Malaysiakini |
Aug 26, 08 9:19am |
9.47 malam: Keputusan rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 15,671 undi. Penasihat PKR itu mendapat 31,195 undi, manakala calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah meraih 15,524 undi. Yang menariknya, majoriti undi yang diperolehi mantan timbalan perdana menteri itu, lebih tinggi daripada undi yang diperolehi oleh calon BN. Seramai 81.1 peratus daripada 58,49 pengundi di Parlimen Permatang Pauh keluar mengundi hari ini. 9.15 malam: Keputusan awal setakat ini, daripada sumber rasmi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat majoriti 14,551 undi. 7.59 mlm: Pengiraan tidak rasmi menunjukkan Anwar setakat ini mendapat 16,101 undi mendahului Arif Shah yang mendapat 6,071 undi. Pengiraan masih dijalankan. 7.30 mlm: SPR mula mengumumkan keputusan mengikut kotak undi. Setakat ini Anwar mendahului dengan 3,507 undi atau 48.11 peratus, iaitu PKR 5,398, BN (1,891) dan Akim (9). 6.55 ptg: Proses pengiraan undi sedang berjalan di 25 pusat pengundian. Menurut sumber-sumber dalaman, Anwar mendahului di semua saluran. 5.53 ptg: Polis telah menutup jalan utama menuju ke pusat penjumlahan undi di Institut Perguruan Tuanku Bainun, tempat keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh akan diumumkan. 5.00 ptg: Proses pengundian tamat dan ini akan diikuti dengan proses pengiraan undi. 4.25 ptg: Menurut Setiausaha SPR, Kamaruzaman Mohd Noor berkata sehingga jam 3 petang tadi, hanya 53.5 peratus keluar mengundi. Beliau juga menafikan khabar angin yang tempoh pengundian dilanjutkan hingga jam 6 petang.
Manakala Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar pula menganggarkan sehingga jam 1 tengahari, peratusnya dijangka meningkat kepada 53 peratus. 12.10 tghari: Seperti yang diramalkan oleh Jabatan Kaji Cuaca, hujan mulai turun di sekitar Permatang Pauh dan diramalkan juga akan berpanjangan hingga ke malam. 11.20 pagi: Bilik gerakan SPR di Permatang Pauh ketika dihubungi berkata, hanya Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor yang boleh memberitahu peratus pengundian. Kamaruzaman kini sedang meninjau perjalanan proses pengundian. 11.05 pagi: Ejen pengundian PKR, Rodziah Ismail, sahkan nama pengundi dalam kedua-dua versi daftar pengundi di SK Seberang Jaya 2, adalah sama, hanya muka surat yang berbeza. 11.00 pagi: Ramai penyokong BN dan Pakatan di SK Sri Penanti sudah beredar. Hanya tinggal kira-kira 100 penyokong BN dan kira-kira 200 penyokong Pakatan yang masih kelihatan di situ. Anggota polis masih mengawal keadaan di situ. 10.52 pagi Calon Akim, Hanafi Mamat memberitahu Malaysiakini, beliau dalam perjalanan untuk melawat pusat pengundian di Kubang Semang. Beliau menaruh harapan dan menegaskan, jika kalahpun "mesej kita sudah sampai kepada pengundi dan mereka boleh menilai". 10.42 pagi: Ketua Penerangan PKR, Tian Chua sedang berunding dengan pihak polis untuk memberi lebih masa kepada penyokong parti politik beredar. 10.42 pagi: Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob tiba di tempat kejadian. Selepas berbincang dengan para pegawainya, polis mengarahkan penyokong kedua belah pihak supaya beredar. Terdapat kira-kira 1,000 penyokong parti politik di situ, yang terdiri daripada kira-kira 400 penyokong BN dan 600 penyokong Pakatan. 10.30 pagi: seorang penyokong Pakatan ditahan di SK Sri Penanti kerana didakwa melontar objek ke arah penyokong BN. 10.10 pagi: Anwar berkata beliau berharap dapat angkat sumpah di Parlimen esok dan "kita akan masuk Parlimen dengan agenda yang jelas dan mereka (BN) patut bangun dengan menerima realitinya". Dalam ucapan ringkasnya selepas membuang undi, Anwar berkata, beliau menerima sokongan kuat penduduk Permatang Pauh. 10.05 pagi: Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR, Fauziah Salleh berkata pihaknya sedang menyemak perbezaan muka surat dalam daftar pengundi yang diberi pada PKR dan yang digunakan di saluran dua, SK Seberang Jaya 2. Katanya, muka surat 8 hingga 21 dalam daftar yang diberikan kepada PKR adalah untuk pengundi saluran dua, tetapi mengikut daftar pemilih yang digunakan oleh SPR pagi ini, bagi pengundi saluran dua adalah muka surat 1 hingga 14. 10.00 pagi: Anwar dan Dr Wan Azizah beredar dari SK Seri Penanti selepas kedua-dua mengundi di SK Sri Penanti. Ketika ditemui pemberita, Anwar berkata, ia bukan Anwar lawan calon BN, tetapi melawan seluruh jentera kerajaan. Bagaimanapun, Anwar yakin menang. 9.38 pagi: Anwar tiba di SK Sri Penanti untuk membuang undi. Beliau yang berbaju kameja biru dan bersongkok, bersama isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 9.31 pagi: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertembung Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang di pusat pengundian di SK Seberang Jaya 2. Penyokong Pakatan melaungkan 'Altantuya, pembohong, penipu' manakala penyokong BN pula melaungkan 'Hidup BN' 9.30 pagi. Menurut sumber yang layak dipercayai, 9 daripada 10 pengundi di SK Sri Penanti difahamkan memilih Anwar. 9.10 pagi PKR menghantar ‘alert' menyatakan senarai daftar pengundi yang digunakan di SMK Seberang Jaya 2, dalam DUN Seberang Jaya 2, berbeza dengan senarai yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini. Bagaimanapun, difahamkan berlaku perbezaan muka surat dalam daftar pemilih yang digunakan oleh pihak parti dan SPR di pusat pengundian tersebut. 9.05 pagi: Jumlah penyokong Pakatan di SK Sri Penanti, semakin bertambah mencecah kira-kira 700 orang. Manakala penyokong BN pula dianggarkan seramai 300 orang. |
Monday, September 1, 2008
Anwar menang besar: Majoriti 15,671
Posted by
Sang Pemantau
at
10:23 PM
Labels: DSAI, malaysiakini, Permatang Pauh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment