangsaan manakala bakinya terletak di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan serta dewan orang ramai.

Pilihanraya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah 51; calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 61, dan Hanafi Hamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Ia diadakan berikutan peletakan jawatan anggota parlimennya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding di kawasan itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Dr Wan Azizah menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,398 undi. Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR sejak pilihanraya umum 1999 dan sebelum itu dimenangi Anwar atas tiket BN sejak 1982.

Anwar mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Penanti manakala Arif Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Jaya 2.

Read More...

Imam Saiful kembali tugas esok Zahid tunggu laporan Jakim, Jawi

Mstar Online

01-09-2008 06:24:54 PM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya kini menunggu laporan lengkap mengenai kedudukan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi - yang menjadi saksi upacara bersumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan - ekoran penglibatannya dalam membantu 'berkempen' pilihan raya kecil Permatang Pauh minggu lalu.

Kelmarin Ramlang memberitahu mStar Online bahawa beliau akan kembali bertugas esok selepas bercuti hampir seminggu.

"Buat masa ini (sehingga hari ini) saya masih belum dapat apa-apa maklumat lanjut mengenai perkara ini.

"Saya perlu tunggu laporan yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dahulu," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Menurut Ahmad Zahid, kedua-dua laporan itu nanti akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

"Kita tak boleh nak putuskan apa-apa keputusan lagi sekarang. Tindakan lanjut hanya akan dibuat selepas mesyuarat itu nanti," katanya.

Ditanya apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Ramlang, beliau enggan mengulas lanjut.

Ramlang yang menjadi saksi angkat sumpah Mohd Saiful yang didakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan banyak pihak apabila muncul di Permatang Pauh dengan membuat pengakuan sumpah itu tidak sah.

Beliau muncul di tiga ceramah dihadiri Anwar dua hari sebelum hari pengundian.

Beliau turut mendakwa 'dipaksa' oleh pihak atasan untuk menjadi saksi sumpah laknat Mohd Saiful pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu mStar Online cuba mendapatkan maklum balas Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Abdul Malek Salleh namun beliau tidak dapat memberi penjelasan lanjut.

"Maaflah, saya baru balik dari mengerjakan umrah. saya belum menerima laporan rasmi lagi.

"Tunggu saya masuk kerja esok, kemudian baru saya boleh beri komen," katanya yang hanya mengetahui perkara ini setelah dimaklumkan oleh beberapa orang rakan.

Read More...

Bebaskan konsep merdeka dari pemikiran lama...

Malaysiakini

Aug 31, 08 7:03pm

Konsep kemerdekaan negara pada masa ini tidak seharusnya dikongkong oleh pemikiran yang lama, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

khalid ibrahim"Ia bermaksud, daya pemikiran kita dalam alaf ini perlu mencapai tahap yang mampu bersaing, terutama dalam dunia globalisasi masakini," katanya dalam perutusan ulang tahun kemerdekaan ke-51.

Katanya, rakyat seharusnya diberi kebebasan untuk menyuarakan perasaan, pendapat, pemikiran dan kritikan.

Dalam hal ini, tambahnya, pendidikan yang sempurna harus diberi kepada rakyat supaya generasi mendatang, mampu memperlihatkan daya fikiran yang kritis dan inovatif dalam usaha mereka memacu pembangunan.

"Konsep ketelusan, keadilan dan kebertanggungjawaban untuk semua perlu diamalkan supaya kesejahteraan ekonomi dan masyarakat di Selangor dapat dibebaskan daripada golongan tertentu semata-mata.

"Inilah konteks kemerdekaan untuk rakyat yang sebenarnya yang perlu dicapai pada masa kini dan masa mendatabg," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor sedang berusaha membebaskan rakyat, yang selama 50 tahun, dikatakan hidup dalam cengkaman pihak tertentu yang berkepentingan.

Tahun ini, kata Abdul Khalid, menyaksikan pembaharuan di negeri Selangor, khususnya, yang merupakan lumrah bagi sebuah negara dan masyarakat yang semakin matang.

"Era perubahan ini membuka lembaran baru kepada kerajaan negeri untuk memikul tanggungjawab dalam hal memastikan kebajikan rakyat diutamakan dan ekonomi Selangor terus dibangunkan secara berancang untuk dinikmati semua kaum yang tinggal di Selangor.

"Agenda 'Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)" merupaka program utama barisan kepimpinan negeri Pakatan Rakyat dalam konteks mengutamakan kebajikan sebagai antara pelbagai bentuk nikmat kemerdekaan bagi rakyat Selangor," tegas Abdul Khalid.

Read More...

Kembali berjuang di bulan Ramadhan.

Assalamualaikum dan salam perjuangan,

Sudah lama rasanya saya tidak menulis menyatakan pendapat di dalam blog saya ini. Sepanjang bulan Ogos lepas, saya begitu sibuk sehinggakan tidak berkesempatan untuk mengarkib berita-berita yang panas dari laman berita dan juga blog-blog yang lain. Banyak berita tidak dapat dikemaskinikan terutamanya berita semasa mengenai Permatang Pauh yang akhirnya dimenangi oleh DS Anwar Ibrahim. Tahniah kepada DSAI. Harapan saya, DSAI akan membawa perubahan kepada lanskap politik negara yang diterajui UMNO yang semakin lama semakin rapuh dan begitu banyak kedaifan dalam mentadbir negara dan juga negeri. Yang benar disorokkan ceritanya kepada rakyat. Ekonomi dikatakan melonjak, tetapi rakyat semakin lama semakin terhimpit. Pemimpin dikatakan bersih, walhal rasuah semakin parah dan menjadi barah di dalam kepimpinan UMNO dan juga BN.

DSAI dan 3P

Kemenangan DSAI di Permatang Pauh adalah disebabkan reformasi minda rakyat. Rakyat sudah tidak begitu mempercayai kata-kata pemimpin yang berkuasa. Teori 3p iaitu Permatang Pauh, Parlimen dan Putrajaya adalah satu konsep yang dicanangkan rakyat yang begitu dahagakan reformasi kerajaan. Konsep ini begitu menakutkan pemimpin-pemimpin BN sehingga sanggup menggunakan segenap cara untuk menghalang kemaraan DSAI ke Putrajaya. Salah satu cara yang dianggap ramai adalah tuduhan liwat yang direka-reka. Walaupun Si Saiful ini telah bersumpah bahawa ianya diliwat oleh DSAI, rakyat tidak mempercayainya. Hanya segelintir rakyat yang mindanya telah rosak dan dirasuk syaitan yang mempercayai kebenaran kata-kata Saiful ini. Secara logik akalnya, takkanlah Si Saiful yang begitu gagah dan kuat pada fizikalnya, tidak dapat menahan tusukan DSAI?? Tetapi, pertuduhan yang dibuat oleh mahkamah adalah suka sama suka. Tidak kah itu kelakar?? Kalau suka sama suka, mengapa hanya DSAI yang dipersalahkan di mahkamah?? Ditambah lagi dengan pengakuan Doktor PUSRAWI yang mula-mula memeriksa Saiful yang mengatakan bahawa pemeriksaan pertamanya tidak ada tanda-tanda Saiful diliwat. Maka, betullah jika ada yang melabelkan kes ini adalah lakonan 'Liwat 2' yang sengaja direka oleh mereka yang ingin menghalang kebangkitan rakyat.

Blogger disekat.

Kebebasan bersuara melalui blog semakin diambil berat oleh kerajaan. Dulu mereka hanya memandang sebelah mata kewujudan blogger, kini mereka semakin merasa tertekan dengan pendedahan blogger tentang cerita sebenar yang berlaku. Blog Malaysia Today yang dikendalikan Oleh Raja Petra sudah disekat oleh kerajaan. Blog yang sentiasa mendedahkan jawapan kepada berita panas dan sensasi negara ini disekat aksesnya oleh kerajaan yang begitu takut kepada suara kebenaran. Mengapa tidak disiasat dakwaan RPK mengenai Rosmah yang terlibat dalam pengeboman Altantuya. Saya dapat merasakan kebenaran ada di situ. Lagi disorok kebenaran itu, selagi itulah kita akan bongkar. Seorang blogger yang begitu lantang mengkritik kepimpinan negara dan juga polis di Malaysia juga ditangkap dan dibebaskan selepas beberapa hari. Itulah blogger bebas 'penarik beca'. Sebenarnya ramai lagi blogger yang berpaksikan Pakatan Rakyat wujud di ruang maya siber ini. Beratus malah beribu blog yang menyokong Pakatan Rakyat bersedia untuk menggempur propaganda kerajaan yang semakin rapuh ini.

16 Sept -Teruskan perjuangan.

Menjadi sebahagian dari tanggungjawab rakyat Malaysia yang merasakan kerajaan perlu ditukar dan diselamatkan, saya mencuri masa untuk meneruskan wadah saya dalam memastikan rakyat mendapat info yang betul dan sahih. Bukan info yang diputarbelitkan oleh media massa arus perdana yang semakin tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita- berita yang dianggap sensitif oleh masyarakat Malaysia. Berita yang berbaur perkauman ditiupkan supaya rakyat benci sesama sendiri. Saya percaya inilah langkah terakhir UMNO untuk meraih simpati rakyat. Memang ada melayu dan cina serta india yang termakan dengan propaganda murahan ini, dan di saat inilah kita perlu tampil untuk memberi penerangan dan berkongsi pendapat tentang pembentukan Malaysia baru. DSAI telah menjadikan 16 September sebagai tarikh keramat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Semua orang menunggu 16 September. Pemimpin kanan negara yang pada mulanya tidak mengambil tahu kisah 16 September ini semakin lama semakin takut kerana kebenaran dakwaan DSAI tampak realiti dengan sekembali beliau ke parlimen. Jadi atau tidak 16 September nanti, perjuangan menyerlahkan kebenaran akan diteruskan.

Akhir kata, selamat menjalani ibadat puasa dan panjatkan doa kepada Allah supaya diberikan petunjuk kepada jalan yang benar. Islam mesti berkuasa, sebagaimana yang dikatakan oleh TG Hj Hadi seketika yang lepas. Siapa yang akan duduk ditampuk teratas mestilah mendaulatkan Islam dan insyallah, negara akan sentiasa berada dalam keadaan aman damai.

Wassalam.

-------------------------------------------------
catatan orangkita : 04 Sept 2008, 0412 pm
http://sangpemantau.blogspot.com/
-------------------------------------------------

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |