Mstar Online
30-08-2008 06:16:03 PM
KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Bajet 2009 yang dibentangkannya di Parlimen semalam bukan bertujuan mencari populariti tetapi lebih merupakan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.
Beliau berkata, ia bukan soal mencari populariti tetapi segala peruntukan yang diberikan itu menunjukkan kerajaan prihatin terhadap penderitaan yang ditanggung rakyat.
"Ini bukan soal populariti. Soalnya kita ada tanggungjawab kepada rakyat. Kini rakyat menderita dan kalau kita tak bagi, (pembangkang) kata kita tak peduli pada rakyat, kata kita tak prihatin, kata kita buat pekak dan tak ada perasaan terhadap rakyat.
"Bila kita bagi, depa kata kita nak popular. Jadi, macam mana? Apa yang kamu pilih?
Beri atau tidak? (sambil bertanya kepada pemberita). Beri. Kita menolong orang yang perlu pertolongan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Cawangan Bertam, di sini hari ini.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan berkata, ketika ini beliau hendak mendapatkan lebih banyak maklum balas daripada masyarakat mengenai bajet yang dibentangkannya semalam sebelum membuat sebarang komen.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pelbagai reaksi yang diberikan orang ramai mengenai bajet "Kerajaan Prihatin" itu.
Antara lain, bajet itu memperuntukkan tabung khas RM25 juta untuk membantu keluarga hilang punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan, kelayakan pendapatan bantuan kebajikan dinaikkan dari RM400 kepada RM720 sebulan (Semenanjung), RM830 (Sarawak) dan RM960 (Sabah).
Selain itu, rebat cukai dinaikkan kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000 dan ke bawah, pendapatan dari faedah ke atas simpanan individu dikecualikan cukai serta pengecualian bayaran bil elektrik bagi pengguna yang bilnya RM20 dan ke bawah sebulan berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.
Bagaimanapun, Abdullah senang hati apabila setakat ini kebanyakan orang boleh menerima bajet itu dan menganggapnya baik.
"Kebanyakan orang berkata baik, (tetapi) adalah juga yang bagi pandangan yang berlain sikit. Tunggu dan tengoklah dalam sehari dua lagi, biarlah orang lain bercakap dulu, baru saya nak komen.
"Saya masih menunggu untuk mendengar pandangan sama ada pro atau kontra, tetapi setakat ini banyak pro, banyak setuju. Alhamdulillah, senang hati. Pasal itu nama bajet kita Bajet Prihatin," katanya.
Ketika ditanya mengenai komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bajet itu bertujuan hendak "menggula-gulakan" rakyat, Abdullah berkata:
"Anwar, itulah yang dia tahu. Dia yang nak gula-gulakan rakyat, nak turunkan RM0.70 (harga petrol), itu nak gulakan rakyat lah tu. Apa kurangnya," katanya. BERNAMA
0 comments:
Post a Comment