+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, September 6, 2008

Raja Petra boleh dikenakan tindakan di bawah ISA

Mstar Online

06-09-2008 12:12:41 PM

PUTRAJAYA: Penulis blog "Malaysia Today" Raja Petra Kamaruddin (gambar) boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran ulasannya yang terdapat di laman web itu yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata jika siasatan yang akan dijalankan berikutan laporan polis yang dibuat empat agensi agama mendapati beliau bersalah, tindakan itu boleh dikenakan terhadapnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat hari ini terhadap Raja Petra oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dalam ulasan artikel bertajuk `I Promise to be a good, nonhypocritical Muslim', Raja Petra menggunakan ayat-ayat yang menghina orang Islam selain membenarkan komentar yang menghina Islam dan Nabi Muhamamd untuk artikel `Not all Arabs are descendants of the Prophet' disiarkan dalam laman web berkenaan.

"Tindakan yang dibuat oleh agensi agama itu adalah sejajar dengan undang-undang kerana tindakan dia (Raja Petra) mengeluarkan kata-kata lucah, buruk terhadap Nabi Muhammad adalah bertentangan dengan undang-undang.

"Siasatan dan tindakan yang cepat perlu dibuat supaya dapat menyedarkan dia (Raja Petra) dengan segera dan dia perlu belajar menghormati agama Islam...kerana tidak ada sebarang lesen percuma dalam kebebasan untuk melakukan apa-apa sahaja," katanya.

Syed Hamid berkata orang bukan Islam pun tidak akan menulis seburuk apa yang Raja Petra tulis.

Walaupun Raja Petra menafikan beliau bukan pemilik laman web itu, Syed Hamid berkata siapa pemiliknya tidak penting tetapi memandangkan Raja Petra sering menjadikan dirinya wakil kepada laman web berkenaan jadi beliau perlu bertanggungjawab untuk apa jua kandungan yang disiarkan.

Syed Hamid juga berkata penubuhan Majlis Media perlu dikaji semula memandangkan tindakan laman web kebelakangan ini seolah-olah meletakkan undangundang di tangan mereka sendiri.

Cadangan penubuhan Majlis Media pernah dikemukakan sebelum ini tetapi dikatakan menerima bantahan daripada para pengamal media.

"Penubuhan majlis itu bukan untuk menguasai media tetapi bagaimana untuk mengurus media sekiranya mereka melanggar kebebasan yang diberikan dan saya akan cuba berbincang semula dengan pengamal media bagi mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu," katanya. BERNAMA

Read More...

16 September: Ada Ahli Parlimen mahu umum minggu ini?

Harakahdaily

Irwan Muhammad Zain
Fri | Sep 05, 08 | 9:48:07 am MYT

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Hrkh) - Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin menegaskan sasaran Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan pada 16 September nanti masih berjalan lancar.

Beliau berkata hanya tinggal beberapa aspek seperti soal teknikal dan perundangan yang perlu diselesaikan.

"Pelan sasaran 16 September kekal sebagaimana telah diumumkan dan dalam waktu yang terdekat, sasaran ini akan dicapai," kata beliau.

Dilaporkan hampir 30 wakil rakyat Barisan Nasional akan menganggotai parti-parti komponen secara individu dengan sebahagian besar dalam KeADILan manakala tiga parti komponen Barisan Nasional (BN) - kesemuanya dari Sabah dan Sarawak - telah menyatakan persetujuan untuk menyertai sebagai komponen Pakatan Rakyat.

Ketika diminta mengulas mengenai waktu terdekat yang dimaksudkan, beliau berkata, ia akan dicapai dalam beberapa hari lagi.

Beliau tidak menolak desas-desus bahawa ada Ahli Parlimen yang ingin mengumumkan hasrat mereka sertai Pakatan Rakyat minggu ini.

Bagaimanapun pucuk kepimpinan mahu pengumuman dibuat serentak, kemungkinan minggu depan.

Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat KeADILan telah berulang kali mengatakan bahawa kerajaan persekutuan baru akan dibentuk menjelang 16 September ini.

"Banyak pertemuan telah diadakan setakat ini... pertemuan-pertemuan ini juga dikendalikan oleh komponen Pakatan Rakyat yang lain, bukan KeADILan sahaja," katanya.

Difahamkan ahli-ahli Parlimen yang menyatakan keinginan itu termasuklah mereka yang berada dalam Kabinet.

Semalam Pengerusi Perhubungan KeADILan Sarawak, Dominique Ng Kim Ho yakin peralihan kuasa kerajaan persekutuan 16 September ini akan menjadi kenyataan.

"KeADILan Sarawak sangat yakin sasaran 16 September (bentuk kerajaan) akan berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang," kata beliau.

Beliau berkata demikian sehari selepas Anwar dilaporkan menemui beberapa Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung di ibu negara. - mks. _

Read More...

Dr Osman: Pemeriksaan saya berkaitan liwat

Malaysiakini

Beh Lih Yi | Sep 5, 08 12:39pm

Bercanggah dengan apa yang didakwa oleh majikannya - Hospital Pusrawi - Dr Mohd Osman Abdul Hamid bertegas bahawa beliau melakukan pemeriksaan berkaitan dengan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun lalu.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini semalam, doktor berketurunan Burma itu berkata prosedur yang dikenali sebagai 'per-rectal examination' adalah 'wajib' diketahui setiap doktor.

dr mohamed osman abdul hamid pusrawi hospital saiful bukhari azlan anwar ibrahim sodomy 2 interview 040908 06"Setiap doktor tahu bagaimana melakukannya, itu adalah amalan biasa (seseorang itu) tidak perlu menjadi pakar untuk melakukan pemeriksaan tersebut," katanya ketika menjelaskan bagaimana pemeriksaan itu dilakukan.

Dr Osman muncul semalam selepas 'hilang' selama lebih sebulan sejak laporan perubatannya, yang memutuskan bahawa Saiful tidak diliwat, telah dibocorkan kepada pihak media.

Berikutan itu, Hospital Pusrawi menegaskan bahawa Osman tidak melakukan pemeriksaan berkaitan dengan liwat ke atas pesakitnya itu.

Saiful, 23, telah mendakwa bahawa bekas majikannya, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meliwatnya dan kes itu telah dibawa ke mahkamah.

Dr Osman kemudiannya membuat akuan berkanun yang mempertahankan keputusan laporan perubatannya ke atas Saiful.

Dr Osman, yang ditemani peguamnya - M Puravalen dan Yusri Kamarudin - menegaskan sekali lagi perkara itu dalam satu sidang akhbar semalam.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Dr Osman juga menyangkal dakwaan majikannya bahawa beliau tidak berkelayakan untuk membuat kesimpulan mengenai kes liwat.

Pihak pengurusan Hospital Pusrawi telah menyatakan bahawa Dr Osman tidak layak membuat kesimpulan tersebut kerana beliau adalah seorang doktor yang ditempatkan di unit kecemasan dan bukannya seorang pakar.

Baca berita penuh

Read More...

BN benar-benar dalam panik

Siasahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Sept: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau telah meluluskan permohonan 75 anggota kelab penyokong BN untuk mengadakan lawatan keluar negara mulai 7 hingga 19 September ini melambangkan kepanikan BN.

Ini kerana, dalam kenyataannya juga Abdullah berkata, "Saya tidak akan biarkan mereka membentuk kerajaan pada 16 September."

Walaupun para pemimpinnya menyatakan cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan pada 16 September sebagai mimpi siang hari namun tindakan pemimpin BN melambangkan kepanikannya menjelang tarikh itu.

Bahkan, Bernama terpaksa membuat kenyataan rasmi mengatakan mereka bukan di belakang SMS yang mengatakan satu sidang akhbar akan diadakan oleh parti-parti BN di Sabah petang Jumaat semalam.

Semua ini disifatkan oleh ramai pemerhati sebagai tindakan panik BN terutama di kalangan pemimpin dan medianya "dan ini boleh menghilangkan lagi keyakinan kepada Abdullah," kata seorang pemerhati.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) BN, Tiong King Sing mengesahkan pihaknya merancang untuk melawat luar negara tidak lama lagi dan sedang memilih antara Taiwan atau China sebagai destinasi mereka.

Ada juga laporan yang mengatakan mereka akan berkunjung ke New Zealand atau Australia.

Hilang keyakinan kepada Abdullah diperkuatkan lagi semalam apabila hampir kesemua bahagian Umno di Pulau Pinang berdiri teguh di belakang Datuk Ahmad Ismail yang menolak arahan pemimpin Umno agar memohon maaf kepada masyarakat Cina ekoran kenyataannya.

Ahmad mempertahankan kenyataannya adalah benar walaupun beberapa hari lalu timbalan presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memohon maaf bagi pihak beliau. Abdullah juga dikatakan telah meminta Ahmad memohon maaf kerana permohonan Najib itu dikatakan tidak mencukupi kerana yang membuat kenyataan itu bukan Najib tetapi Ahmad.

"Abdullah adalah presiden dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang. Kalau semua pemimpin Umno negeri itu sudah menolak arahan dia agar Ahmad meminta maaf, apa lagi credibelity yang ada pada Abdullah," kata seorang bekas profesor sains politik dari Universiti Malaya kepada Siasah.

Sudahlah menolak untuk meminta maaf, Ahmad dalam sidang medianya mempertikaikan pula pemangku presiden Gerakan Dr Koh Tsu Koon dan berkata, "Saya kenal siapa awak dan awak adalah aktor yang baik."

Ahmad berkata, dia tidak salah. Yang salah adalah media dan pemimpin politik yang membuat tafsiran dari kenyataan media itu.

Kenyataan yang disiarkan secara panjang lebar dalam Buletin Utama TV3 malam tadi membayangkan ia dipersetujui oleh Umno, kata seorang pemerhati.

Kenyataan Ahmad dengan mendapat sokongan penuh Umno Pulau Pinang ini disifatkan sebagai mencabar kedudukan Gerakan dalam Barisan Nasional dan jika parti itu masih mahu kekal dalam gabungan itu ia benar-benar menghina anggota parti itu terutama dari kaum Cina.

"Jika sebelum ini Gerakan mengkaji kedudukannya dalam BN, dengan sidang akhbar Ahmad bersama para pemimpin Umno Pulau Pinang dan disiarkan secara besar-besaran dalam media yang dikawal Umno malam tadi, Gerakan boleh dianggap tidak ada 'telor' lagi kalau masih mahu kekal dalam BN," kata seorang pemerhati.

"Sekarang ini bukan Cina sahaja yang marah dengan kenyataan Ahmad itu bahkan India juga," kata bekas pensyarah sains politik UM itu yang sebelum ini adalah penyokong kuat Datuk Seri S Samy Vellu, presiden MIC.

Bagi beliau, masyarakat Malaysia tidak terkejut selepas ini jika semua orang bukan Melayu akan meninggal pemimpin mereka yang mahu kekal dalam BN.

"Ini lagi teruk. Lebih baik semua parti bukan Melayu ini tinggalkan BN secara blok dan serta Pakatan Rakyat," tambah beliau.

Read More...

Pemergian Pak Samad, kehilangan besar kepada negara - Wan Azizah

Harakahdaily

Wan Nordin dan Irwan Muhammad Zain | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Sep 05, 08 | 12:57:39 pm MYT

PETALING JAYA, 5 Sept (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pemergian tokoh wartawan, Tan Sri Abdul Samad Ismail (Pak Samad) sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Wan Azizah yang ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Pak Samad sebentar tadi turut menyatakan Pak Samad sebagai seorang tokoh dalam duani kewartawanan yang disegani.

Ujarnya lagi, Pak Samad terkenal dengan penulisannya ketika era kemerdekaan negara.

Turut kelihatan menziarahi Allahyarham Pak Samad ialah, veteran PAS, Subky Latiff dan bekas Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin (Zam); Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Pengerusi Bernama, Dato' Seri Annuar Zaini dan para wartawan dari pelbagai media.

ImageJenazah Allahyarham telah disembahyangkan di rumahnya dan kini sedang di bawa ke Masjid Kolej Islam Malaya sementara menanti untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.

Menurut laporan Bernama, Abdul Samad, 84, dimasukkan ke hospital sejak 24 Ogos lepas setelah mengalami kesukaran bernafas.

Anak kelahiran Singapura itu meninggalkan seorang balu Puan Sri Habibah Hamid dan 10 orang anak termasuk blogger dan bekas wartawan Nuraina dan Maria.

Isteri pertamanya Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990. _

Read More...

Ketua Polis Negara nafi khabar angin dakwanya nazak dan lumpuh

Mstar Online

05-09-2008 05:35:05 PM

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan (gambar terbaru) hari ini menafikan laporan sebuah akhbar parti politik tempatan yang mendakwa beliau lumpuh dan berada dalam keadaan nazak selepas menjalani pembedahan pintasan koronari di Institut Jantung Negara (IJN) pada 19 Ogos lalu.

Musa, yang kelihatan sihat dan ceria, berkata beliau kini dalam keadaan yang sihat dan semakin pulih setelah menjalani pembedahan selama empat jam itu dan akan kembali bertugas bulan depan.

Beliau yang berjalan tanpa bantuan tetapi secara perlahan-lahan turut melahirkan rasa kesalnya terhadap berita yang disiarkan dalam akhbar mingguan "Suara Keadilan" edisi 4-11 Sept 2008, yang seolah-olah menipu rakyat yang sentiasa menantikan perkembangan terbaru mengenai kesihatannya.

"Saya terbaca berita dalam akhbar itu yang mendakwa saya lumpuh dan nazak. Saya kesal dengan laporan tu. Bagi saya, ia satu berita palsu yang zalim, disebarkan orang-orang tertentu yang ingin membinasakan saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.


MUSA Hassan ceria dan sempat berjenaka dengan wartawan yang
melawat beliau di rumahnya di Petaling Jaya, hari ini.

Musa berkata sepanjang pembedahan itu beliau tidak langsung mengalami kesakitan sehingga dibenarkan pulang pada 25 Ogos lepas.

"Malah, kesihatan saya pulih dengan cepat sekali. Alhamdulillah," katanya sambil menunjukkan bekas pembedahan jantungnya yang semakin pulih.

Musa turut mengucapkan terima kasih kepada para doktor yang merawatnya di IJN dan semua tenaga kerja IJN, serta rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatannya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbitan itu kerana menyiarkan laporan palsu tersebut, Musa berkata: "Adik beradik saya ada berbincang dengan saya mengenai perkara itu (tindakan).

"Tapi itu terpulang pada mereka kerana mereka pun rasa tak seronok dan tersinggung bila cerita begini keluar," katanya.

Ketua Polis Negara yang kini cuti sakit selama 49 hari, menghabiskan cutinya dengan berehat di rumah.

"Buat masa ini jawatan saya dipangku oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar," katanya. BERNAMA

Read More...

Kerajaan baru 16 Sept mustahil

Berita Harian

Oleh Abdul Razak Raaff dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan portal Sistem Sokongan Pelesenan Perniagaan Elektronik (Bless) untuk membolehkan permohonan serentak bagi lesen, permit dan kelulusan bagi memulakan perniagaan di Bangunan Perdana Putra, semalam. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan (dua kiri), Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Yong Poh Kong (kiri), dan Ketua Pengarah Unit Komunikasi Dalaman (ICU), Tan Sri Khalid Ramli.

Tiada Ahli Parlimen Barisan paling tadah, sertai Pakatan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya hasrat pembangkang mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 16 September ini, seperti yang heboh dicanangkan menerusi SMS semalam, tidak akan berlaku.

Perdana Menteri berkata, rancangan itu tidak akan berhasil kerana tiada Ahli Parlimen BN yang mahu melompat menyertai Pakatan Rakyat seperti didakwa parti pembangkang.

"Saya tahu Ahli Parlimen BN tidak mempunyai niat keluar meninggalkan parti kerana mereka bukan yang suka lompat dan nak bersekongkol dengan pembangkang. Ini kerana kita (BN) bukan kerajaan yang kalah... parti masih memerintah dan kerajaan mampu menjalankan pemerintahan dengan baik demi rakyat.

"Soal nak rampas kuasa atau guling kerajaan ini tidak akan berlaku," katanya pada sidang media selepas melancarkan portal Sistem Sokongan Pelesenan Perniagaan Elektronik (Bless) di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Yong Poh Kon.

Abdullah ditanya mengenai penyebaran SMS menyenaraikan rentetan peristiwa yang kononnya akan menjurus kepada penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 September ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang sebelum ini beberapa kali mendakwa ramai ahli Parlimen BN akan melompat parti menyertai Pakatan Rakyat untuk membolehkan beliau membentuk kerajaan pada 16 September.

Perdana Menteri berkata, impian Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan itu sebenarnya hanya bergantung kepada ahli Parlimen BN berpaling tadah tetapi beliau akan memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku.

"Kita tidak akan beri peluang untuk mereka menubuhkan kerajaan pada 16 September. Tidak," katanya sambil menegaskan, pembangkang tidak akan dapat mencapai impian mereka jika semata-mata bersandarkan harapan penghijrahan ahli Parlimen BN.

Mengenai cadangan Kelab Ahli Parlimen BN (BNBBC) mengadakan program lawatan sambil belajar ke luar negara bermula esok hingga 19 September ini, Abdullah berkata ia tiada kaitan dengan apa yang diuar-uarkan pembangkang.

"Kalau mereka nak pergi biarlah... apa nak kaitkan dengan bulan ini. Saya dengar mereka akan pergi dan biarlah kerana ia keputusan mereka dan bukan satu yang susah... tak ada cerita lain nak tanyakah, balik-balik cerita ini (dakwaan Anwar akan mengambil alih kerajaan)," katanya.

Ditanya sama ada beliau membincangkan soal itu ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, Abdullah berkata beliau memberi penerangan mengenai pelbagai perkara yang berlaku sepanjang minggu.

"Baginda memahami kerajaan melakukan pelbagai perkara bagi meningkatkan pentadbiran demi kepentingan kebajikan rakyat berhubung kenaikan harga minyak mentah dunia serta barangan keperluan.

"Kita tidak boleh duduk diam saja dan berharap perkara akan selesai sendiri. Sudah tentu kita perlu menjalankan tanggungjawab dan mengotakan janji kepada rakyat. Ini termasuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR)," katanya.

Abdullah gembira dengan usaha BPR menambah baik sistem penyampaiannya termasuk pengambilan pegawai, penyediaan latihan, pengauditan dan penyiasatan yang dilakukan secara profesional.

Namun, katanya, tentu ada pihak yang akan menuduh kerajaan berkonspirasi dengan agensi berkenaan seperti sering dilaungkan PKR apabila dua pemimpin mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan berkaitan rasuah.

"Kita tidak boleh memberitahu semua orang apabila ada saja kesalahan yang dilakukan ahli parti pembangkang, maka ia adalah satu konspirasi. Ini perkara gila... yang salah tetap salah sama anda di pihak kerajaan atau pembangkang," katanya.

Bulan lalu, BPR mendakwa lima lelaki termasuk dua Exco Perak daripada PKR di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tuduhan terbabit dengan rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta.

Read More...

Pak Samad Ismail meninggal dunia

Malaysiakini

Sep 4, 08 2:12pm

Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.58 petang tadi di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu.

Kesihatan keadaan allahyarham semakin merosot hari ini, dengan buah pinggangnya sangat lemah, kata anaknya Nuraina.

"Keadaannya tidak bagus langsung, walaupun mesin dialisis sudah dipasang ia tidak menunjukkan perubahan.

"Malah doktor memberitahu buah pinggang ayah sangat lemah ketika ini dan hari ini doktor akan melakukan dialisis lagi untuk melihat perkembangan seterusnya," katanya tengah hari tadi.

samad ismail died past away al fatihah 040908Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Keadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.

Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, esok.

Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |