+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 3, 2008

AD-LIB: Siapa lebih kontroversi... Mufti Perlis atau Faizal Tahir?

Mstar Online

01-05-2008 04:57:41 PM
oleh ZIEMAN


KENYATAAN yang benar, berani, sensitif dan selalunya berbaur 'negatif' mudah saja mendapat reaksi dan persepsi yang mengundang 'kontroversi.'

Malah aksi, perlakuan mahupun kenyataan yang terang-terang dibuat atas landasan yang menongkah arus juga dikatakan kontroversi.

Mungkin dewasa ini, personaliti yang layak mendiami takhta teratas bagi kategori kontroversi ini ialah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza. Tokoh agama yang disegani ini cukup 'kontroversi' tanpa disedarinya.

Mungkin juga ini disebabkan keberanian dan kelantangan juga ketajaman beliau mengeluarkan buah fikirannya yang bernas tanpa takut-takut.

Pernah sekali secara berlawak sinis, Dr Maza berkata, dia tidak takut berkata benar.

"Saya tidak kisah apa orang nak cakap. Habis kuat dia orang suruh saya 'berehat'...eloklah sayapun dah penat," katanya dalam satu perbualan telefon.

MUFTI YANG KONTROVERSI

Bagi beliau, segala teguran atau kenyataan yang dibuat bukan berniat untuk mencetus kontroversi kerana itu sudah tanggungjawabnya sebagai 'pemegang mohor besar' dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Dari kenyataan 'Kerajaan perlu bertaubat nasuha', 'Mualaf tidak perlu menukar bin/bintinya,' 'Isu babi di negeri Selangor' hinggalah ke 'Jangan perbesar isu Sufiyah' semuanya tidak terlepas pandangan Mufti...

Dan paling terbaru pula adalah konsert Jom Heboh di Perlis. Antara yang tertulis di dalam hebahan terbaru yang disiarkan dalam blognya www.drmaza.com ialah..."Jabatan Mufti Perlis tidak mengharamkan Program Jom Heboh anjuran Stesyen TV3, akan tetapi pihak Jabatan Mufti dukacita dengan nilai-nilai negatif yang terselit bersama dengan program Jom Heboh tersebut."

Beliau menegaskan, teguran mahupun surat bantahan yang dikeluarkan oleh Jabatannya tidak bermaksud mengharamkan Jom Heboh. Ianya sekadar satu pemantauan untuk memastikan tidak ada perkara yang tidak elok berlaku.

Ketegasan yang cuba ditekankan oleh Mufti antara lain beliau mencadangkan garis panduan pelaksanaan program Jom Heboh di Negeri Perlis:

i. Program Jom Heboh TANPA konsert adalah satu keutamaan sekiranya hendak dilaksanakan di Negeri Perlis

ii. Jika disertai dengan program konsert, ia hendaklah terkawal dan berdisiplin

iii. Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan

iv. Artis-artis yang hendak dibawa masuk hendaklah artis yang telah dirujuk persetujuan dari Jabatan Mufti, secara umumnya dicadangkan artis-artis puisi seperti Kopratasa, Ramli Sarip dan Sohaimi Mior Hassan ataupun kumpulan-kumpulan nasyid di tanahair.

v. Sebarang aktiviti-aktiviti yang memperlihatkan nilai-nilai kebodohan yang seakan-akan memperlekehkan akal dan pemikiran rakyat adalah tidak boleh dibenarkan

vi. Unsur-unsur khurafat seperti penampilan kepercayaan-kepercayaan misteri dan karut tidak dibenarkan. Demikian juga jualan barang-barangan khurafat dan tahyul seperti kayu koka tidak dibenarkan

vii. Penganjur Jom Heboh hendaklah menghormati sensitiviti orang-orang Islam seperti tidak menguatkan bunyian-bunyian pada waktu solat sehingga kelihatan seperti tidak menghormati agama.

Tujuan murni beliau memantau Konsert Jom Heboh agar tidak ada terpalit mahupun terselit elemen negatif dan yang boleh membawa ke arah maksiat seharusnya dipuji.

Keberanian beliau mengutarakan hujah-hujahnya agar masyarakat Perlis khususnya tidak terus-terusan hanyut dibawa sentimen hiburan yang melampaui batas adalah wajib. Berhibur boleh tapi ada garis panduan yang perlu diikut. Apa saja tanpa batasan dan panduan akan membuat kita khayal, terpesong dan lalai.

Selebihnya kita perlu fikirkan sendiri apakah kenyataan yang dibuatnya berbentuk kontroversi, sensasi atau sememangnya wajar dibuat kerana beliau seorang Mufti. Tambahan pula tokoh dan ilmuan agama ini arif dan bijaksana tentang hal hukum hakam ini.

TEGURAN MUFTI BUAT FAIZAL

Sinonim dengan kelantangannya bersuara menegur, Mufti berkata, "Artis-artis yang menimbulkan contoh-contoh yang buruk seperti Faizal Tahir atau aliran artis lain dari aliran rock, dangdut dan seumpamanya yang mempromosikan gelagat-gelagat liar dan ala kebudak-budakan yang menghapuskan nilai-nilai kematangan hidup tidak boleh dibenarkan."

Rasanya 'clause' di atas sudah merangkumi beberapa golongan artis di dalam dunia hiburan. Jadi mana-mana artis yang 'makan cili akan terasa pedasnya.'

Sebenarnya ini bukan kali pertama Faizal ditegur Mufti. Dua minggu lepas, beliau mula menegur Faizal Tahir dalam kolum Minda Muftinya di bawah tajuk, "Kekeliruan identiti menjadikan kita hilang arah."

Lantang sekali teguran Mufti. Katanya, bukan sahaja semua jenama parti politik menghadapi krisis identiti setelah berlaku tsunami politik yang merubah banyak identiti negara dan parti tetapi dalam dunia hiburan juga ramai.

"...Seperti seorang artis yang keliru antara ingin menjadi penyanyi atau menjadi super-man. Krisis identiti ini juga kadang-kala seperti seorang yang berjantina lain, tetapi berkecenderungan lain. Akhirnya ‘saudara’ pun tidak, saudari pun tidak. Maka akhirnya mungkin dipanggil ‘saudarai.'"

Walaupun nama Faizal Tahir tidak disebut namun umum tahu, teguran itu ditujukan khas untuknya. Sementelah siapa yang TERUJA dengan watak Superman jika bukan Faizal Tahir yang tidak lekang dengan baju T 'Superman'nya. Mufti menyifatkan perlakuan Faizal ini seperti kebudak-budakan yang 'sekejap ingin jadi manusia sekejap ingin jadi Superman.'

Jelas, menurut Mufti, kekeliruan identiti turut dialami oleh Faizal. Nasib kurang baik, Faizal pula selepas teguran dibuat telah kebetulan mengenakan pakaian 'berlubang-lubang' nampak skin color di Anugerah Planert Muzik yang jelas tidak begitu sesuai untuk kaum Adam.

Tapi kata tokoh agama itu lagi, beliau bukan anti Faizal Tahir dan bukan juga antimuzik...

FAIZAL TAHIR DALAM 'DILEMA' KONTROVERSI

Faizal Tahir, yang sinonim dengan isu kontroversi buka baju, cukup kecewa dilarang menyanyi di Jom Heboh, di Perlis minggu depan.

Mungkin Faizal belum pernah lagi mengeluarkan kenyataan sehebat Mufti Perlis, namun kontroversi yang membelenggu Faizal tidak kurang menariknya. Kalau Mufti buat kenyataan kontroversi, Faizal pula buat aksi kontroversi.

Teguran Mufti yang baru diterima Faizal sudah cukup mengheretnya ke kancah kontroversi semula. Tambahan pula, Faizal baru saja 'dibebaskan' maka namanya masih lagi dalam 'black list' ramai orang.

Beliau baru saja 'lepas hukum' 3 bulan setelah insiden membuka baju di atas pentas menayang dada polosnya pada peminat. Siapa sangka, baru saja hendak menarik nafas lega, Faizal akan 'dikenakan' hukum semula.

Pastinya Faizal cukup terasa bahangnya setelah dicap sebagai 'artis yang tidak menunjukkan contoh yang baik'. Teguran ini sekaligus bagaikan satu cabaran buat Faizal untuk membuktikan yang dia tidak 'seburuk' yang disangka oleh Mufti?

Mungkin juga hukuman yang dilalui sudah meninggalkan kesan pada Faizal. Dari semua cakap-cakap Faizal, kedengaran seolah Faizal sudah insaf dan tidak mahu mengulangi dan mengingati 'titik hitam' yang pernah dilaluinya.

Kini, Faizal yang cerdik, berbakat besar tetapi sedikit 'lepas laku' berada dalam kebingungan. Manakan tidak, karier seni yang baru nak bermula dengan mengacara rancangan 'Gang Starz' musim 2 bagaikan tidak mendapat restu dari Mufti Perlis.

Bila Mufti sudah tidak berkenan perangai Faizal, memang payahlah nak dapat imuniti. Ada benarnya Mufti menamakan Faizal kerana tidak mahu artis itu menjadi contoh tidak baik pada peminat-peminatnya.

Tapi bukankah itu cerita lama, wahai tuan Mufti. Setiap manusia perlu diadili dengan apa yang dilakukan sekarang, tidak begitu? Lembaran baru Faizal baru saja bermula....Tidak adil beliau dihukum terus-terusan atas satu kesilapan.

Walaubagaimanapun, mufti bistari mendakwa, walaupun Faizal telah menerima hukuman kerana perlakuannya yang kontroversi, Faizal masih tidak menunjukkan perubahan. Sukar untuk membuat tanggapan fizikal samada Faizal sudah berubah atau tidak rasanya....

Penyanyi yang 'baik-baik' seperti penyanyi puisi Kopratasa, Ramli Sarip, M.Nasir dan Sohaimi Mior Hassan juga penyanyi nasyid sahaja yang mendapat pengiktirafan Mufti. Jangan sebut penyanyi rock, dangdut mahupun rappers. Semua ini tidak masuk dalam 'kitab' artis bercontoh baik bagi Mufti.

Seharusnya teguran yang dibuat adalah satu tamparan hebat buat semua artis yang berada dalam kelompok 'Bukan artis contoh'. Tapi masakan mereka berani bersuara menyatakan isi hati mereka yang sebenarnya kerana dalam hukum Islam, hitam tetap hitam dan putih tetap putih. Maka itulah garis panduan yang juga dibuat oleh Mufti Perlis kita.

Dan jelas sekali di antara hitam dan putih itu adalah lembah yang didiami oleh orang-orang hipokrit dan munafik. Siapakah agaknya mereka itu?

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |