+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, July 17, 2008

Anwar dakwa banyak lagi bukti

Berita Harian


DIKERUMUNI: Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, semalam.

Penasihat PKR akan dedahkan maklumat pembabitan Musa, Gani kepada BPR

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) semalam mendakwa mempunyai banyak lagi bukti berhubung pembabitan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, dalam pemalsuan dan penyembunyian fakta siasatan kesnya 10 tahun lalu.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau tidak sempat mengemukakan semua bukti dan maklumat kepada pegawai penyiasat BPR kerana terpaksa bergegas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) untuk memberi keterangan berhubung dakwaan kes liwat.

Malah, Anwar yang kelihatan tenang dan tersenyum menyatakan beliau rela kembali ke BPR secepat mungkin tetapi mencadangkan pegawai agensi itu merakam keterangan lanjutnya di lokap polis jika beliau ditahan kelak berhubung dakwaan kes liwat.

"Saya sudah kemukakan bukti mengenai pemalsuan dan penyembunyian fakta dalam kes terdahulu termasuk pemalsuan laporan doktor forensik dan saya puas hati kerana pegawai BPR mencatat semua dan mengesahkan tetapi belum selesai kerana banyak keterangan lain yang dikehendaki.

"Saya mohon maaf kerana saya sudah dapat waran tangkap untuk segera ke IPKKL," katanya kepada pemberita sejurus keluar dari bangunan Ibu Pejabat BPR, di sini, pada jam 12.10 tengah hari semalam.

Terdahulu, Anwar yang memakai baju putih dan kot berwarna coklat tiba di pekarangan Ibu Pejabat BPR pada jam 10.05 pagi dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Mazda berwarna hitam dengan nombor pendaftaran BGH 111.

Turut mengiringi beliau ialah peguamnya iaitu Sankara Nair, Param Cumaraswamy, dan Ahli Parlimen Subang, S Sivarasa, serta beberapa ahli PKR.

Anwar dipanggil BPR untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 1 Julai lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendakwa Abdul Gani dan Musa terbabit dalam kes pemalsuan siasatan beliau dipukul bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, ketika dalam tahanan di Bukit Aman pada 1998.

Ketika itu, Musa adalah pegawai penyiasat kes, manakala Abdul Gani seorang daripada pendakwa raya kes salah guna kuasa dan liwat Anwar.

Ditanya apakah beliau bimbang akan ditahan polis kelak berhubung kes liwat terbarunya, Anwar berkata tidak ada asas terhadap segala serangan palsu dan jahat itu.

Malah, katanya, beliau sudah dibicarakan dan diserang dalam media arus perdana tanpa berpeluang mempertahankan diri serta menyifatkan perkara itu sebagai ulangan skrip 1998.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |