+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, August 2, 2008

Pilihan raya tak halang kes liwat

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Abdul Razak Raaff
bhnews@bharian.com.my

Proses perundangan diteruskan walaupun Penasihat PKR umum untuk bertanding

PUTRAJAYA: Proses perundangan berhubung dakwaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diteruskan jika ada kes walaupun Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mahu bertanding pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, keputusan sama ada Anwar akan didakwa di mahkamah ditentukan Pejabat Peguam Negara berdasarkan hasil siasatan polis, manakala kelayakannya bertanding pilihan raya ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sudah tentu pihak berkuasa akan mengikut proses undang-undang... Pejabat Peguam Negara akan tentukan sama ada kes ini akan dibawa ke mahkamah. Kalau tiada kes, gugur sajalah... saya pun tak tahu hasil siasatan yang sudah dijalankan polis.


"Tidak pernah berlaku proses undang-undang dihentikan hanya kerana seseorang itu nak bertanding, nak pegang jawatan... proses undang-undang mesti berjalan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas jika imej negara pada peringkat antarabangsa akan terjejas jika tindakan undang-undang dikenakan terhadap Anwar selepas beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Perdana Menteri berkata, proses undang-undang tidak terhenti apabila seseorang hendak bertanding pilihan raya sebaliknya kedua-dua undang-undang dan pilihan raya kecil tidak boleh dicampuradukkan.

Beliau berkata proses undang-undang tidak mengetepikan hak pengadu mendapatkan keadilan di mahkamah sekiranya ada kes.

"Yang mengadu ialah (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan). Dia yang buat aduan. Dia nak minta keadilan. Bawa kes ke mahkamah untuk diadili. Tak boleh ketepikan dia (Mohd Saiful), seolah-olah dia tak penting.

"Semua orang penting. Proses undang-undang penting dan semua berhak mencari keadilan," katanya.

Mengenai tawaran bekas pemimpin PKR, Mohamad Ezam Mohd Noor, yang menyertai semula Umno untuk bertanding menentang Anwar di Permatang Pauh, beliau berkata, Barisan Nasional (BN) akan menentukan soal calonnya.

Abdullah berkata, BN juga tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada Anwar dan sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil itu.

Kelmarin, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar, bertanding pada pilihan raya kecil.

Abdullah berkata, tindakan Wan Azizah sangat tidak bertanggungjawab dan membelakangkan pilihan pengundi kerana rakyat memilih beliau untuk berkhidmat dan bukannya letak jawatan beri pada orang lain.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |