+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 28, 2008

SPR awasi kempen internet

Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad


Datuk Wan Ahmad Wan Omar

Tindakan dikenakan jika calon, parti politik salah guna laman web, blog, SMS

KUALA LUMPUR: Calon dan parti politik yang berkempen menggunakan laman web, blog atau SMS pada pilihan raya akan datang, boleh dikenakan tindakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika mereka didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Ini berikutan cadangan SPR meluaskan bidang kuasanya sehingga mencakupi kempen menerusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), berbanding hanya tertumpu kepada kaedah konvensional seperti pemasangan bendera, sepanduk, risalah, ceramah dan kenyataan media ketika ini.

Langkah itu juga sejajar usaha suruhanjaya itu memastikan peruntukan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 lebih lengkap dan menyeluruh, selain menjamin kewibawaannya melaksanakan tanggungjawab sebagai pengendali pilihan raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata kajian meluaskan bidang kuasa itu perlu berikutan semakin ramai calon dan banyak parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum lalu menggunakan kaedah berkenaan untuk berkempen.

"Ketika ini, undang-undang sedia ada tidak memberi kuasa kepada SPR untuk bertindak terhadap pihak yang melanggar peraturan ketika berkempen menerusi internet, termasuk laman web, blog atau SMS."Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 hanya menumpukan kepada kaedah kempen seperti pemasangan bendera, sepanduk, risalah, ceramah dan kenyataan media, tetapi kini SPR perlu lebih peka dengan perubahan serta memperluas skop penguatkuasaan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wan Ahmad berkata, SPR perlu membuat persediaan awal untuk berdepan kemungkinan lebih ramai calon dan parti politik yang berkempen menerusi pelbagai kaedah dan teknologi baru dalam pilihan raya pada masa depan.

"Sekarang ini pun, kebanyakan parti politik sudah merangka strategi dengan menyampaikan bahan dan maklumat kepada rakyat menggunakan teknologi siber. Sudah tentu kaedah sama akan turut diguna pakai untuk berkempen selepas ini.

"Sebagai badan yang bertanggungjawab mengendali pilihan raya, SPR tentu tidak mahu terlepas pandang mengenai kempen yang dibuat pelbagai pihak menggunakan ICT dan alam siber," katanya.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata butiran terperinci mengenainya perlu diteliti sebelum dimasukkan secara rasmi dalam peraturan kempen pilihan raya, selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta polis.

Keperluan mewujudkan peraturan baru untuk kempen menggunakan ICT itu ditimbulkan dalam siri perjumpaan bedah siasat SPR berhubung proses pengendalian pilihan raya umum lalu, yang diadakannya secara berperingkat di seluruh negara.

Perjumpaan itu yang dibuat dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO), antara lain bertujuan mendapatkan maklum balas mereka berkaitan persiapan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, hari penamaan calon, kempen, proses pengundian serta pengiraan undi.

Setakat ini, SPR sudah melaksanakan sesi berkenaan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan 10,922,139 pengundi berdaftar memilih wakil untuk 222 kerusi Parlimen dan 501 Dewan Undangan Negeri (DUN). SPR menyediakan 7,950 pusat dengan 21,822 saluran mengundi, kebanyakannya sekolah, dewan, balai raya, tadika dan khemah sementara.

Wan Ahmad berkata, langkah memasukkan perkara berhubung kaedah terkini berkempen itu juga bertujuan memperluaskan lagi bidang kuasa dan skop pemantauan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya SPR supaya lebih kemas dan diyakini.

"Pasukan ini ditubuhkan untuk memantau kempen calon pilihan raya bagi memastikannya mematuhi undang-undang, tetapi jika kempen menerusi laman web, blog dan SMS itu tidak termasuk di bawah bidang kuasa SPR, tentu sukar untuk mereka melaksanakan tugas dengan berkesan," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |