+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, July 17, 2008

Komen-komen mengenai debat…


Agenda daily





Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kerajaan bersedia pertimbangkan untuk membenarkan majlis debat mengenai isu-isu semasa selepas mengkaji kesannya debat Anwar vs Shabery.

Bercakap kepada para wartawan selepas menghadiri majlis Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran Sempena Perayaan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Alor Setar Rabu beliau berkata kesan daripada debat itu akan ditinjau terlebih dahulu selain menilai dua aspek iaitu pendapat umum dan dasar terbuka kerajaan.

Diminta mengulas mengenai debat itu Najib berkata debat itu secara umumnya diterima baik.

"Kita tengok reaksi rakyat nanti, isi adalah satu perkara dan style adalah satu perkara lagi," katanya.


Timbalan Perdana Menteri dianugerahkan Darjah Mahkota Kedah (DMK) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ditemui di majlis sama berkata, penyertaan menteri kabinet dalam debat seumpama itu membuktikan satu era baru dalam dasar keterbukaan kerajaan.

"Ini membuktikan kerajaan jujur dan kita tunjukkan kepada rakyat apakah dasar-dasar kita," katanya.



Beliau berkata, dari aspek kaedah, debat yang dianjurkan malam tadi adalah baik dengan tempoh masa yang mencukupi.

Mengenai kandungan debat malam tadi, beliau menyifatkan fakta yang dikemukakan oleh Anwar adalah terlalu mudah dan tidak meyakinkan.

Katanya, apa yang dinyatakan oleh Anwar itu sememangnya telahpun dilaksanakan oleh kerajaan termasuk mewujudkan jaringan sosial dan membantu rakyat yang susah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula menyifatkan debat malam tadi sebagai sesuatu yang positif untuk memberi ruang kepada pembangkang memberikan pendapat mereka.

"Bagi saya Anwar telah memberi fakta-fakta yang meyakinkan dari aspek ekonomi," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Bernama melaporkan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berharap perdebatan antara dua pihak berlainan pendapat akan dapat dijadikan budaya dalam politik tanah air pada masa depan.

"Ini (debat) satu perkara yang belum diinstitusikan lagi dalam sistem berpolitik kita dan semalam adalah satu permulaan yang dianggap menarik oleh ramai orang, katanya.

"Dalam mengadakan debat ini, ia bergantung kepada banyak sebab seperti siapa yang sanggup berdebat, siapa penganjurnya dan bagaimana mengendalikannya.

"Semalam sahaja saya dapat pelbagai komen, ada yang sokong dan ada yang marah saya. Tapi itu satu kebiasaan. Yang pentingnya apakah kita akan pergi ke satu tahap menginstitusikan debat dalam sistem berpolitik kita," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau berkata debat juga merupakan salah satu saluran untuk kerajaan mempertahankan dasar-dasarnya selain ia merupakan perkembangan baru dalam sistem politik negara.

Mengenai dakwaan beliau menggunakan serangan peribadi ke atas Anwar ketika berdebat malam tadi, Ahmad Shabery berkata beliau tidak mengenakan sebarang serangan bersifat peribadi terhadap Anwar.

"Cuba ceritakan mana yang dikatakan serangan peribadi? Yang dulu itu, dasarnya mengenai pendekatan IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Penting saya sebutkan di situ kerana kalau kita tidak menimbulkan dasar dahulu bagaimana ia dapat memberi kredibiliti kepada dasar baru yang nak dibuat?

"Serangan peribadi ini lain..ia pasal pakaian, kesukaan dan muka..kalau atas dasar lama, itu bukan serangan peribadi. Itu bagi mengukuhkan hujah saya," katanya.

Ditanya siapa yang menang dalam perdebatan itu, Ahmad Shabery berkata tidak timbul soal mengenai siapa yang menang atau yang kalah kerana masing-masing telah memberikan pandangan.

"Apa yang penting kita telah sampai ke tahap baru dari segi cara kita berpolitik, berbahas dengan cara yang baik dan ada format yang tertentu dan tak perlu takut untuk berbahas," katanya.

Di KUCHING, Menteri Perumahan Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata debat terbuka antara Ahmad Shabery dan Anwar malam tadi menjadi titik permulaan kepada demokrasi politik yang lebih matang.

Katanya program seperti itu dilihat lebih sihat berbanding tindakan mengadakan demonstrasi jalanan yang boleh mencemar imej negara ini sekaligus memberi banyak masalah kepada rakyat.

"Debat seperti ini baik dan ia bukti ketulusan dan kematangan kerajaan dalam menangani sebarang isu seperti isu minyak tanpa perlu kita membuat demonstrasi jalanan sebagai tanda tidak puas hati kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu persidangan mengenai usaha meningkatkan prestasi.

Johari berkata debat itu juga menjadi ujian kepada seseorang tokoh politik khasnya dari segi intelektual selain memahami secara mendalam sesuatu isu sebelum membahaskannya kepada umum.

Katanya adalah diharap lebih banyak lagi debat seperti itu akan diadakan pada masa akan datang kerana ia adalah baik untuk semua pihak termasuk orang ramai yang menjadi pemerhati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pula berkata debat itu berjalan dengan baik dan menyerahkannya kepada rakyat untuk menilainya.

"Ia adalah debat yang biasa, namun begitu ia dilaksanakan dengan baik. Segala intipati terpulang kepada penonton untuk menilainya.

"Debat itu bukan debat luar biasa. Apa yang istimewa sangat tentang debat dengan Anwar tu. Saya sendiri biasa berdebat dengan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Karpal Singh (DAP-Gelugor) berkaitan isu kementerian. Saya juga berani berdebat dengan beliau (Anwar)," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berpendapat debat yang diadakan malam tadi adalah sesuatu yang menarik sehingga mampu menarik pelbagai lapisan penonton untuk melihatnya.

Beliau berkata Ahmad Shabery telah mengemukakan hujah yang baik mengenai dasar-dasar kerajaan.

"Hujahnya disertakan dengan begitu banyak fakta mengenai apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) pula berpendapat bahawa Ahmad Shabery banyak mengemukakan soal sejarah dan perkara yang sudah berlaku sebelum ini bagi mempertahankan hujahnya.

"Anwar pula dilihat sentiasa mahu ke depan dengan mengemukakan cadangan yang bernas," katanya.

Naib Presiden PKR Azmin Ali berkata debat yang diadakan itu adalah satu permulaan yang baik bagi menjelaskan mengenai demokrasi di negara ini.

"Tetapi saya sedikit kecewa kerana Menteri Penerangan lebih menumpukan kepada isu peribadi. Bagaimanapun saya yakin perkara ini dapat dinilai sendiri oleh rakyat.

"Debat ini harus diteruskan dan membabitkan isu yang lebih besar, tetapi pada masa sama suasananya perlu diperbaiki dengan mengurangkan kawalan keselamatan dan polis. Ini bukan negara polis," katanya.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula berpendapat debat malam tadi menunjukkan beberapa cara yang perlu dikaji sebelum kerajaan membuat keputusan yang boleh memberi kesan besar kepada negara dan juga rakyat.

"Saya dapat lihat malam tadi, Anwar bersedia dengan pelbagai fakta berkaitan isu ekonomi manakala Shabery pula lebih mempolitikkan isu berkenaan," katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata debat itu dilihat sebagai peluang untuk Pakatan Rakyat menjelaskan pandangannya dan tidak menggunakan debat itu untuk serangan peribadi.- 17/7/2008


3 comments:

Unknown said...

Nampaknya orang2 besar dah mula membuat komen tentang perdebatan Anwar-Shabery. Rata2 mengatakan Anwar lebih tertumpu untuk masa hadapan, manakala Shabery dilihat banyak menyerang peribadi dan kisah silam Anwar. Tapi bagi pandangan saya, kedua2nya adalah pendebat yang bagus dari segi cara masing2. Masing2 ada hujah2 sendiri yang padat dengan point. Bagi saya kedua2nya adalah pemenang dalam debat ini...

Unknown said...

Bagi saya pemenang bagi debat ni adalah Pak Lah. Sebabnya beliau matang dalam berpolitik dan mamu untuk berfikiran terbuka dalam menangani krisis ini.
Bukan Shabery dan bukan juga Anwar.

Unknown said...

Bagi saya pemenang bagi debat ni adalah Pak Lah. Sebabnya beliau matang dalam berpolitik dan mamu untuk berfikiran terbuka dalam menangani krisis ini.
Bukan Shabery dan bukan juga Anwar.

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |