+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, September 4, 2008

Dr. M rayu sokongan ubah pemimpin, pembangkang boleh hancur negara

Mstar Online

03-09-2008 10:57:02 PM
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Selepas empat bulan keluar dari Umno, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad secara terbuka meminta sokongan khususnya ahli-ahli Umno untuk membawa perubahan dalam kepimpinan negara dan kerajaan.

"Apa yang mungkin saya buat akan perlukan sokongan terutamanya daripada UMNO. Tetapi UMNO dan pimpinannya tidak boleh diharap. Mereka hanya berminat mengaut sesuatu untuk diri sendiri tetapi tak kira jika UMNO dan negara ini hancur.

"Apa yang ahli UMNO dan penyokong Barisan Nasional (BN) lain yang tidak puas hati dapat lakukan, dan yang telah pun mereka buat, ialah undi pembangkang untuk tunjukkan ketidakpuasan hati mereka terhadap parti dan kerajaan," kata beliau menerusi tulisan terbaru dalam blognya, hari ini.

Dr. Mahathir yang keluar Umno Mei lalu berkata, ramai yang menyatakan sokongan untuk mengubah kepimpinan secara tidak langsung dalam blognya.

"Tetapi kebanyakannya nampak risau dan tidak mahu tinggalkan nama mereka. Biasanya mereka guna nama samaran. Jadi sokongan tidak begitu berkesan.

"Saya tak boleh lakukan semuanya seorang diri. Saya perlukan sokongan. Saya tak boleh pergi kepada Datuk Seri Abdullah, tangkap dia dan buang dia," katanya.

Beliau juga mendakwa, pihak pembangkang juga akan menghancurkan negara ini jika mereka menang dan tubuhkan kerajaan.

"Rakyat sebenarnya mendapat kerajaan yang padan bagi mereka, baik atau buruk. Jila mereka dapat kerajaan yang buruk, ini adalah oleh kerana mereka tidak sanggup bertindak untuk perbetulkan keadaan, tidak sanggup ambil risiko untuk mengalih kepimpinan kerajaan kepada yang baik," katanya lagi.

Dalam tulisannya itu, Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden Umno memberitahu, penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah hancurkan Umno, MCA, Gerakan, MIC dan BN.

"Gerakan bercakap tentang meninggalkan BN. MCA agak senyap tetapi pimpinannya yang sebelum ini menyokong Abdullah walau apa pun terjadi, kini sudah undur daripada menjadi pemimpin.

"Ahli kanan MCA, Gerakan dan MIC telah sertai pembangkang," kata beliau sambil menambah, dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh bulan lalu, ahli Umno dan BN tidak berani pakai baju dengan logo Umno atau BN.

"Mereka tidak berani letak pelekat atau bendera parti di kereta mereka. Rapat umum mereka diceroboh ahli PKR yang memakai logo parti dan ahli BN dan Umno duduk senyap seperti tikus bila belia PKR menjerit "bohong" semasa (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) berucap.

"BN berada dalam keadaan yang amat sedih. Tidak ada satu pun pemimpin yang berani. Saya sebolehnya tidak mahu katakan ini, tetapi kemenangan PKR di Permatang Pauh mungkin menandakan berakhirnya hayat kesemua parti komponen BN dan juga BN," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |