Harakahdaily Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my Thu | Sep 04, 08 | 10:44:24 am MYT | |
Dalam sidang akhbar pada 2 September 2008, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen beliau, jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan, harga minyak akan diturunkan sehingga RM0.70 seliter daripada kenaikan harga mendadak seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi beberapa bulan lepas. Anwar juga berjanji Pakatan Rakyat akan membentangkan bajet baru jika kerajaan baru dibentuk 16 September ini. Prinsip utama Bajet Pakatan Rakyat yang bakal dibentangkan ialah untuk mengurangkan defisit, menurunkan cukai dan melaksanakan tender terbuka. Dalam sidang akhbar khusus mengenai bajet di ibu pejabat KeADILan di Merchant Square, Tropicana itu, Anwar dengan tegas mengatakan Abdullah dan Kerajaan Barisan Nasional melakukan kesilapan besar dalam pentadbiran negara sehingga menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk. Ketua Umum KeADILan itu juga mengkritik dasar kronisme atas nama 'bumiputera' yang diamalkan oleh Abdullah, apabila syarikat milik anak PM iaitu Scomi mendapat laba besar dengan penganugerahan projek menguruskan perkhidmatan awam di Lembah Kelang. Kata Anwar, sejumlah RM35 Billion yang diperuntukkan, Pakatan Rakyat berjaya mengesan, siapakah yang memperolehi keuntungan besar. Pada pendapat kalangan penganalisis ekonomi, bajet yang dibentang Abdullah yang digambarkan sebagai bajet prihatin rakyat, tidak mempunyai insentif untuk menarik pelabur. Malah rakyat yang dikelirukan dengan pelbagai 'gula-gula', tidak menyedari bahawa sejak Abdullah mengambil alih kuasa, perbelanjaan operasi kerajaan meningkat berlipat ganda. Rakyat tidak mengetahui fakta yang jelas Berbalik kepada soal harga minyak yang dinyatakan, persoalan yang timbul kepada rakyat ialah, apakah penurunan harga petrol sebanyak RM 0.15 seliter baru-baru ini memadai? Apakah pembentangan Bajet 2009 boleh dianggap sebagai suatu 'hadiah' daripada hasil kecekapan BN mentadbir negara? Pemimpin Kerajaan Barisan Nasional sering menempelak rakyat, kononnya rakyat tidak memahami tanggungan kerajaan apabila mendesak harga petrol yang dinaikkan RM0.78 sen seliter terus dikurangkan. Malahan pemimpin BN mempertikaikan hasrat Ketua Anwar untuk mengurangkan harga petrol bukan RM0.15 sen, tetapi pengurangan sehingga RM0.70 seliter. Apakah janji Anwar untuk mengurangkan harga minyak mustahil untuk dilakukan? Mengapa Kerajaan BN tidak boleh menurunkan harga minyak? Persoalan ini sering bermain difikiran rakyat. Rakyat terus terhimpit dengan kegawatan ekonomi yang menjerut kehidpuan hasil daripada kenaikan harga minyak. Hakikatnya rakyat tidak mengetahui banyak fakta yang disembunyikan kerajaan kerana akaun syarikat milik kerajaan iaitu Petronas tidak pernah dibentangkan di Parlimen. Petronas beroperasi di dalam dan di luar negara. Tetapi rakyat hanya mengetahui perjalanannya secara umum sahaja jika dilapor media. Di dalam negara misalnya, rakyat tidak mengetahui berapa banyak pelantar minyak dan gas yang terletak diperairan Laut China Selatan iaitu berhampiran negeri Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak. Hanya secara umum diketahui beberapa buah syarikat pengeluar minyak seperti Petronas, Shell dan Exxon Mobil menjadi peneraju utama industri ini. Di Malaysia Petronas telah diberi kontrak yang besar selaras dengan polisi kerajaan untuk mengutamakan syarikat tempatan. Syarikat-syarikat minyak tersebut dasarnya mengikat perjanjian dengan kerajaan diatas setiap blok kawasan minyak dan keuntungan dari jualan minyak mentah dan gas akan dinikmati di antara mereka dan kerajaan Malaysia. Dari hasil cukai ini dan pada harga minyak semasa, keuntungan mereka berlipat ganda dan akan bertambah sekiranya harga minyak dipasaran dunia meningkat. Pendapatan lumayan hasil minyak Pada amnya, kerajaan Malaysia memperoleh pendapatan yang sangat lumayan dari hasil petroleum, tetapi masih mengujudkan sistem yang dinamakan 'subsidi'. Kemungkinannya subsidi ini tidak wujud yang sengaja diada-adakan. Subsidi adalah senjata atau alasan bagi kerajaan untuk merayu simpati rakyat supaya harga petrol dinaikkan. Apakah negara seperti Singapura, Britain, Itali atau negara pengimport minyak lain mengambil langkah yang sama seperti Malaysia dengan mengujudkan sistem subsidi dalam menentukan harga minyak kepada rakyat? Setakat ini subsidi bagi negara-negara berkenaan tidak diketahui wujud. Bayangkan berapa banyak negara pengimport minyak tidak mengamalkan subsidi tetapi Malaysia sebagai salah satu negara pengeluar terbesar minyak di rantau ini ada 'sistem subsidi.' Walaupun petrol di Britain berharga BP1.12 /liter, Itali - Euro 1.42 tetapi pendapatan perkapita mereka adalah 5 kali ganda berbanding Malaysia dan begitu juga Singapura, Australia dan New Zealand yang pendapatan perkapitanya 3 kali ganda. Tapi kerajaan mengatakan minyak kita murah dan suka membandingkan harga dengan negara tersebut, walhal mereka tiada minyak pun, dan tidak pernah hendak membandingkan dengan negara pengeluar minyak seperti di negara-negara teluk yang ternyata lebih murah dari kita. Itu belum lagi dengan negara Brunei atau Venezuela. Kalau kita gunakan kaedah 3P (Purchasing Power Parity) dengan harga minyak petrol di negara kita ini, petrol di Malaysia adalah antara yang termahal di dunia. Menurut peta yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia - Malaysian Industrial Development Authortiy - MIDA, Malaysia mempunyai sejumlah 36 blok kawasan minyak dan 24 blok kawasan gas. Ini bermakna setiap blok akan mempunyai pelantar untuk mengeluarkan hasil bumi tersebut. Fakta ini menunjukkan bahawa Malaysia adalah salah sebuah negara pengeluar minyak terbesar di rantau Asia Pasifik. Persoalannya, dengan 36 pelantar minyak, apakah Malaysia hanya mengeluarkan cuma 680,000 tong sehari sebagaimana yang dinyatakan? Berapakah pecahan jumlah pengeluaran minyak mengikut pelantar yang berkenaan? Jika diandaikan pada sebuah pelantar minyak, Petronas mengeluarkan sebanyak 50 ribu tong sehari, bermakna pengeluaran minyak negara mencecah 1.8 juta tong sehari. Kerajaan dan Petronas sendiri seharusnya telus dalam mengemukakan fakta ini kepada rakyat. Ada pendapat mengatakan tindakan kerajaan mengumumkan Petronas hanya mengeluarkan 680 ribu tong sehari kerana Malaysia cuba mengelak dari termasuk di kalangan negara OPEC, di mana hasil pengeluaran akan dipantau dan terhad. (Negara-negara anggota OPEC menghasilkan lebih dari sejuta tong minyak sehari). Hari ini MISC (Malaysia International Shipping Corporation) adalah anak syarikat Petronas telah memiliki 24 buah kapal pengangkut gas cecair asli dan ini menjadikan ianya syarikat terbesar dunia dari jumlah kapal ini. Ini membuktikan gas asli di negara kita sangat banyak tetapi kerajaan masih dengan alasan subsidinya untuk menaikkan harga. Rakyat harus ketahui fakta yang jelas Oleh itu cadangan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kepada RM0.70 sen seliter sememangnya mempunyai asas dan wajar dilaksanakan untuk mengatasi impak inflasi. Tambahan pula Bank Negara Malaysia sudah mengunjurkan kadar inflasi akan terus tinggi pada separuh kedua tahun 2008 dan berlanjutan hingga ke awal tahun depan 2009. Kesan kenaikan harga bahan api akan menyebabkan peningkatan harga barangan keperluan yang semakin menjejaskan kesejahteraan kebanyakan rakyat. Justeru antara usaha yang harus diambil untuk mengawal keadaan ini ialah, dengan membuat semakan atau review kembali kontrak dengan pengeluar minyak yang tidak menguntungkan. Di Indonesia misalnya, syarikat pengeluar minyaknya Pertamina tidak mengambil ratio yang tinggi. Pembahagian hasil pengeluaran minyak di Acheh misalnya, Pertamina memperolehi 40 peratus, Kerajaan Indonesia diberi 20 peratus, manakala Kerajaan Wilayah Acheh diperuntukkan 20 peratus. Kerajaan Malaysia harus menjelaskan secara telus kepada rakyat, berapakah pembahagian pulangan atau ratio daripada pengeluaran minyak yang dinikmati oleh Petronas? Berapa pula pembahagian untuk Kerajaan Pusat dan berapa pula ratio yang diperuntukkan kepada negeri-negeri? Rakyat harus diberitahu jumlah ini kerana minyak adalah harta negara dan hak rakyat. Umumnya diketahui kerajaan negeri hanya menikmati royalti 5 peratus setahun, dari hasil pengeluaran minyak mereka. Di Terengganu misalnya, 5 peratus royalti minyak boleh mencecah RM1.3 ribu juta (mengikut kadar pengeluaran). Pakatan Rakyat boleh turunkan harga minyak Diandaikan jika Anwar Ibrahim menjanjikan royalti sebesar 20 peratus setahun, bermakna Kerajaan Negeri Terengganu akan memperolehi RM5.2 ribu juta setahun berbanding dengan kutipan hasil negeri di sekitar RM200 juta setahun. Ini belum lagi peruntukan untuk Sabah dan Sarawak. Sudah tentu dengan pertambahan kadar royalti ini, ia akan membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih besar kepada negeri dan negara. Dengan pengurusan ekonomi dari hasil minyak yang lemah, Kerajaan BN sebagai pentadbir di peringkat Persekutuan, juga dilihat gagal mengagihkan kekayaan negara kepada negeri-negeri lain. Pakatan Rakyat boleh membawa kemakmuran kepada ekonomi negara. Antaranya dalam pengurusan minyak misalnya, ia perlu menyemak semula pembahagian kadar ratio yang diamalkan sekarang. Selain memberikan 20 peratus kepada negeri-negeri yang mempunyai minyak, sumber negara boleh diagihkan kepada negeri-negeri lain dalam bentuk peruntukan, projek atau pembangunan. Langkah pengstrukturan semula pembahagian ekonomi hasil daripada minyak dan gas sebenarnya, boleh membantu rakyat memperbaiki kehidupan, sekaligus mengekang inflasi yang lebih teruk. Perbincangan mengenai salah urus ekonomi negara hanya dibangkitkan dalam konteks ini sahaja. Ia belum lagi menyentuh soal bagaimana Kerajaan BN membelanjakan wang minyak dan bagaimana Petronas, sebagai sebuah syarikat milik kerajaan berbelanja hasil wang negara. Hakikatnya sudah sampai masanya audit kewangan Petronas, bagaimana ia membelanjakan wang rakyat, kepada syarikat mana projek-projek Petronas diagihkan-agihkan dikemukakan secara terbuka dan telus. Jika tidak ada sebarang bentuk penyelewengan, tidak ada yang hendak disembunyikan, kerajaan tidak perlu takut untuk mengemukakannya kepada rakyat supaya rakyat mendapat gambaran yang betul. Apabila khazanah negara ini dapat diuruskan dengan betul, maka tidak ada pilihan bagi rakyat, selain untuk beralih kepada Pakatan Rakyat! (Sebahagian utama teks artikel ini disiarkan di atas tajuk 'Petronas sembunyi fakta pengeluaran minyak?' dalam Harakah cetak bilangan 1372 yang kini berada di pasaran) - Editor
|
Thursday, September 4, 2008
Tukar kepada Pakatan Rakyat untuk pulih ekonomi negara
Posted by
Sang Pemantau
at
1:21 PM
Labels: ekonomi, Harakahdaily, Malaysia baru, Pakatan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment