+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, August 2, 2008

Kutipan zakat RM1.6j diseleweng

Berita Harian

Oleh Mohamed Farid Noh
mfarid@bharian.com.my


BANTUAN: Ahmad Zahid menyerahkan sumbangan kepada Mustafa Abdul Manap, 55, sambil diperhatikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) Abd Ghafar Yusof di Kuala Lumpur, semalam.

Pengurusan dua negeri meragukan, tiada audit selama lima tahun: Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengesan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan wang zakat termasuk pecah amanah, membabitkan lebih RM1.6 juta di dua negeri sejak lima tahun lalu.

Menterinya, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu dikenal pasti selepas laporan Jabatan Audit Negara yang diperoleh awal tahun ini mendedahkan dua negeri mempunyai urus niaga pengurusan zakat 'meragukan' serta tidak telus.

Katanya, jabatan sudah membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang bertanggung jawab.


Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan dua nege ri terbabit.

"Apa yang boleh saya katakan, Johor dan Selangor adalah antara negeri yang mempunyai sistem pengurusan zakat yang sangat kemas dan cemerlang. Negeri lain juga kemas pengurusan zakatnya tapi ada beberapa masalah membabitkan individu, bukannya organisasi.

"JPM mengesan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri apabila badan pengurusan wang zakat di bawah seliaan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terbabit tidak melakukan audit dalaman selama lima tahun dengan RM1.6 juta wang zakat tidak dimasukkan ke dalam akaun.

"Di sebuah negeri lain pula kutipan zakat yang diterima tidak dimasukkan ke akaun bank sehingga 1,000 hari atau lebih tiga tahun," katanya selepas pelancaran Bulan Zakat Kebangsaan, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, tujuannya mendedahkan perkara itu bukan mahu menakutkan pembayar zakat tapi lebih kepada peringatan kepada semua MAIN dan Syarikat Mengurus Zakat (SMZ) supaya lebih amanah.

"Ini kerana mereka menguruskan wang zakat berjumlah RM2.26 bilion iaitu nilai sejak 2005 sehingga 2007 atau puratanya RM700 juta setahun," katanya.

Pengurusan zakat yang telus dan amanah perlu menjadi pegangan supaya pembayar zakat tidak hilang keyakinan," katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi penyelewengan, JPM diarahkan mengadakan seminar penyelarasan dan penyeragaman kutipan serta pengurusan zakat termasuk dari segi akaun, pelaburan, pengagihan serta kesan kepada penerima.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, Kabinet minggu lalu mengarahkan beliau mengetuai jawatankuasa bagi membincangkan hal-ehwal agama Islam dengan menjemput parti politik termasuk Pas serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

"Kabinet mengarahkan supaya muzakarah atau muqabalah berkaitan hal ehwal Islam termasuk berkaitan akidah, muamalat serta pegangan umat Islam terus diadakan sebagai usaha penyatuan umat seluruh negara tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik.

"Jawatankuasa ini hanya membincangkan aspek hal ehwal Islam dan bukan politik. Kita juga sudah merancang mengadakan Muktamar Permuafakatan Islam, Disember ini sebagai proses awal penyatuan umat Islam," katanya.

1 comments:

Unknown said...

Mana-mana penyelewengan yang berlaku dalam kutipan zakat harus disiasat sedalam-dalamnya bagi menjamin keselamatan hasil zakat supaya institusi zakat di setiap negeri tidak disalah anggap sebagai institusi yang tidak amanah. Perkara seperti ini juga sepatutnya tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Tindakan pendedahan penyelewengan ini juga dilihat sebagai langkah kerajaan untuk membanteras segala unsur penyelewengan dan rasuah lebih-lebih lagi yang melibatkan kewangan institusi-institusi yang menjadi sandaran rakyat...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |