+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, August 31, 2009

Kepala Lembu: Penduduk tempatan bantah aksi ekstrem

Harakahdaily

Laporan Khas Merdeka oleh Dzulfikar Mashoor
Mon | Aug 31, 09 | 10:09:30 am MYT

SHAH ALAM, 31 Ogos: Sempena dengan hari Kemerdekaan negara 31 Ogos hari ini, kebanyakan penduduk Seksyen 23 menyifatkan demontrasi kepala lembu berdarah dan menconteng dinding dengan kata-kata kesat sebagai sesuatu yang ekstrem, keterlaluan serta tidak menghormati kepelbagaian penganut agama penduduk tempatan.

Dakwaan mereka, insiden terbabit sebenarnya bukan mewakili suara penduduk tempatan yang rata-ratanya berpendidikan tinggi dan berpegangan moral, sebaliknya ia adalah usaha pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik mereka sendiri.

Bagaimanapun, kebanyakan responden tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, memindahkan kuil Hindu ke kawasan kejiranan mereka.

Namun, mereka yang ditemui menegaskan bahawa penduduk setempat hanya bersetuju menggunakan pendekatan bermesyuarat, rundingan, diplomasi dengan semua pihak, termasuk kerajaan negeri dalam isu pemindahan kuil tersebut.

Jumaat lepas, sekumpulan NGO Melayu yang mendakwa mewakili penduduk Seksyen 23 Shah Alam berarak dari Masjid Negeri ke Pejabat SUK Selangor yang menempatkan Pejabat MB, dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah.

Sambil mengarak, mereka menyepak-nyepak kepala lembu itu dan memaki serta megutuk tindakan kerajaan negeri yang memutuskan untuk memindah kuil Hindu di Seksyen 19 ke satu tapak industri di Seksyen 23.

ImageTiga pemimpin kerajaan negeri yang menjadi sasaran mereka iaitu Adun Batu 3 dan Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail, anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan MB, Tan Sri Khalid Ibrahhim.

Kira-kira 10 anggota polis mengawal tindakan mereka namun tidak ada usaha memberhentikannya.

Pada 18 Ogos lalu, akhbar Utusan melaporkan UMNO Selangor akan mengemukakan permohonan mahkamah untuk mendapatkan perintah injunksi bagi mengetepikan keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan majoriti umat Islam di Seksyen 23 itu.

Timbalan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Noh Omar berkata, ini kerana bantahan penduduk terhadap keputusan itu adalah wajar serta mempunyai asas-asas kukuh selain bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang berlandaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah tinjauan Harakahdaily yang menemui penduduk Seksyen 23 sendiri sehari sebelum Kemerdekaan negara bagi mengetahui apa pandangan mereka mengenainya.

PENDAPAT 1

ImageShahril bin Lan, jurujual berkata, "Saya waktu berkumpul mula-mula itu, saya ada datang. Tapi, saya tidak setuju. Saya tidak ikut (sertai mereka).

"Rasa-rasanya cara itu memalukan orang-orang di sini. Saya rasa mentaliti mereka (yang terlibat), ini ada agenda-agenda tertentu, cuba memporak-perandakan ketenteraman.

"Kita lebih suka cara diplomasi. Kalau dah berarak (dengan) kepala lembu, itu nak buat apa benda (melainkan) berniat politik parti-parti tertentu lah. Yang menyertai itu (orang tempatan) sebenarnya adalah lima (atau) enam orang je."

Bagaimanapun, jelasnya lagi, penduduk tempatan rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri, membina kuil di sini.

Antara alasan yang diberikan, majoriti penduduk tempatan di sini, beragama Islam.

"Orang di sini memang tidak suka kuil itu didirikan di sini. Kalau boleh, biarlah (didirikan) jauh sikit dari sini. Sebab di sini majoritinya orang Islam kan."

PENDAPAT 2

ImageNazri Ismail, Akauntan berpendapat insiden terbabit banyak mengganggu emosi kenalan-kenalannya, yang kebanyakkan berbangsa India dan beragama Hindu.

Beliau sendiri yang awalnya tidak ambil peduli cadangan pembinaan kuil di sini pun, mula prihatin isu tersebut.

"Sebenarnya, macam saya kan di pejabat ramai berbangsa India. Jiran saya yang baru pun berbangsa India. Jadi, untuk menghalang dibuat kuil (untuk) mereka itu tidak wajarlah. Tetapi, disebabkan isu-isu yang dibangkitkan sekarang dan untuk jangka masa panjang mungkin ada konflik lain," katanya.

Berhubung cadangan kerajaan negeri untuk membina kuil di sini, beliau juga mencadangkan agarnya ianya dipindahkan ke tempat lain disebabkan insiden melampau terbabit.

"Pada mulanya, saya sendiri tidak kisah. Tetapi, disebabkan isu (dan) tindakan mereka (pelampau) terbabit, saya rasa lebih baik dipindahkan ke kawasan lain."

PENDAPAT 3

ImagePuan Maslina Binti Asmi atau lebih dikenali khalayak tempat sebagai Ustazah Salmi, Guru Kafa mendakwa insiden terbabit dilakukan demi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Bagi saya semua (perarakan kepala lembu) yang berlaku ini dirancang pihak tertentu yang jelas, seolah-olah nak menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (di Selangor)."

Beliau yang juga ahli jawatankuasa Surau al-Jannah, Seksyen 23 mendakwa di sebalik insiden terbabit adalah pemimpin Umno Shah Alam sendiri.

"Sewaktu ketuanya memulakan bantahan (di Surau), bukan sahaja mengarak (dan) memijak-mijak kepala lembu. Mereka mulanya laungkan kalimah takbir (Allahu Akbar), kemudiannya ditukar pada Take Beer (ambil arak). Itu pun menampakkan mereka cuba nak menjatuhkan (negeri) Pakatan Rakyat, memang Umno lah."

Jelasnya lagi, walaupun isu sebenarnya ialah cadangan membina kuil di sini, tetapi yang kelihatan menonjol adalah aksi menconteng pagar berzink yang menutupi kawasan tapak cadangan itu, dengan cacian terhadap pemimpin kerajaan negeri sendiri.

"Sebabnya, daripada isu kuil. Yang mencontengnya lebih pada pemimpin," katanya.

Pada peringkat awalnya, beliau juga secara peribadi tidak bersetuju kuil terbabit dibina di sini.

"Bila jawatankuasa bertindak membantah pembinaan kuil mengutip tanda tangan (sokongan), saya juga menandatanganinya. Tetapi, bila difikirkan balik (semula), jika di situlah yang ditetapkan tempatnya, saya berasa tidak ada masalah."

PENDAPAT 4

ImageBagi Fauzi Ramli, Jurutera turut mengkritik telahan beberapa media, kononnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah dan aksi conteng terbabit merupakan suara sebenar mewakili penduduk tempatan.

"Tengok (menyertai) masa awalnya, saya memang tidak setuju. Mereka melampau. Sebab itu, saya balik (tidak sertai demontrasi tersebut).

"Mula-mula mereka takbir (Allahu Akbar) itu, dengan memakai jubah dan sebagainya. Tapi, saya nampak mereka ini (daripada) muka-muka nampak macam muka (ahli-ahli) Umno, sebab dia pakai songkok, pelik.

"Bila mereka mula memekik 'take beer' (ambil arak), baru saya sedar mereka ini sebenarnya cuba merosakkan imej Pakatan Rakyat, khususnya PAS, seolah-olah menakutkan orang-orang tempatan dengan imej sebegitu melampau.

"Ada di kalangan mereka cakap, mereka adalah ahli PAS seumur hidup, tapi yang menyebut 'take beer', bukannya takbir ini setahu saya pemimpin Umno negeri sahaja," kata Fauzi.

Beliau juga menjelaskan bahawa beberapa hari sebelum tercetusnya demontrasi ekstrem mengarak kepala lembu berdarah itu, sudah kelihatan beberapa kain rentang mengutuk tokoh agama (Islam) tempatan.

"Ada satu kain rentang di simpang jalan masuk, tertulis nama Rodziah (Adun Batu Tiga/PKR), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam/PAS) dan Ustaz Azrul (Pengerusi Surau Seksyen 23) sebagai pengkhianat bangsa (dan) terdapat (lukisan) babi," beritahu beliau.

Tambahnya lagi, surat layang yang berbaur perkauman (Melayu) ekstrem turut disebarkan secara liar dari rumah ke rumah, khususnya kediaman-kediaman penduduk Melayu dan India.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu pembinaan kuil di sini sudah lama diperkatakan secara khabar angin, bukannya baru sehari dua belakangan ini.

"Kalau tidak salah, ianya diumumkan di surau sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Cikgu Zainuddin."

Katanya, "Cikgu Zainuddin sesudah solat Isyak bangkit mengumumkan bahawa akan ada sebuah kuil didirikan di Seksyen 23 ini. Selepas perbincangan di Surau itu, ada dua (atau) tiga orang menawarkan diri untuk menyiasat. Sampai pertemuan kali kedua pun, perkara itu (siasatan) tidak dapat dipastikan."

"Saya hanya sertai beberapa peringkat sahaja, tidaklah sampai mengarak kepala lembu dan conteng sana sini. Kita (ahli jawatankuasa bertindak) hanya bersetuju (melalui mesyuarat) buat referandum penduduk sahaja, dapat sokongan 320 keluar atau lebih 700 tandatangan penduduk (membantah cadangan bina kuil)."

Beliau turut menjelaskan bahawa kebanyakan jawatankuasa bertindak secara asasnya tidak bersetuju dengan cadangan membina kuil di kawasan mereka, namun beliau menafikan bahawa penduduk tempatan sendiri merancang beberapa aksi melampau tersebut.

"Kami tak anjur perhimpunan sebegitu (ekstrem). Tapi, dari klip video Malaysiakini, yang memijak (kepala lembu itu) Ibrahim Sabri, Mahyuddin Manaf (Pengerusi Jawatankuasa Bertindak) dan Haji Azmi."

PENDAPAT 5

ImageRohaya Samad, suri rumah mendakwa bahawa hanya lima orang sahaja dikenali sebagai penduduk tempatan, berdasarkan klip Youtube akhbar elektronik Malaysiakini.

"Akak (Rohaya) sudah tengok video Malaysiakini. Seingat akak, lima orang sahaja penduduk tempatan. Selebihnya tidak (dan) akak tidak kenal."

Jelasnya lagi, jawatankuasa bertindak beberapa kali menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepadanya sebelum ini untuk usaha tersebut, tetapi beliau tidak dapat memberikan komitmen disebabkan ada komitmen peribadi.

Bagaimanapun, beliau yang juga ahli jawatankuasa penduduk tempatan menjelaskan bahawa aksi bantahan dengan menaikkan kain rentang 'Khalid, Rodziah dan Ustaz Azrul pengkhianat Melayu' di pintu masuk Seksyen 23 itu mula disedarinya pada 18 Ogos lalu.

Tambahnya lagi, semalam beliau mendapat sms meminta dirinya membuat laporan polis berhubung usaha penduduk tempatan Hindu mula mencabar penganut Islam, tetapi beliau tidak percaya sms tersebut.

"Dalam sms itu, minta akak pergi buat laporan Polis. (Penganut) Hindu sudah membuat 98 laporan polis (seolah-olah) mencabar umat Islam. Akak tidak percaya. Jiran akak pun India (penganut Hindu), tapi tidaklah seperti yang digambarkan. Akak rasa itu kerja Umno untuk memburukkan orang-orang PAS," katanya.

"Akhbar Umno kata (kepala) lembu berdarah itu bermaksud pemimpin Melayu Pakatan (Rakyat) umpama 'lembu dicucuk hidung', tetapi penganut Hindu anggap suatu penghinaan kepada agama mereka kerana lembu binatang suci (menurut) agama mereka," kata puan Rohaya memberikan pendapatnya.

Beliau turut mempersoal penafian yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Haji Mahyuddin Manaf bahawa dirinya sendiri tidak tahu dari mana datangnya kepala lembu misteri itu.

"Macam mana Tuan Haji Mahyuddin boleh kata tidak tahu, sedangkan dia sendiri memijak-mijak dan tendang kepala lembu itu sebelum ini. Kalau dia tidak tahu, sudah tentu dia halang (aksi ekstrem tersebut)."

PENDAPAT 6

ImageMohd Azrin Azahari, penuntut sebuah universiti di Timur Tengah (sedang bercuti) mendakwa hampir seratus peratus penduduk Islam membantah cadangan pembinaan kuil, tetapi mereka diingatkan agar tidak mencemuh penganut agama-agama lain.

"Kiraan saya, hampir seratus peratus bantah kuil dibina, tapi penduduk sudah diingatkan untuk berdiplomasi (dan) tidak hina penganut agama Hindu di surau dulu," katanya.

Beliau yang mengikuti setiap siri perbincangan peringkat jawatankuasa surau menegaskan bahawa demontrasi melampau mengarak kepala lembu berdarah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.

PENDAPAT 7

Seorang penganut agama Hindu, penduduk tempatan yang enggan identitinya diketahui melahirkan rasa kesal atas apa yang berlaku.

"Saya tidak sangka mereka boleh buat begini (ekstrem). Setiap kali keluar (dari rumah ke tempat) kerja, saya terpaksa lihat semua conteng-conteng hina YB Khalid, Rodziah di dinding.

"Bagaimana mereka boleh hina orang baik ini. Kami (penganut Hindu) tidak pernah minta kuil itu dibina di sini. YB Khalid yang cadangkan ianya dipindah di sini kerana hormat penganut agama lain di sini dan Seksyen 19. Ini Islam sebenar, ini (pemimpin) Melayu sebenar."

ImageCelah isteri ahli perniagaan India itu yang enggan identitinya diketahui kerana takut diganggu kerana ramai kenalannya berbangsa Melayu, menyifatkan perarakan mengangkat kepala lembu berdarah itu suatu yang mengguris emosi penganut agama Hindu.

Bagaimanapun, beliau yakin aksi ekstrem itu bukan mewakili penduduk setempat, tetapi ahli politik tententu dalam Umno.

PENDAPAT 8

Seorang lagi penganut agama Hindu/kakitangan kerajaan yang enggan identitinya diketahui menjelaskan bahawa bukan mudah bagi penganut agama Hindu untuk mengubah kuil berusia 150 tahun dari Seksyen 19 itu ke sini.

"Sepatutnya orang Islam boleh menghargai pengorbanan itu," katanya. Kuil di Seksyen 19 terlalu dekat dengan masjid di sana.

"Lagi pun tapak kuil baru itu sangat jauh dari Surau Seksyen 23 dan kediaman penduduk. Ada pihak kata kuil itu dekat dengan taman permainan di sini, cuba lihat hal sebenar baru tahu ia (tapak kuil) itu cukup jauh," katanya.

"Di Seksyen 16, ada surau lebih dekat dengan kuil. Tiada apa-apa masalah. Orang Islam dan Hindu boleh hormat sama-sama mereka. Di sini, orang politik Umno sebenarnya buat kacau," tambah beliau.

Mewakili lebih 100 keluarga minoriti India tempatan, beliau mendakwa penganut Hindu cukup menghormati Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad kerana menunjukkan amalan Islam yang sebenar dalam politiknya.

Beliau berharap pemimpin-pemimpin Melayu yang didakwanya ahli Umno agar rasional, tidak mengganggu ketenteraman penduduk tempatan.

TINJAUAN SETEMPAT

ImageTinjauan yang dibuat di seeluruh kawasan Seksyen 23 menyaksikan sudah ada sejumlah besar Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di Dewan Serbaguna, di sini sejak dua hari lalu.

Kelihatan juga surat layang berunsur perkauman (Melayu) ekstream bertebaran di atas jalan serta di Surau al-Jannah, Seksyen 23.

Sekitar tapak cadangan membina kuil, kelihatan beberapa individu berpakaian biasa berjaga; dipercayai Special Branch.

Seorang pegawai PGA yang enggan nombor badannya diketahui, menjelaskan bahawa sejak kelmarin beberapa Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang memadamkan contengan-contengan yang berbaur perkauman sempit itu dengan cat ringkas.

Semalam, dua pemuda 'misteri' berbangsa Melayu turut ditangkap di sini kerana cuba menconteng sesuatu di ruang berbekas cat tersebut, kemudiannya dilepaskan dengan amaran.

Seorang pemuda yang lain waktu ditemui, mendakwa bahawa Cikgu Zainuddin merupakan antara dalang yang merancang insiden ekstrem terbabit.

Jelasnya, Cikgu Zainuddin bukan sahaja prejudis dengan bangsa-bangsa lain, malah sedang bertungkus-lumus merampas tampuk kepimpinan Surau al-Jannah Seksyen 23 itu; yang kemudiannya dikatakan akan diubah suai menggunakan dana Zakat Selangor.

Jelasnya lagi, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjemput seluruh penduduk tempatan dan wartawan sendiri menyertai dailog harmoni bersamanya pada Sabtu, 5 September di Dewan Banquet MBSA.

Zainuddin cuba dihubungi untuk mengesahkan dakwaan tersebut pagi tadi, namun gagal.

Insiden ekstrem terbabit walaupun mencabar kemampuan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, namun media arus perdana tidak memberikan liputan menyeluruh.

Dikatakan insiden itu mampu menghakis kepercayaan rakyat Malaysia terhadap usaha kerajaan persekutuan dalam memperkenalkan '1Malaysia' serta meraikan Hari Kebangsaan Malaysia ke-54, hari ini. _

Read More...

Minyak petrol RON95 ganti RON92, 5 sen lebih mahal

Mstar Online

Ia dijual RM1.80 seliter mulai esok

KUALA LUMPUR: Minyak petrol RON95 yang menggantikan RON92 dijual pada harga RM1.80 seliter manakala RON97 pada RM2.05 seliter mulai esok.

Minyak RON95 kini lima sen mahal berbanding paras sebelum ini iaitu RM1.75.

Dalam pada itu, RON97 pula dijadikan produk premium dan harganya RM2.05 seliter berbanding RM1.80 sebelum ini.

Ketika mengumumkan keputusan itu petang tadi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar baru ini ditentukan berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM).

"Walaupun harga sekarang lima sen lebih tinggi, kerajaan masih memberi subsidi 33.81 sen bagi setiap liter (produk RON95) yang bersamaan dengan RM304 juta sebulan," kata beliau selepas melancarkan produk Primax 95 keluaran Petronas di sini.

Kini kerajaan menyediakan subsidi 42.72 sen seliter bagi minyak RON97.

Kos bagi RON95 naik 102 peratus daripada AS$40.75 setong kepada AS$82.30 setong pada Disember 2008 dan bulan ini.

Kata beliau, jika terdapat sebarang perubahan harga pasaran global, kerajaan akan mengkaji semula dengan sewajarnya.

"Ia akan ditentukan oleh Majlis Ekonomi," katanya.

RON95 juga selaras dengan spesifikasi EURO2M di mana ia boleh mengurangkan pencemaran, kata beliau sambil menambah, pengguna akan memperoleh produk berkualiti pada harga yang disubsidi.

Katanya, dengan penetapan harga baru, RON92 akan dihentikan jualan.

Penggunaan RON92 hanya melibatkan lima peratus jualan di negara ini.

Read More...

Harga petrol naik esok

Malaysiakini

Ogos 31, 09 6:55pm

Kerajaan hari ini mengumumkan kenaikan harga petrol RON97 daripada RM1.80 kepada RM2.05 mulai esok.

Manakala harga petrol RON95 yang dilancarkan hari ini - bagi menggantikan RON92 - dijual pada harga RM1.80 seliter.

Kerajaan sebelum ini telah menyatakan bahawa harga petrol akan dinaikan pada 1 September.

Mei lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga petrol gred premium RON97 akan naik 20 sen kepada RM2 seliter, manakala petrol gred rendah RON95 akan dijual pada harga RM1.75 seliter.

Bagaimanapun, kerajaan telah menambah lima sen lagi bagi harga kedua-dua gred tersebut.

Hari ini, Ismail yang melancarkan petrol RON95 berkata, harga RON95 terpaksa dinaikkan lima sen berbanding RM1.75 seliter seperti yang diumumkan Mei lalu kerana harga pasaran minyak dunia yang berubah kini.

"Bagaimanapun harga ini adalah sama dengan harga minyak yang biasa dipakai pengguna sekarang iaitu RON97 (RM1.80 seliter).

"Sepatutnya harga RON95 jika mengikut pasaran dunia ialah RM1.89 seliter, tetapi kerajaan tak mahu rakyat rasa ada kenaikan jadi ditetapkan kepada RM1.80 sahaja," katanya, lapor Bernama.

Ismail Sabri berkata kerajaan menganggar akan dapat mengurangkan tanggungan subsidi sebanyak RM420 juta setahun dengan pelaksanaan RON95 memandangkan harga subsidinya lebih rendah iaitu 38.81 sen seliter berbanding subsidi RON97 sebelum ini iaitu 42.72 sen seliter.

Menurutnya lagi, petrol RON97 pula masih dikekalkan dalam pasaran sebagai produk premium memandangkan ada kenderaan yang memerlukannya terutama kenderaan berkuasa tinggi.

Read More...

Monday, July 20, 2009

Kematian Teo dibunuh SPRM ; Teori Raja Petra

CheguBard

Semuanya telah diberitahu lebih awal. Amaran demi amaran diberikan tetapi tidak dipedulikan kerana yang memberi amaran ialah Malaysia Today. Malaysia Today dianggap bukan sumber maklumat yang sah. Malaysia Today dianggap penyebar khabar-khabar angin dan cerita-verita karut.

Apabila BPR (sekarang SPRM) menculik keluarga seorang inspektor polis, Malaysia Today membongkar cerita tersebut. SPRM menculik isteri dan anak seorang Inspektor polis yang menyiasat tentang ketua kumpulan haram diatas arahan pegawai atasan polis yang berpangkat ASP. Inspector tersebut hanya menjalankan tugas seperti yang diarahkan dan membuka satu fail dan penyiasatan tentang aktiviti pelacuran, pengedaran dadah dan judi haram. Dan ini menyebabkan tiga ketua sindiket ditahan.

Apa yang dimahukan oleh SPRM amat mudah. Mereka mahukan Inspektor polis tersebut mengubah laporannya supaya tiga ketua sindiket tersebut boleh dibebaskan. Dan ispektor polis tersebut perlu melakukannya sekiranya mahukan isteri dan anaknya dibebaskan. Inspektor polis tersebut enggan melakukannya. Sebaliknya dia membuat satu laporan polis. Begitu juga dengan isternya. Tetapi tiada tindakan susulan dibuat oleh pihak polis.

Tiada pegawai SPRM yang ditangkap ataupun diheret kemahkamah kerana kesalahan menculik SPRM kemudian membocorkan maklumat tersebut kepada media bahawa mereka sedang menyiasat seorang pegawai kanan polis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCD), kerana kesalahan tidak mengisytiharkan harta bernilai 27 juta ringgit.

Sepatutnya siasatan SPRM adalah rahsia kerana tertakluk dibawah OSA, tetapi itu tidak menja hal. Lagi pun, OSA hanya digunakan terhadap penyokong pembangkang dan bukan mereka yang berkuasa. Walaubagaimanapun, Pengarah CCD tidak didakwa kerana tidak mengisytiharkan harta bernilai RM27 juta. Dia didakwa kerana menyalahgunakan harta milik polis untuk kegunaan sendiri, sesuatu yang dilakukan oleh semua pegawai kerajaan, menteri dan ahli politik setiap hari dan minggu. Tetapi jenayah sebenar yang dilakukan oleh Pengarah CCD ini ialah menahan beberapa ketua kumpulan haram Cina yang mengawal jenayah pelacuran, Ah long, dadah dan judi haram diseluruh Malaysia.

Mereka menahan peguam yang bertindak bagi pihak Pengarah CCD tersebut. Pegawai SPRM menahan beliau pada malam raya dan menggari beliau selepas memperlakukan seolah-olah peguam tersebut seperti seorang perompak bank. Untuk memastikan peguam tersebut mendapat malu, beliau ditahan dalam operasi ala Hollywod, dimana beliau ditahan dihadapan seluruh staf beliau. Malaysia Today menulis semua ini.

Malaysia Today bukan sahaja menulis semua ini malah mengulang cerita ini berkali-kali untuk memastikan tiada siapa yang terlepas cerita ini. Tapi tiada tindakan dibuat. Tiada siapa yang menafikan cerita ini. Lebih penting lagi, tiada siapa yang melakukan sesuatu tentang apa yang dibongkar oleh Malaysia Today. SPRM telah menjadi alat untuk mereka yang berkuasa untuk sekian lama.

Secara rasmi, BN mempunyai 14 parti komponen dimana Umno menjadi peneraju utama. Secara tak rasmi, BN mempunyai 17 parti komponen. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah komponen ke15, PDRM adalah komponen ke 16, dan SPRM ke 17. Mereka berkhidmat untuk kepentingan Umno dan Perdana Menteri.

Bila ditanya, mereka akan menjawab. “Siapa yang tembak? Mana pistolnya? Mana buktinya?” Tak ada siapa yang menembak…tak ada pistol…tak ada yang mati…jadi tiada jenayah yang berlaku! Hari ini, ada mayat bergelimpangan. Ianya adalah mayat seorang pemuda Cina, setiausaha politik kepada ADUN Seri Kembangan yang ditangkap dan disiksa oleh pegawai SPRM. Ya…dia telah disiksa. Dan dia disiksa kerana SPRM mahu dia bercakap. Tetapi dia tak boleh bercakap. Dia tak bercakap kerana tiada apa-apa yang hendak dicakapkan.

SPRM mahukan beliau memerangkap rakan-rakan dalam pembangkang. SPRM mahu menyabitkan rakan-rakan beliau dalam pembangkang diatas beberapa kesalahan jenayah yang SPRM dakwa dilakukan oleh pembangkang. Dia cuba menerangkan bahawa dia bukan degil. Dia cuba menerangkan bahawa tiada jenayah yang telah dilakukan. Dia cuba menerangkan bahawa rakan-rakannya dalam pembangkang tidak melakukan jenayah dan itu semuanya hanyalah khayalan SPRM.

Jadi, mereka terus menyiksa beliau. Dan dia tidak mampu menahan siksaan. Lagipun, dia bukan lah yang bersifat ‘macho’. Dia merupakan seorang yang berperawakan lembut dan akan berkahwin hari Jumaat ini. Itu sahaja yang dia mahu.

Mereka mengugut akan membunuhnya sekiranya dia tidak mahu bercakap. Dengan linangan airmata, dia meminta belas kasihan dan memohon belas kasihan supaya jangan mengapa-apakan dia. Pegawai SPRM mengugut akan mencampak beliau kebawah sekiranya dia enggan bercakap. Dia menangis dan melutut memohon agar tidak diapa-apakan.

Mereka mengheret beliau ketengah-tengah bilik dan membuka tingkap. Satu kesilapan berlaku. Sepatutnya ia hanyalah satu ugutan. Mereka hanya mahu menimbulkan ketakutan. Mereka sebenarnya tidak mahu menghumban lelaki tersebut kebawah. Mereka hanya mahu beliau melihat kebawah. Lelaki muda tersebut panik. Dia meronta apabila melihat ketinggian dimana dia akan dicampak. Pegawai-pegawai SPRM tidak dapat mengawalnya dan terlepas. Lelaki tersebut terjatuh dan meragut nyawa beliau.

SPRM kemudian mengumumkan bahawa mereka telah membebaskan Teoh Beng Hock malam sebelumnya. Mereka gagal memberitahu bahawa SPRM bukan membebaskan Teoh sebaliknya menghantar Teoh kealam lain. Tiba-tiba mereka menjumpai mayat tersebut. Dia melompat. Dia membunuh diri. Dia mengambil nyawanya sendiri. Dia tidak pernah disiksa. Dia tidak diheret ke tingkap untuk diajar bagaimana hendak terbang.

Keadaan ini sudah berlarutan untuk satu jangka masa yang lama. SPRM bertindak seolah-olah mereka Tuhan. Mereka menculik keluarga dan menyiksa mereka yang ditangkap. Mereka mengugut untuk membunuh sisiapa yang mereka tahan sekiranya enggan bercakap. Dan sekarang, lelaki muda ini telah mati. Tetapi tiada sesiapa yang akan didakwa.

Tiada sesiapa yang akan menerima hukuman kerana lelaki ini mengambil nyawanya sendiri. Mengapa dia mengambil nyawanya sendiri…tiada siapa tahu. Dia tidak pernah disiksa. Dia tidak pernah diugut untuk dibunuh. Dia tidak diheret ketingkap. Dan dia secara tidak sengaja telah terjatuh. Inilah yang akan diberitahu oleh SPRM kepada kita semua. -

translation by MSK (MatSamanKati)

Read More...

Kerajaan Selangor anggap kematian Teoh sebagai tragedi.


Siasahdaily

SHAH ALAM, 17 Julai: Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock sebagai satu tragedi yang amat menyedihkan dan merasai sama kesedihan dengan apa yang ditanggung oleh seluruh anggota keluarga terlibat.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam sidang akhbar tergempar yang diadakan di Bangunan Annex berhampiran Bangunan SUK, dekat sini sekitar jam 8.15 malam malam tadi.

Kebanyakan exco turut serta di dalam sidang media itu yang dihadiri oleh ramai wakil media tempatan meskipun dimaklumkan di dalam masa terdekat.

“Bagi menghormati perasaan kaum keluarga yang sedang bersedih, kita menunggu laporan lanjut dan lengkap dari pihak polis dan patologi; kita tidak mahu mendahului pihak berkaitan termasuk keluarga mereka di dalam memberikan kenyataan.

“Esok sekali lagi Exco Kerajaan Selangor, Teresa Koh akan mengadakan sidang akhbar bersama-sama dengan beberapa orang lagi yang disoal-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor (SPRM) dan bagaimana siasatan itu berlaku,” tegas Tan Sri Khalid lagi.

Untuk rekod, selepas pejabat exco berkenaan, Ean Yong Hian Wah, diserbu oleh pegawai SPRM, Teoh telah diminta ke pejabat SPRM dan beliau memandu sendiri ke pejabat itu yang terletak di Wisma Masalam di sini.

Menurut Khalid lagi, beliau dimaklumkan, Teoh dibebaskan pada jam 3.45 pagi dan berada di sekitar pejabat SPRM itu sehingga pagi, namun dimaklumkan kematiannya oleh seorang petugas di bangunan itu pada jam 1.30 petang semalam.

Di dalam sidang media itu, tidak dimaklumkan tentang punca kematian Teoh ekoran penyelidikan sedang dilakukan dan esok akan dikeluarkan laporan lengkap mengenainya.

Di dalam hal ini, Khalid berkata beliau mendapat jaminan dari Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar mengenai penyiasatan terperinci akan dilakukan ke atas kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ean ketika bercakap kepada wartawan berkata, beliau sangat sedih dan kesal dengan apa yang telah berlaku ke atas pegawainya dan meminta SPRM bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu.

“Beliau akan mendaftar perkahwinannya pada esok hari (hari ini),” jelas Ean di dalam sidang sama sambil menjelaskan Teoh adalah bekas wartawan Sin Chew Jit Poh dan berasal dari Alor Gajah, Melaka.

Read More...

Tambang naik

Berita Harian

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my




Kenaikan 1.2 sen hingga RM31.70 mulai Ogos

KUALA LUMPUR: Kadar tambang lapan pengangkutan awam meningkat antara 2 sen hingga RM6.33 di Semenanjung, manakala di Sabah (2 sen hingga RM31.70) dan Sarawak (1.2 sen hingga RM2), berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Kenaikan itu diluluskan Kabinet pada 17 Jun lalu berikutan peningkatan kos operasi perkhidmatan berkenaan. Kali terakhir kadar tambang bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan kereta sewa dinaikkan pada Mei 2005, manakala bas sekolah pada April 2006.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, ketika mengumumkannya semalam, berkata Kabinet juga menggariskan beberapa langkah penambahbaikan industri pengangkutan awam agar seiring dengan kenaikan tambang itu.

Antaranya:

  • Pemberian diskaun 50 peratus untuk orang kurang upaya dan warga tua berumur 60 tahun ke atas yang menggunakan perkhidmatan bas berhenti-henti, manakala 25 peratus bagi bas ekspres.
  • Kadar tambang bas ekspres di Sabah dan Sarawak diseragamkan.

  • Pengusaha bas ekspres diwajib mematuhi syarat pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer atau empat jam.

  • Menghapuskan kategori bas ekspres tanpa hawa dingin.

  • Memperluaskan perkhidmatan bas mini di kawasan desa yang diperlukan.
  • Mempertingkatkan program latihan bagi membangunkan nilai etika perkhidmatan dan kemahiran pemanduan melalui penubuhan Institut Latihan Pengangkutan Awam Malaysia.

  • Mempamerkan jadual tambang dalam setiap kenderaan pengangkutan awam.

  • Menyenaraihitamkan pemandu yang terbabit dalam kemalangan maut dan yang dipecat kerana melakukan kesalahan melanggar undang-undang.

  • Mewujudkan Bank Data Pemandu bagi memudahkan pengusaha membuat semakan rekod pemandu.

  • Mengkaji penetapan gaji minimum untuk pemandu.

  • Mengkaji pemasangan pengikat kelajuan bas pada had tertentu.

    Pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran kelulusan Fasa 3 kepada 831 pemandu teksi di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, Mohamed Nazri yakin rakyat tidak terkejut dengan kenaikan tambang itu kerana ia sudah diwar-warkan lebih dua bulan lalu.

    "Mereka sudah tahu. Pada masa itu, sudah tentu pandangan diberikan dan akhirnya kita umumkan," katanya.

    Beliau berkata, peningkatan kadar tambang bas ekspres dan berhenti-henti sebanyak 30 peratus juga bukan kenaikan baru, sebaliknya dirasionalisasikan dengan kadar tambang tambahan semasa atau surcaj yang diluluskan sebelum ini.

    Mohamed Nazri berkata, penentuan kadar tambang itu mengambil kira inisiatif serta subsidi diberikan kerajaan, di samping mengimbangi kepentingan pengusaha dan pengguna agar kenaikannya tidak membebankan.

    "Kadar tambang baru adalah had kadar maksimum (siling) dan pengusaha pengangkutan awam dibenar untuk mengenakan tambang lebih rendah daripada kadar ditetapkan. Bagi tujuan kemudahan dalam operasi perkhidmatan bas, teksi dan kereta sewa, kadar tambang akan digenapkan kepada nilai RM0.10 terdekat.

    Kenaikan itu membabitkan 32,921 teksi, bas sekolah (16,343), kereta sewa (19,128), bas berhenti-henti (9,061), bas ekspres (4,998), bas mini (3,168), teksi lapangan terbang (2,814) dan bas pengantara (195).

    Beliau berkata, tambang bas ekspres di seluruh negara bagi kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun dinaikkan daripada 50 peratus kepada 75 peratus berbanding kadar tambang yang ditetapkan, manakala bas sekolah berhawa dingin di Semenanjung dan Sabah dibenar mengenakan tambahan tambang 30 peratus.

    Bagi teksi dan kereta sewa di Semenanjung pula, perkhidmatan antara 12 tengah malam dan 6 pagi dikenakan caj tambahan 50 peratus ke atas kadar yang ditetapkan, manakala tambahan RM2 untuk sewaan melalui telefon.

    Penumpang teksi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Tambang Murah juga dikenakan caj tambahan RM12, Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang (RM7), manakala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah Subang dimansuhkan.

    Caj penumpang melebihi dua orang, bagasi yang diletakkan dalam but kenderaan dan tiga kanak-kanak bawah umur 12 tahun juga dimansuhkan.

    Mohamed Nazri berkata, kaliberasi meter teksi mengikut kadar baru itu boleh dilakukan sehingga Disember depan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) memberi diskaun pemeriksaan khas dengan bayaran hanya RM10 berbanding RM50 sebelum ini.

    Beliau juga meminta pengguna yang ingin membuat aduan terhadap pemandu atau pengusaha pengangkutan awam, melakukannya secara bertulis kepada beliau atau Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan bukan melalui telefon bagi memudahkan siasatan.
  • Read More...

    Chua Jui Meng umum sertai PKR

    Malaysiakini

    Abdul Rahim Sabri
    Jul 18, 09
    4:06pm

    Bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengumumkan keluar dari MCA dan menyertai PKR di di majlis forum anjuran PKR di Sunway.

    Sebelum ini, Chua yang juga bekas menteri naib presiden MCA muncul di majlis tersebut bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Chua sebelum ini mengumumkan melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri Khamis lalu.

    Kira-kira 800 hadirin di majlis itu bertepuk tangan ketika Chua dan Anwar melangkah masuk ke dewan pada jam 3.30 petang.

    Terdapat kain pemidang yang mengucap tahniah kepada Chua kerana menyertai PKR", yang dipegang hadirin ketika Chua berjalan masuk.

    Dalam ucapannya, Chua berkata beliau telah melepaskan jawatan ketua MCA bahagian Bakri untuk menempuh perjalanan baru untuk perubahan.

    Katanya, sebab beliau menyertai PKR ialah kerana sistem dua parti ini berdepan dengan ancaman dari Umno.

    Menurut Chua, beliau yakin telah membuat keputusan yang betul, untuk menyertai PKR, terutama dalam detik penting dalam sejarah negara.

    Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock - setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, menjadi pendorong penting baginya untuk melompat menyertai pembangkang.

    Mayat Teoh ditemui Khamis lalu di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam, selepas disoal siasat semalam oleh SPRM, berhubung dakwaan salahguna wang peruntukan untuk DUN di Selangor.

    Chua hadir bersama bekas senator MCA, David Yeoh dan bekas ahli Parlimen Lumut. Kedua-duanya turut mengumumkan menyertai PKR.

    Dua hari lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Chua akan melompat menyertai PKR.

    Dalam sidang akhbar selepas itu, Chua ditanya mengenai laporan yang menyebut beliau menafikan akan menyertai PKR.

    Dalam jawapannya, Chua menafikan berkata demikian tetapi sebaliknya berkata beliau telah disalahlapor.

    Ada persamaan

    Menurut bekas menteri kesihatan itu, beliau menyertai PKR kerana mempunyai persamaan idealisme dan visi dengan manifesto PKR untuk membawa perubahan di Malaysia.

    “Saya sudah keluarkan manifesto saya beserta dengan idealisme dan visi untuk MCA.

    “Saya membuat perbandingan manifesto beliau (Anwar) dalam agenda Malaysia dan manifesto PKR. Saya nampak isu-isu ada perkiraan yang sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau ada idea-ide yang bercanggah saya tidak akan masuk PKR,” katanya

    Beliau juga menafikan beliau kecewa dengan MCA dan menyifatkan perkara tersebut "tidak berbangkit sama sekali".

    “Pada pemilihan tahun 2008 saya tewas, (kemudian) saya jemput Datuk Seri Ong Tee Keat ke bahagian saya dan minta beliau menjelaskan kepada masyarakat Tiong Hua, walaupun kami bertanding satu jawatan yang sama, atas nama prisip, maka kita boleh kekal berkawan,” katanya.

    Kata Chua, presiden MCA itu, pernah hadir ke bahagiannya sebanyak dua kali selepas beliau kalah dalam permilihan parti tahun lepas.

    Menurutnya lagi, beliau mula membuat pertimbangan untuk menyertai PKR sebelum dan selepas pemilihan MCA pada tahun lalu.

    “Kemasukannya saya ke dalam PKR adalah tanpa syarat.

    “Saya ada idea dan wawasan yang sama dengan PKR. Kalau ada tempat ada platform, tempat itu bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tambahnya.

    Katanya, keputusan untuk menyertai PKR juga dibuat selepas beberapa kali perbincangan dengan Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

    Read More...

    Sambutan 100 hari pemerintahan Najib hanya propaganda

    Harakahdaily

    Abu Firdaus
    Sat | Jul 18, 09 | 7:01:35 am MYT

    Cuba bandingkan 100 hari Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato' Seri Najib Tun Razak. Antara ketiga-tiga itu, sememangnya sepakat bahawa Mahathir adalah pemimpin terbaik dan dianggap antara paling berjaya dalam sejarah Malaysia. Ini pandangan umum, dan bukannya daripada sudut kaca mata pembangkang.

    Tetapi tentunya 100 hari Mahathir sudah sukar untuk diingati kecuali dibuat rujukan terhadap apa yang berlaku ketika itu. Jangka masa 26 tahun adalah lama. Sukar untuk mengingatinya. Tetapi ada antara yang boleh diingat ialah perubahan waktu Malaysia. Apa lagi? Pemakaian tanda nama bagi kaki tangan kerajaan. Termasuk perakam waktu.

    Tetapi 100 hari Abdullah sebenarnya boleh diingati. Ini kerana baru lima tahun lalu. Kenyataan-kenyataan popularnya seperti "bekerja bersama saya", kemudian larangan kakitangan kerajaan mengadakan majlis secara besar-besaran dan membazir, adalah diingati.

    Maka kalau diteliti mungkin 100 hari Abdullah setanding juga dengan Mahathir walaupun tidak dapat mengalahkannya. Bagaimana pula dengan Najib? Kalau diteliti mungkin 100 hari Abdullah lebih hebat. Tetapi hanya dengan kajian yang mendalam antara Mahathir, Abdullah dan Najib, barulah dapat dinilai siapa yang lebih hebat.

    Tidak capai harapan rakyat

    Tetapi apa yang menjadi istimewanya 100 hari? Kalau dilihat ke belakang, kejayaan 100 hari seseorang pemimpin tidak mencerminkan kemampuan seseorang pemimpin sepanjang tempoh pentadbirannya. Contoh terbaik tentunya Abdullah. Jadi, kalaulah 100 hari Najib tidak mencapai harapan rakyat negara ini, maka dia tidak wajar dihukum lagi kerana penilaian akhir ialah apabila selepas tamat jangka waktu pentadbirannya.

    Rumusan apa yang Najib lakukan sepanjang 100 hari ialah tahap propaganda dalam pemerintahannya lebih tinggi daripada isi. Dalam hal ini, ia menepati dengan cara Barisan Nasional menghadapi perubahan cita rasa rakyat yang tercermin dalam pilihan raya umum tahun 2008.

    Dapat dirasakan bahawa BN berazam untuk mengambil balik undi-undinya yang hilang dengan penjenamaan semula diri mereka. Maknanya, mereka berasakan bahawa rakyat menolak BN kerana parti itu gagal memberi gambaran yang menarik tentang diri mereka. Serentak pula rakyat terpengaruh dengan apa yang disebut sebagai dakyah pembangkang.

    Seringkali disebut bahawa maklumat yang disampaikan oleh pembangkang sebagai dakyah. Sementara apa yang disampaikan BN adalah penerangan dan penjelasan. Tetapi apa yang membuat perbezaan antara maklumat, penerangan, penjelasan dan dakyah? Smuanya boleh dilihat sebagai propaganda, yang tidak semestinya memiliki kebenaran atau tidak.

    Justeru, apabila melihat gagasan Satu Malaysia dan peristiwa di mana Najib melawat Petaling Street, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kampung Kerinchi dan Pudu Raya, apakah itu pendekatan baru, dasar baru atau hanya semata-mata propaganda? Tetapi apakah salahnya propaganda? Semua kerajaan, gerakan dan parti, termasuk parti pembangkang melakukan propaganda. Jadi apa salahnya kerajaan membuat propaganda?

    Antara iklan dan maklumat

    Jawapannya, propaganda itu salah. Baik oleh kerajaan mahupun pembangkang. Bagi rakyat, mereka mesti didedahkan perbezaan antara propaganda dengan dasar baru.

    Ia seperti iklan. Pengguna mesti diajar perbezaan antara iklan dan maklumat yang terkandung di dalamnya. Jika tidak, pengguna terpengaruh dengan iklan dan tidak memperoleh apa yang diimpikannya dengan membeli sesuatu barangan. Ini kerana iklan melangkaui hakikat sesuatu produk.

    Maka begitu juga dasar. Rakyat sebagai pengguna politik mesti diajar membezakan antara propaganda dengan dasar baru. Jika tidak, rakyat akan terpengaruh dengan propaganda, dan akhirnya menyokong sesuatu yang sebenarnya mereka tidak suka. Walau apapun kerajaan dan parti-parti politik lakukan, rakyat mesti membuat penilaian, membezakan sesuatu perkara itu daripada propaganda dengan maklumat.

    Jadi slogan Najib yang dibuat untuk 100 harinya ialah Satu Malaysia. Seperti mana-mana propaganda, mereka memerlukan slogan. Istilah propaganda sendiri yang mula dimasyhurkan berlaku semasa Revolusi Perancis. Ia berdiri di atas slogan Kebebasan, Persamaan dan Persaudaraan. Tetapi sejarah menunjukkan hasil sesuatu dasar pasti tidak serupa dengan slogan itu. Ia berlaku dalam sejarah dan terus dapat dilihat.

    Maka begitu juga dengan Satu Malaysia. Sejak awal lagi disebut, ia menimbulkan salah faham dan salah tafsir sehingga ada pihak di kalangan parti kerajaan mengingatkan semua pihak jangan menyalahgunakan slogan itu. Sedangkan mencipta satu slogan itu sudah merupakan salahguna.

    Hak rakyat

    Maka tidak hairanlah ada pihak yang mentafsir Satu Malaysia sebagai Malaysian Malaysia ala-BN. Apa yang disebutkan ialah Satu Malaysia itu menunjukkan kebersamaan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tetapi diingatkan pula apa yang ingin kerajaan perkenalkan tidak akan lari daripada perlembagaan Malaysia. Maknanya hak rakyat menurut kaum masing-masing tidak akan terjejas.

    Ditegaskan bahawa Satu Malaysia bukannya Malaysian Malaysia. Ingatlah bahawa parti Gerakan ada slogan Satu Hati. Akhirnya ia hanya slogan untuk propaganda.

    Maka digariskan dasar-dasar baru yang diperkenalkan oleh kerajaan sepanjang 100 hari lalu. Antaranya ialah menghapuskan keperluan syarat 30 peratus ekuiti bagi Bumiputera untuk menarik pelaburan asing. Juga diperkenalkan Biasiswa Nasional untuk memberi biasiswa menurut merit. Bagi Bumiputera, ia adalah biasiswa untuk bukan Bumiputera. Ini kerana Bumiputera tidak mampu bersaing dalam hal ini.

    Walaupun tidak disebut, tetapi gambaran yang dapat difahami, inilah sebahagian daripada Satu Malaysia. Senang cerita, satu Malaysia bertujuan untuk menarik balik sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional.

    Satu Malaysia adalah Malaysian Malaysia yang diperlembutkan. Justeru, itu sebenarnya adalah propaganda. Seperti mana Malaysian Malaysia sendiri adalah propaganda. Ia juga dapat dilihat daripada lawatan Najib ke Petaling Street.

    Ini membawa kepada konsep 100 hari. Bagaimana dapat dilihat betapa ia dirancang lebih awal. Daripada slogan hingga kepada pengisian dan sampai kepada kemuncaknya iaitu sambutan 100 hari Najib jadi Perdana Menteri. Bagaimana persembahan BN kepada rakyat telah berubah. Ia adalah propaganda.

    Apa yang perlu rakyat ambil berat ialah bezakan propaganda ini. Ini kerana terdapat kefahaman bahawa masalah BN adalah persepsi dan bukannya realiti. Sebab itu BN dan kerajaan pimpinannya memfokus pada mengubah persepsi. Kata-kata politik adalah persepsi sebenarnya mampu mengaburi mata rakyat. Jadi seolah-olah apa yang rakyat fikir bukanlah hakikat tetapi persepsi.

    Sambutan 100 hari ini adalah usaha untuk mengubah persepsi rakyat. Perubahan sememangnya dilakukan tetapi transformasi yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN adalah bukan reformasi. Tidak ada perubahan.

    Sambutan 100 hari adalah propaganda. Sebelas hadiah untuk rakyat itu seperti diskaun pekedai kepada pembeli. Tidakkah patut kerajaan bertindak sebagai jurujual kepada rakyatnya yang menjadi pembeli?

    Read More...

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |