Berita Harian
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com
Penemuan barang kemas Altantuya dalam jaket tertuduh meragukan: Peguam
SHAH ALAM: Misteri tiga anak kunci yang dikemukakan pihak pendakwaan sebagai kunci rumah tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sebelum ini masih belum terjawab.
Peguam Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin yang mengemukakan hujahan balas secara lisan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam berkata pendakwaan gagal menjawab persoalan itu, sebaliknya hanya menggunakan keterangan anak guamnya ketika perbicaraan dalam perbicaraan sebagai penjelasan.
Kamarul berkata, pendakwaan menggunakan keterangan Sirul Azhar bahawa dia cam kunci yang diserahkan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sarjan Rosli Ibrahim kepada pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Cif Inspektor Koh Fei Cheow untuk menjelaskan misteri itu dan menjawab keraguan munasabah ditimbulkan pihak pembelaan.
Beliau berkata, Sirul Azhar cam kunci yang diserahkan Rosli kepada Koh ketika pasukan polis yang terdiri daripada D9, UTK dan Unit Pemusnah Bom membuat pemeriksaan di rumahnya di Kota Damansara di sini.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Timbalan Komander UTK, Asisten Komisioner (ACP) Mastor Mohd Ariff dan Rosli dalam keterangan mereka menafikan tiga anak kunci itu sebagai kunci rumah tertuduh.
Mastor menyatakan tiga anak kunci itu bukanlah serangkai kunci yang diserahkan Sirul Azhar kepadanya ketika dalam penerbangan balik dari Pakistan ke negara ini, sebaliknya mendakwa kunci yang diterimanya lebih daripada tiga, sudah lama dan tidak berkilat.
Katanya, kunci yang dikemukakan pendakwaan pula masih baru dan berkilat.
Rosli dalam keterangannya turut menafikan tiga anak kunci itu adalah serangkai kunci yang diserahkan Mastor kepadanya, manakala Sirul Azhar ketika perbicaraan dalam perbicaraan juga menafikan ia adalah kuncinya yang diserahkan kepada Mastor.
“Kami berhujah serangkai kunci yang diterima Mastor dan Rosli, bukanlah kunci sama yang digunakan Asisten Superintendan (ASP) Zulkarnain Samsudin (pegawai penyiasat D9) untuk membuka mangga, pintu gril dan utama rumah Sirul Azhar.
“Polis boleh menghasilkan kunci pendua dan Zulkarnain mungkin menggunakan kunci lain. Kami berhujah polis sebenarnya sudah memiliki kunci pendua ketika itu dan tidak memerlukan serangkai kunci daripada Sirul Azhar untuk membuka pintu rumahnya. Malah, pendakwaan juga tidak pernah mendedahkan keraguan ini,” katanya.
Kamarul berkata, Zulkarnain berjaya membuka pintu rumah Sirul Azhar menggunakan tiga anak kunci itu, bagaimanapun ia tidak menjawab persoalan yang timbul dari mana beliau memperoleh kunci berkenaan kerana ia bukan kunci tertuduh.
“Kami berhujah adalah mudah bagi pendakwaan untuk menjawab keraguan ini dengan memanggil bekas rakan serumah Sirul Azhar, Radzi Mohd Tahir atau pemilik sebenar rumah yang disewa tertuduh memberi keterangan.
“Bagaimanapun, pendakwaan tidak pernah menyoal Radzi berkaitan kunci itu ketika pemeriksaan utama, malah pemilik rumah Sirul Azhar juga tidak dipanggil memberikan keterangan. Jika beliau hadir, sudah pasti dia dapat mengecam kunci yang pernah diberikannya kepada tertuduh ketika menyewakan rumah itu,” katanya.
Kamarul berkata, pihaknya berhujah polis sebenarnya sudah mempunyai pengetahuan awal berhubung lokasi rumah tertuduh dan barangan kemas mangsa yang disimpan di rumahnya.
Kamarul berkata, Zulkarnain dalam keterangannya mencatatkan jam 1.45 petang dalam diari siasatan kerana ketika itu, dia menerima arahan daripada pegawai penyiasat kes, Superintendan Gan Tack Guan untuk menyoal siasat Sirul Azhar.
Katanya, Zulkarnain kemudian mencatatkan jam 2.20 petang apabila Sirul Azhar membuat pendedahan maklumat mengenai barangan kemas mangsa yang disimpan di rumahnya.
Kamarul berkata, Zulkarnain bagaimanapun, mengubah keterangannya apabila menyatakan menerima arahan daripada Gan untuk menyoal siasat tertuduh pada jam 12.30 tengah hari.
“Kami berhujah polis mencatatkan pendedahan maklumat itu dalam diari siasatan sebelum mereka mula menyoal siasat tertuduh. Teori kami, polis sudah mempunyai pengetahuan awal mengenai maklumat itu dan hanya meminta tertuduh mengakuinya.
“Sirul Azhar sebenarnya tidak pernah membuat sebarang pendedahan maklumat kepada polis dan ia sengaja direka untuk menjuruskannya terhadap pertuduhan. Jika tidak, bagaimana polis boleh mencatatkan jam 1.45 petang di dalam diari siasatan, sedangkan maklumat masih belum diperoleh,” katanya.
Kamarul berkata, keterangan Zulkarnain dan Koh mengenai penemuan barang kemas Altantuya di dalam jaket Sirul Azhar di rumah tertuduh amat meragukan dan pendakwaan tidak menjelaskannya dalam hujahan balas mereka.
Katanya, Koh menukar jawapannya sebanyak tiga kali apabila disoal siapa mengeluarkan jaket dari almari, pada awalnya dia menyatakan Zulkarnain, kemudian Koh menyatakan tidak ingat dan apabila ditanya lagi, beliau pasti Sirul Azhar yang mengeluarkannya.
Kamarul berkata, wujud keraguan munasabah dan pendakwaan perlu menjelaskannya dan bukan hanya mengabaikannya dengan menegaskan tiada percanggahan dalam keterangan saksi pendakwa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung hari ini.
0 comments:
Post a Comment