+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 15, 2008

Media Alternatif Tidak Terkecuali Daripada Undang-undang, Kata Shabery

Bernama


Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek menyampaikan ucapan ketika merasmikan Fellowship Kewartawanan Antarabangsa Pertama di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Orang ramai tidak boleh beranggapan bahawa media alternatif kebal daripada tindakan undang-undang, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Selasa.

Beliau berkata sungguhpun orang ramai ada hak untuk menulis apa sahaja secara dalam talian seperti penulis blog, kerajaan juga ada hak untuk membela orang lain daripada penulisan yang tidak benar dan memfitnah.

"Orang anggap media alternatif boleh lakukan apa sahaja. Ini tidak benar. Baru-baru ini ada kes terhadap sesetengah penulis blog ini.

"Walaupun hak menulis apa sahaja ada pada semua, kita juga masih ada hak mempertahankan orang yang dimalukan dengan kata-kata yang tidak betul," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fellowship Kewartawanan Antarabangsa Pertama yang dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI) di University Malaya (UM) di sini.

Beliau menambah bahawa dengan adanya teknologi hari ini, forensik siber boleh dikesan dan dikenalpasti penulis atau yang memfitnah dalam talian walaupun mereka menggunakan Internet atau nama lain sebagai pelindung.

Mengenai media alternatif lebih popular di kalangan orang ramai yang ragu-ragu berbanding dengan media tradisi seperti surat khabar dan televisyen, Shabery berkata media tradisi hendaklah membina reputasi dan kredibiliti mereka.

"Pada hakikatnya ialah reputasi dan kredibiliti. Jika anda ada itu dan anda melaporkan berdasarkan kebenaran, hakikatnya orang ramai akan terus membaca artikel anda. Ini adalah cabaran baru untuk surat khabar dan bagi sebarang bentuk media yang ada," kata beliau.

Dalam ucapannya pada pelancaran kursus selama 40 hari itu yang bermula Isnin, Shabery menekankan bahawa walaupun nama besar dalam media yang berpengaruh, penyampaian menarik dan penyampai yang cantik, media di negara membangun masih boleh melakukan yang lebih baik dari segi kandungannya.

"Trend media hari ini tidak lagi mengenai perniagaan untuk memberikan makluman kepada orang ramai. Ia mengenai mewujudkan permintaan dan pertukaran pandangan. Ia bukan lagi relevan untuk ada berita yang memberikan fakta.

"Kita mesti berada dalamnya untuk jangka masa panjang. Kalau tidak, kita akan ketinggalan," tambah beliau.

Seramai 33 wartawan muda dari negara ketiga termasuk Zimbabwe, Afrika Selatan, Lubnan, Arab Saudi, Filipina, Sri lanka, Laos, Bangladesh, Vietnam, Seychelles dan Malaysia menghadiri kursus ini.

-- BERNAMA


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |