45 tahun lalu, enam tahun selepas mengecapi kemerdekaan, negara ini mulai dikenal sebagai Negara Malaysia. Tarikh keramat 16 September 1963 menyaksikan pembentukan sebuah negara Persekutuan Malaysia yang berdaulat dan bebas merdeka. Pada hari tersebut 45 tahun lalu rakyat Malaysia seluruhnya, dari Perlis hingga ke Sabah, tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, bersetuju untuk hidup bersama.
Namun apa yang berlaku selepas 45 tahun Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin UMNO semakin rakus berkuasa. Semangat Pembentukan Persekutuan Malaysia dan Pengisytiharan Kemerdekaan diabaikan agar mereka dapat terus berkuasa. Penggunaan undang-undang kuku besi digunakan sewenang-wenangnya manakala retorik perkauman sering digunakan untuk melaga-lagakan rakyat yang berbilang kaum. Ini lah yang dikatakan penindasan ke atas manusia oleh manusia.
Ini semua harus berhenti. Kini sudah tiba masanya untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang memastikan kamu semua dan saya setara, perubahan yang memastikan kita semua dikenal sebagai Bangsa Malaysia. Perubahan yang akan menyaksikan ‘kepada pelampau tiada dokongan, kepada diskriminasi tiada sokongan.’
Bersempena sambutan Hari Malaysia yang ke 45 yang diadakan di Stadium Kelana Jaya, saya menyingkap ringkas idealisme kebebasan Sun Yat Sen; dan memetik pidato presiden Sukarno yang menjanjikan kemerdekaan Indonesia “semua untuk semua” bukan sekadar melayani tuntutan kelompok kecil. Saya memetik ucapan ‘Tryst with Destiny’ yang disampaikan oleh Jawaharlal Nehru, “We have to build the noble mansion of free India where all her children may dwell. The appointed day has come-the day appointed by destiny-and India stands forth again, after long slumber and struggle, awake, vital, free and independent.”
Juga pidato Muhammad Ali Jinnah, pengasas negara Pakistan di Constituent Assembly 1947. Jinnah mengaggap kemerdekaan negaranya muncul dari gejolak rakyat, satu “cyclonic revolution” tetapi memberi amaran agar pasukan keselamatan bebas tidak terheret dengan politik dan pemimpin menghindari dari rasuah.
Malah dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957, YTM Almarhum Tunku ARahman menekankan soal kebebasan, keadilan dan hak semua rakyat.
Saya menyentuh semangat muafakat Pakatan Rakyat yang menerima peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu-Bumiputra di samping menjamin hak semua rakyat.
Saya percaya rangkuman dan adunan petikan ucapan yang telah saya sorot sebelumnya sangat jelas untuk menggambarkan harapan semua rakyat Malaysia yang kepingin untuk Malaysia kembali makmur dan perkasa.
Dirgahayu Malaysia!
ANWAR IBRAHIM
0 comments:
Post a Comment