+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 30, 2008

Harga beras 'tak masuk akal'


Beras Jati Biru dijual pada harga RM29.20 di sebuah pasar raya di Kuantan, Pahang, semalam. Harga beras wangi Bird of Paradise yang dulunya sekitar RM30 kini RM43.89.


KUANTAN 29 April - Penduduk di bandar ini merungut berikutan harga beras yang dikatakan melambung sehingga tidak masuk akal sejak akhir-akhir ini.

Mereka mendakwa, beras gred super tempatan yang biasanya berharga antara RM1.60 hingga RM1.80 sekilogram, melambung kepada RM2.70 hingga RM2.90 sekilogram.

Bagi beras basmati untuk nasi beriani pula, menurut mereka, kini melambung sehingga RM3.80 sekilogram berbanding RM3.20 atau RM3 sekilogram sebelum ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya di sekitar Kuantan mendapati dakwaan pengguna terbabit ada kebenarannya apabila beras gred super kini dijual dengan harga antara RM26 hingga RM28 sekampit (10 kilogram).

Beras jenis itu sebelum ini dijual dengan harga antara RM16 hingga RM18 bagi setiap 10 kilogram.

Harga beras gred super di kebanyakan pasar raya juga didapati tidak seragam tetapi kesemuanya melebihi RM26 sekampit (10 kilogram).

Beberapa pengguna yang ditemui mengeluh dengan kenaikan harga tersebut dan meminta Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memantau perkembangan tersebut.

Seorang suri rumah, Rokiah Noh, 52, berkata, dia terkejut apabila mendapati beras gred super yang dijual di sebuah pasar raya di Semambu di sini berharga RM27 sekampit.

Kebiasaannya, jelas beliau, harga beras yang seberat 10 kilogram sekampit itu ialah pada sekitar RM18 sahaja.

Apa yang menghairankan, jelasnya, ialah beras tersebut bukan diimport atau beras wangi yang dibawa masuk dari negara jiran sebaliknya merupakan keluaran tempatan.

Bagi seorang kakitangan swasta, Rosmi Megat, 54, dia turut terkejut apabila mendapati beras gred super yang dijual di sebuah pasar raya di Jalan Bukit Goh di sini berharga RM28 sekampit (10 kilogram).

Kenaikan itu, tegasnya, dianggap tidak masuk akal kerana beras tersebut dihasilkan di negara ini dan bukannya makanan import.

''Kita meminta pihak berkuasa menyiasat kemungkinan ada pihak yang sengaja menaikkan harga beras sedangkan kerajaan telah menjelaskan bahawa tiada kenaikan harga bagi beras gred super tempatan,'' tegasnya.

Keadaan yang sama turut dialami peniaga restoran, Mohd. Nazar Ali, 27, yang turut hairan berikutan kenaikan harga beras di beberapa pasar raya di bandar ini.

Menurutnya, harga beras gred super yang dijual di sebuah pasar raya di Jalan Kampung Tengah di sini juga melambung kepada RM28 sekampit (10 kilogram).

Bagi beras basmati pula, jelasnya, kini meningkat kepada RM36 sekampit (10 kilogram).

''Fenomena ini boleh menjejaskan peniaga seperti saya yang mungkin terpaksa menaikkan harga sepinggan nasi berikutan kenaikan harga beras yang tinggi di pasaran," katanya.

Mohd. Nazar meminta pihak berkuasa sentiasa memantau penjual dan pemborong beras supaya mematuhi arahan kerajaan dengan tidak menaikkan harga beras.

Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, harga beras meningkat 10 peratus sejak awal minggu ini, namun bekalan bahan tersebut untuk keperluan penduduk bandar raya ini tetap mencukupi.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai di sekitar bandar raya ini mendapati harga pelbagai jenama beras meningkat antara 10 sen hingga 20 sen setiap kilogram.

Pemilik Pasar Mini Kuala Terengganu, Chua Yew Siong berkata, beliau menjual pelbagai jenama beras dengan harga baru selepas menerima stok baru Ahad lalu.

''Harga semua stok beras yang baru diterima meningkat 10 peratus iaitu setiap 10 kilogram beras yang saya terima, harganya meningkat lebih RM2,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Justeru, menurutnya, beliau terpaksa menjual beras dengan harga baru kerana menerima beras dengan harga tersebut daripada pemborong.

Sebagai contoh, beras jenama Jati di kedainya kini dijual dengan harga RM11.30 untuk lima kilogram berbanding RM10.30 sebelum ini manakala RM21.80 bagi 10 kilogram berbanding RM19.80 sebelum ini.

Bagi jenama Faiza Emas, lima kilogram dijual RM11 berbanding RM10 sebelum ini dan RM21 untuk 10 kilogram berbanding RM19 sebelum ini.

Katanya, beliau memperoleh bekalan semua jenama beras yang dipesannya daripada pemborong kecuali jenama Taj Mahal yang terputus bekalan sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, seorang pekerja kedai runcit di Jalan Sultan Omar di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Kamarul, 20-an berkata, kedai itu juga menjual beras dengan harga baru selepas menerima stok baru minggu lepas.

''Hendak buat macam mana, kita terima bekalan beras dengan harga yang meningkat, jadi kami terpaksa jual dengan harga baru,'' katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, 30-an berkata, dia terpaksa membeli beras walaupun harganya sudah naik beberapa puluh sen kerana ia adalah makanan utama keluarganya.

''Saya cuma berharap kerajaan lakukan sesuatu supaya harga beras tidak terus meningkat sehingga membebankan pengguna,'' ujarnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |