Mstar Online
   14-04-2008 04:31:15 PM 
                 
PULAU PINANG: Semua institusi pendidikan yang tidak berasaskan keuntungan serta beroperasi di atas tanah bukan milik kerajaan di Pulau Pinang boleh menikmati kemudahan pembayaran cukai tanah bernilai RM1 tidak lama lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata untuk  membolehkan institusi pendidikan itu menikmati kemudahan  berkenaan, beliau akan membentangkan perkara itu pada mesyuarat Exco Rabu ini untuk mendapatkan kelulusan supaya perkara itu dapat diwartakan.
Katanya apabila perkara itu diwartakan kelak, kedudukan  institusi pendidikan yang menerima manfaatnya seperti Sekolah  Cina, Tamil, Sekolah Agama Rakyat dan sekolah bantuan modal  akan lebih terjamin dari segi undang-undang.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan  rombongan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurusan  Sekolah China Malaysia (Dong Zong), yang diketuai pengerusinya, Dr Yap Sin Tian di sini, beliau berkata kerajaan negeri akan  memberikan layanan yang sama kepada sekolah daripada semua aliran bagi membolehkan anak-anak terus mendapat pendidikan.
Cadangan mengurangkan bayaran cukai tanah kepada RM1 itu  merupakan antara perkara yang dikemukakan oleh Dong Zong pada pertemuan itu.
Pada ketika ini, cukai tanah yang terpaksa dibayar oleh pihak  pengurusan sekolah berkenaan terutamanya yang beroperasi di  atas tanah bukan milik kerajaan adalah berbeza-beza dan  mengikut kadar pasaran semasa.
Menurut Jadual Ketiga Kanun Tanah Negara, pengecualian bayaran  cukai tanah adalah terhad kepada institusi pendidikan yang  mendapat bantuan penuh daripada kerajaan.
Lim berkata sudah tiba masanya isu pendidikan tidak harus dipolitikkan kerana tindakan itu hanya akan merugikan bukan sahaja negara malahan masa depan anak-anak.
"Sudah sampai masanya isu pendidikan ditimbang dari aspek  keperluan kerana pendidikan adalah baik untuk pembangunan  negara.
"Pendidikan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, rohani dan jati diri rakyat dan ia adalah sesuatu yang baik bagi negara dan ini harus digalakkan.
"Dalam aspek ini, seperti mana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, pendidikan bahasa ibunda dan juga agama harus  terus digalakkan," katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menyarankan agar semua sekolah berkenaan mengemukakan permohonan kepada pejabat tanah dan daerah masing-masing untuk dipertimbangkan cukai tanah sebanyak RM1.
Selain cadangan mengurangkan bayaran cukai tanah sekolah di  negeri ini, Dong Zong juga mencadangkan supaya semua tanah rizab sekolah di setiap kawasan perumahan boleh digunakan untuk membina sekolah daripada mana-mana aliran yang diperlukan penduduk setempat termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah Persendirian Cina yang bukan bersifat keuntungan.
Persekutuan itu juga mencadangkan agar kerajaan Pulau Pinang  memberi peruntukan pembangunan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina untuk membantu pembangunan sekolahsekolah  itu dan berharap perkara itu dapat dilaksanakan secepat  mungkin. 
-BERNAMA
 
 
0 comments:
Post a Comment