+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, May 12, 2008

Munafiknya politik Abdullah Badawi

Malaysia Today

PDF Print E-mail
Posted by labisman
Saturday, 10 May 2008

Sample Image

KAMAL AMIR MENULIS

Bukan kerana takut atau putus harapan, sebaliknya rasa menyampah, bosan, meluat dan jelek atas kebobrokkan pimpinan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi .....

SEJUJURNYA hati dijengah kebosanan cukup merencam untuk menulis kesan terseretnya Raja Petra Kamaruddin ke mahkamah atas tuduhan melakukan “jenayah menghasut” hingga mengakibatkannya singgah bermalam sehari dua di Penjara Sungai Buluh.

Meskipun sepanjang minggu lalu berada di persekitaran Lobi Parlimen bertemu teman-teman dan rakan bergelar Ahli Yang Berhormat sambil mendengar gebang Pak Menteri bertelegah dengan barisan wakil pembangkang membenihkan terlalu banyak cerita -ceritet untuk dicatatkan, namun apabila Raja Petra Kamaruddin dituduh di bawah akta hasutan mengakibatkan ilham menggarap menjadi beku dan terencat.

Bukan kerana takut atau putus harapan, sebaliknya rasa menyampah, bosan, meluat dan jelek atas kebobrokkan pimpinan sidang wazir Abdullah Ahmad Badawi mempergunakan kuasa secara sembrono untuk memasung dan memperhambakan minda rakyat agar tidak lagi tegar menegur serta mengkritik setiap percaturan politik yang cukup tempang serta berada dalam situasi sempang peranang.

Saat menghubungi Marina Lee isteri Raja Petra dan diberitahu kemungkinan kerabat Istana Selangor itu mungkin mengambil tindakan melakukan “mogok lapar” serta enggan diikat jamin sejumlah lima ribu ringgit meskipun puluhan ribu datang mencurah hasil sumbangan dermawan yang cukup bersimpati terhadapnya membuatkan hati ini benar-benar dijengah kebosanan.

Lantaran itu semacam terpanggil pula untuk melakukan “mogok menulis” di mana pimpinan Prima saudara Dharmala N.S telahpun diberitahu untuk menyatakan bahawa saya tidak akan menulis selagi Raja Petra meneruskan mogok laparnya sebagai tanda simpati atas apa yang dialami oleh pengendali Blog Malaysia Today mencabar kebebasan bersuara.

Dan setelah Raja Petra kembali bebas dari terpasung disebalik tabir besi tembok penjara Sungai Buloh, terasa seperti ada nafas baru untuk kembali menggarap sesuatu di ruangan ini meskipun terdetik jua rasa mual dan menyampah terhadap apa yang telah berlaku.

Semoga apa yang dialami oleh Raja Petra tidak berlarutan pula keatas pengendali blog lain di mana jika benar keadilan mahu dicari, seharusnya ia dilaksanakan mengikut tindakan berhemah serta tidak dilakukan dalam situasi tergesa-gesa dan tidak menentu. (lihat kenyataan Raja Petra lewat tulisannya hari ini). Biar apa pun, yang pasti Petra akan kembali menulis lagi. Syukurrr.......

Kembali menyorot rencam politik semasa, ternyata Abdullah Ahmad Badawi berada pada kedudukan cukup terdesak lantaran meneruskan hasratnya menemui pimpinan akar umbi Umno untuk kembali menjaja “temberang politiknya” sebagai upaya mengapai yakin kalangan ahli-ahli Umno menerusi program yang diatur (khabarnya) oleh Jabatan di bawah Kementerian Penerangan dan Pembangunan Luar Bandar.

Seperti yang pernah dicatatkan dua minggu lalu, sekali lagi wang rakyat dibazirkan hanya kerana mahu memperkukuhkan kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno. Kalau pada peringkat awalnya direncakan pertemuan tersebut mahu diadakan di Seri Perdana, kini ia sekadar bertukar tempat ke Dewan Tun Husein Onn di Putra World Trade Centre di halaman rumah UMNO.Namun majlis tersebut tetap diadakan.

Sabtu lalu kalangan pimpinan Umno dari seluruh Negeri Pulau Pinang telah di punggah berduyun-duyun untuk mendengar gebang Pak Menteri serta temberang politik Abdullah di mana khabarnya dalam majlis tersebut turut diterjemahkan hati naluri akar umbi Umno mahukan agar imam besar Islam Hadhari segera berundur.

Dan hari ini (Sabtu) 10 Mei 2008 kalangan pimpinan akar umbi dari negeri Kedah, mula dipunggah sejak Jumaat 9 Mei 2008 ke Kuala Lumpur berduyun-duyun menggunakan Bas yang khabarnya sejumlah enam puluh buah untuk mendengar sekali lagi gebang Pak Menteri meyakini rakyat supaya Abdullah Badawi mesti terus di kekalkan sebagai Presiden Umno.

Siapakah yang membiayai sewa Dewan di PWTC untuk tujuan tersebut? Siapa pula membiayai makan minum serta kos penginapan setiap pimpinan Umno peringkat akar umbi dari Kedah yang pastinya menelan belanja ratusan ribu ringgit saat rakyat di himpit beban melambongnya harga beras di pasaran?

Jika begitulah keadaannya, mampukah kita menolak kemungkinan berlakunya “politik wang” yang membolehkan setiap penganjur serta pelakunya dikenakan tindakan disiplin.Siapakah di kalangan ahli Umno yang sanggup membuat laporan kemungkinan ujudnya politik wang di majlis tersebut?

Sementara itu sejak kelmarin beberapa laporan ada menyebut tentang laporan polis telahpun dilakukan oleh Setiausaha Agung Umno meminta pihak polis menyiasat berhubung kenyataan Karpal Singah mempertikaikan campur tangan baginda Sultan Perak dalam kemelut pentadbiran di negeri yang kini di perintah oleh gabungan parti DAP, PAS serta Keadilan.

Sifir politiknya teramat mudah untuk dibaca, ada pihak mahu menjadikan isu tersebut sebagai alasan agar operasi ala “operasi lalang” dapat dijelmakan sebagai sebahagian daripada percaturan politik mengapai yakin ahli Umno terhadap kepimpinan ukup lemah yang dipamerkan oleh Abdullah Ahmad Badawi.

Disamping itu juga ia semacam satu isyarat kepada kalangan penulis blog agar segera kembali membodek dan mengampu Abdullah Ahmad Badawi seperti yang dilakukan oleh kalangan anggota sidang wazirnya.

Kenyataan Karpal Singh juga dilihat sebagai modal ampuh sebagai nafas baru untuk Abdullah melaksanakan percaturan :”politik itu seni memperdayakan pemikiran sejagat” atu lebih tepat lagi dalam bahasa Inggeris di sebut “ Politics is the art of deceiving mankind”. Dengan bermodalkan retorika “Ketuanan Melayu terancam” pastinya ia di yakini oleh kalangan pembodek dan pengampu Abdullah dapat mengembalikan keyakinan ahli Umno dan umat Melayu untuk berdiri teguh di belakangnya.

Tambahan pula Putera Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah telahpun menawarkan dirinya sebagai calon Presiden Umno, tentulah retorika dari keceluparan Karpal Singh boleh dijadikan isu politik untuk terus didengungkan bagi menggambarkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai wira bangsa serta wajar dipertahankan sebagai Presiden Umno.

Sejak penawaran dirinya menjadi calon Presiden serta kesan sesi bertemu akar umbi sambil bermuhasabah memikirkan halatuju Umno selepas dijengah gelombang Tsunami politik Suara Rakyat Kuasa Keramat, Tengku Razaleigh Hamzah kian menyerlah kehadapan menjadikan Abdullah bersama sidang wazirnya dijengah bimbang bakal tersingkir dari Seri Perdana, kerana itu mereka amat berkeyakinan siri pembalunan serta membelasah kenyataan Karpal Singh adalah modal politik terbaik saat ini.

Melalui beberapa siri susulan gertak dan ugut, pastinya cengkaman Abdullah Ahmad Badawi keatas Umno akan terus mantap disamping dapat pula menghilangkan pelbagai isu yang semakin membarah seperti penguasaan kerajaan Tiga Beranak, persoalan mendadaknya harga beras di pasaran, kepelbagaian skandal yang masih belum dilangsaikan mampu dibendung dari menghantui pemikiran ahli-ahli Umno.

Sejauh mana digarap keberhasilannya, hanya waktu dan ketika bakal menentukan segala. Biar apa pun yang pasti sejak bermulanya sesi bertemu pimpinan akar umbi sejak sabtu lalu dengan berlakunya pembaziran wang rakyat sebagai korban memperkukuhkan kedudukan imam mazhab Islam Hadhari, ternyata Abdullah Ahmad Badawi berbohong lagi.

Bagaimana mungkin boleh diyakini kenyataannya mahu melaksanakan “Peralihan Kuasa” dalam sab kepimpinan Umno sedangkan diwaktu yang sama Abdullah Ahmad Badawi telahpun membuat pengumuman akan tetap bertanding jawatan Presiden Umno menjelang Disember 2008 ? Bolehkah sesaorang penjawat jawatan Presiden menyerahkan kuasanya kepada orang lain disaat dia masih menawarkan dirinya ke jawatan tersebut?

Sewajarnya kalangan ahli Umno segera memikirkan sedalam mungkin tentang kemunafikan politik yang kembali dijelmakan oleh Abdullah Ahmad Badawi untuk memasung dan melakukan perhambaan minda. Di mana logiknya dia mahu melaksanakan plan peralihan kuasa sedangkan secara jelas dan terang imam besaqr mazhab Islam Hadhari itu tetap melafazkan ikrarnya mahu bertanding jawatan Presiden.... fikir-fikirkanlah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |