+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, May 3, 2008

Perginya tokoh korporat Melayu




KUALA LUMPUR - Setelah hampir tiga bulan menjalani rawatan kanser paru-paru di sebuah hospital di Los Angeles, pengasas dan pengerusi Kumpulan Naza, Tan Sri S.M Nasimuddin S.M Amin, 53, menghembuskan nafas terakhirnya Khamis lalu.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 9 pagi (waktu Los Angeles) iaitu pukul 10 malam waktu tempatan.

Berada di sisi Allahyarham di saat-saat terakhir ialah isterinya, Puan Sri Datin Sri Utama Zaleha Ismail dan anak-anak beliau. Nasimuddin meninggalkan seorang balu, lima anak dan seorang cucu.

Jenazah tokoh perniagaan Melayu berjaya itu dijangka tiba ke Malaysia Ahad ini dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Melaka, Batu 9 Cheras, Hulu Langat di Kajang.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati rumah pemilik empayar industri automotif terbesar itu tidak berpenghuni.




Ia hanya dikawal oleh dua orang pengawal keselamatan dan dipenuhi oleh media sejak awal pagi lagi.

Dalam pada itu, adik Allahyarham, S.M Shalahuddin berkata, arwah cukup meminati kereta dan mendedikasikan dirinya kepada hobi tersebut.

Pada pertemuan ringkas dengan pihak akhbar di Menara Naza semalam, beliau berkata, walaupun bisnes ini telah menjadikan Nasimuddin dan adik beradiknya taikun dunia automobil, kejayaan itu datang perlahan dan semestinya menerusi kerja keras.

"Kami bermula pada 1975, mengimport tujuh ke lapan buah kereta recond Jepun sebulan, kami adalah (syarikat) Melayu pertama memperkenalkan kereta recond di Malaysia kerana tidak ramai yang benar-benar memberi pengkhususan dalam bisnes berkenaan ketika itu.

"Ketika itu, menjual kereta recond tidak seperti hari ini. Kami perlu bekerja keras, menyediakan kredit-leasing sendiri, kami sendiri terpaksa memantau sama ada pelanggan terus membuat bayaran... hanya pada 1979 bisnes mula mengutip hasil berjuta (ringgit)," kata Shalahuddin, juga Presiden Naza Kia Sdn. Bhd.

Shalahuddin, menyifatkan arwah sebagai seorang bertutur lembut, tenang dan mudah bekerja dengannya.

Malah, kata beliau, abangnya itu amat mementingkan kesihatannya dengan bermain badminton dan segera mendapat rawatan walaupun untuk masalah kecil seperti batuk.

Bagaimanapun, katanya, penyakit abangnya itu muncul secara mengejut.

"Kami tahu beliau berada di California sejak Januari untuk melihat bisnesnya di sana serta rawatan perubatan isterinya.

"Dalam tiga minggu lepas penyakit beliau mula kritikal dan terus mendapat rawatan di sana,'' kata beliau.

Abang sulung Nasimuddin, Datuk Sharifuddin berkata, mungkin arwah tidak menyedari penyakitnya itu hingga kanser tersebut berada di tahap serius.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |