KOTA BHARU 11 Mei - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti politik yang dianggapnya selari dan bersesuaian dengan perjuangan dan pendirian politiknya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan perkhidmatan berkualiti dapat diberikan dengan lebih berkesan kepada rakyat Pasir Mas.
Menurutnya, walaupun telah menyertai mana-mana parti sekalipun, dia akan kekal dengan pendirian asalnya iaitu menegur mana-mana pihak termasuk parti yang diwakilinya tanpa rasa takut.
"Maknanya apa cadangan baik Kerajaan Pusat, saya akan sokong. Begitu juga dengan parti yang saya wakili tetapi jika ia tidak baik dan menyusahkan rakyat, saya akan lawan dan tegur secara kritikal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Ibrahim yang dipecat daripada menjadi ahli UMNO telah bertanding atas tiket Bebas tetapi menggunakan logo Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Menurutnya, pada masa ini beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk menyertai mana-mana parti tetapi akan tetap berbuat demikian dalam tempoh antara enam bulan atau setahun lagi.
"Saya sebenarnya serik untuk terus terima masuk mana-mana parti kerana saya akui saya ini amat lantang apabila menyuarakan sesuatu dan agak terkehadapan berbanding dengan pihak lain.
"Amalan negara ini iaitu jika masuk parti maka kita kena sokong dan undi setiap usul parti itu walaupun kita tidak bersetuju. Perkara ini memang bertentangan dengan jiwa saya," katanya.
Ketika ditanya mengenai kecenderungan sama ada menyertai Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang terutamanya Pas, beliau tidak memberi jawapan jelas.
Ibrahim berkata, beliau akan memilih parti yang mempunyai falsafah perjuangan yang selari dengan misi dan visinya.
"Saya ambil kira kekuatan dan kepimpinan parti yang boleh disesuaikan dengan hasrat saya. Tetapi saya ingin ingatkan bahawa parti terbabit tidak perlu bimbang kerana saya tidak akan merugikan tetapi sebaliknya akan menguntungkan mereka.
"Saya juga bukan oportunis (suka mengambil kesempatan) walaupun orang kata saya suka menukar parti. Jika saya ini oportunis, nescaya saya telah mendapat manfaat besar semasa menyertai UMNO dahulu tetapi sebaliknya saya menentang arus, apa yang tidak betul saya akan lawan," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai hubungan baiknya dengan Pas, Ibrahim berkata: "Alhamdulillah saya banyak belajar dan memahami mengenai parti ini. Kita juga ada keserasian dalam banyak isu yang diperjuangkan.
"Malah kepimpinan Pas juga mempunyai pandangan terbuka apabila saya berkesempatan memberikan pandangan luar biasa dan kritikal terhadap mereka, pihak mereka boleh terima dengan baik," katanya.
0 comments:
Post a Comment