+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 28, 2008

Keris tidak lagi dijulang tapi keangkuhan masih ada pada Umno - Anwar

Harakahdaily

Salmiyah Harun

Sun | Apr 27, 08 | 10:39:09 am MYT

SHAH ALAM, 27 April (Hrkh) - Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata Ketua Pemuda Umno Dato' Hishamuddin Tun Hussien tidak perlu mengulangi kesilapan mengangkat keris yang memberi gambaran keangkuhan bangsa Melayu.

Katanya, kesilapan beliau bukan soal keris yang dijulangnya tetapi di sebaliknya iaitu sikap keangkuhan kuasa yang terus-menerus membuatkan rakyat negara ini mengubah undi mereka dalam pilihan raya lalu.

"Umno telah mempermainkan isu bangsa, etnik dan kaum dalam politik negara kita dan ini masih diteruskan oleh Umno," katanya dalam sidang media selepas melancarkan dua buah buku Allahyarham Rustam A. Sani di Perpustakaan Raja Tun Uda.

Misalnya kata beliau, dalam ulasan isu ternakan babi di Selangor dan ulasan mengenai ketuanan Melayu kononya orang Melayu sudah bangkit dan marah.

Keadaan ini katanya memberi makna sentimen keangkuhan masih kukuh dalam Umno yang tidak boleh lagi diterima oleh rakyat negara ini.

"Langkah menyatakan minta maaf itu amat kita alu-alukan tetapi perkara ini harus diambil serius terutama sentimen dalam Umno iaitu menjulang keris," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Hishamuddin yang meminta maaf dan mengakui perbuatan menjulang keris Panca Warisan dalam Perhimpunan Agung Umno telah menjejaskan undi BN dalam pilihan raya lalu.

"Saya minta maaf pada orang bukan Melayu kerana telah menakut-nakutkan mereka dan kepada orang Melayu kerana gagal mempertahankan simbol warisan orang Melayu.

"Saya bukan angkuh dan sombong yang tidak boleh memohon maaf dari orang lain," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda BN di ibu negara hari ini.

Sebelum itu, Anwar turut melancarkan dua buah buku tulisan Allahyarham Rustam 'Failed Nation?' dan 'Concerns Of a Malaysian Nationalist' yang diterbitkan oleh Strategik Information and Research Development Oganized (SIRD).

Program yang bermula jam tiga petang itu turut memberi ruang kepada sahabat-sahabat yang rapat dengan Allahyarham Rustam untuk memberi ucapan antaranya, Dr Syed Hussein Ali, A Samad Said, Hishamuddin Rais dan Noraini Othman.

Mereka masing-masing menceritakan pengalaman dan detik-detik manis sepanjang mengenali Allahyarham Rustam bermula sewal beliau masih kanak-kanak hingga dewasa ketika bersama-sama arwah ayahnya iaitu Ahmad Boestaman.

Majlis bertambah sayu apabila, kedua anak Allahyarham iaitu Azrani dan Aryani diberi kesempatan berucap di hadapan kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada rakan taulan serta peminat Allahyarham.

Bacaan al-Fatihah disedekahkan kepada Allahyarham oleh mereka yang hadir dan diikuti bacaan doa buat beliau agar rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |