+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Harga minyak tidak naik lagi 2008

Malaysiakini

Jun 11, 08 8:18pm

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Pada masa yang sama, Abdullah juga mengumumkan bahawa gaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Menurut laporan Bernama, harga sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong tahun ini, katanya di sidang akhbar di pejabatnya.

Menurutnya, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia pada masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 seliter, manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Harga tersebut telah disubsidi sebanyak 30 sen seliter petrol.

Keputusan kabinet

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku susulan keputusan tersebut yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan negara, perdana menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

Gaji dua kali sebulan


Sementara itu, Abdullah berkata, langkah membayar gaji kakitangan kerajaan dua kali dalam sebulan bertujuan memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berbuat demikian, Bernama memetik Abdullah sebagai berkata:

"Saya menganggap ini adalah satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja-pekerja kita untuk menguruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting."

Read More...

"Ubah cara hidup" Nasihat Menteri Penerangan

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Rabu, 11 Jun 2008

KL: Rakyat disaran supaya mengubah cara hidup dan mengamalkan budaya lebih berjimat cermat bagi menangani masalah kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran global, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Media di bawah Majlis Menangani Inflasi berkata jawatankuasa itu akan bertindak mengambil langkah-langkah bagi membentuk budaya tidak membazir di kalangan rakyat negara ini.

"Kita akan membetulkan tabiat...mula-mula kita ambil tindakan. Daripada tindakan itu menjadi tabiat...tindakan untuk merubah pembentukan budaya tidak membazir, budaya lebih jimat dan budaya sayangkan negara.

"Kita juga perlu membentuk budaya yang tidak mengambil kesempatan daripada kesempitan. Semua ini adalah memerlukan tindakan bersama.

"Kali ini juga kita mengatasi krisis yang kita hadapi sekarang dan saya percaya kita akan dapat atasinya," katanya pada sesi wawancara dalam rancangan Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini Selasa malam.

Menyentuh tentang keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani isu ini, Ahmad Shabery berkata kerajaan ikhlas dengan apa yang dilakukan.

"Kita berani berdepan dengan sesiapa sahaja untuk membincangkan perkara ini. Saya yakin, keseluruhannya atau majoriti rakyat memahami perkara ini," katanya.

Namun, katanya mungkin terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan apabila orang dalam kesempitan.

Katanya oportunis akan berada di mana-mana bagi mengambil kesempatan.

"Sudah tentulah perkara ini perlu ditangani dan ia memerlukan penerangan yang secara menyeluruh dan rasional."

"Saya percaya rakyat sebenarnya rasional apabila mendengar penerangan dan penerangan ini mesti dipelbagaikan seperti melalui media elektronik, media cetak, media alternatif seperti blog dan internet," katanya.

Menteri itu berkata apa yang paling penting ialah perjumpaan terus dengan rakyat di kalangan kepemimpinan rakyat, dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita mahu juga badan-badan yang terlibat seperti Petronas dan kementerian-kementerian berkenaan turun ke bawah memberi penerangan. Mungkin ada beberapa langkah yang tidak sempurna dan perlu diperbaiki dan kita mahu mendengar pandangan orang ramai bagaimana hendak memperbaikinya."

Menurut beliau apa yang penting sekarang "kita mesti meminta rakyat memahami bahawa masalah yang kita tangani ini bukan masalah kita sahaja dan ini adalah masalah global."

Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat supaya lebih bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah yang dilalui sekarang.

"Kita sentiasa memikirkan jalan penyelesaian, kita sayangkan rakyat dan tidak mahu menghancurkan negara yang kita bina sehingga kini.

"Sebab itu kita minta rakyat lebih sabar dan tenang. Kita terbuka dan mendengar pandangan apakah cara yang terbaik untuk rakyat dan negara, inilah kita hendak ajar masyarakat kita bersedia untuk menerima penstrukturan subsidi" katanya.


Read More...

Gaji menteri vs seruan 'ubah gaya hidup rakyat'

Harakahdaily

Azamin Amin
Wed | Jun 11, 08 | 11:10:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan minggu lalu sehingga 41 peratus amat menjejaskan kehidupan dan meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia.

Namun dalam 'lelah' rakyat Malaysia mendepani kemelut kenaikan harga minyak ini, kelompok menteri yang mempertahankan keputusan kerajaan pula menasihatkan rakyat agar 'mengubah gaya hidup' bagi meringankan penderitaan.

Laungan kelompok menteri bagaimanapun tidak berdasarkan kepada hakikat yang sebenar kerana perbezaan taraf kehidupan antara menteri dan rakyat kebanyakan dari sudut pendapatan cukup ketara.

Pendedahan menarik berhubung gaji dan 'keistimewaan' para menteri di Malaysia ini merupakan satu renungan buat rakyat yang selama ini diseru menteri yang kaya supaya mengubah gaya hidup.

Pendedahan ini pernah disiarkan di dalam beberapa blog dan difahamkan datangnya daripada satu surat yang diemel oleh seorang yang dikenali sebagai pegawai kerajaan di Putrajaya ke laman blog Tranungkite Online tahun lalu yang boleh dijadikan rujukan maklumat betapa besar jumlahnya wang rakyat dibelanjakan oleh Menteri-menteri di Malaysia.

Menurutnya, rekod tersebut adalah berdasarkan kepada pendapatan bulanan menteri kabinet pada tahun 1999 dan pada pendapatnya terdapat sedikit sebanyak perubahan sehingga sekarang.

Berikut adalah perbandingan gaji menteri dengan persoalan 'ubah gaya hidup' yang disarankan kepada rakyat::-

Slip Pendapatan Bulanan bagi Menteri Penuh Malaysia termasuk Ketua-Ketua Menteri:


1. Gaji Pokok RM18,000
2. Elaun Keraian RM10,500.00
3. Elaun Perumahan RM10,800.00
4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
5. Elaun parking RM 5,700.00

Jumlah pendapatan bulanan RM55,650.00 yang wajib diterima sama ada sakit atau tidak bekerja:-

Lain-lain kemudahan

1. Bercuti keluar negara sekali setahun terutama selepas persidangan Dewan Negara- semua perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan termasuk tiket penerbangan, hotel, duit poket sebanyak RM50,000.00. Kalau tidak bercuti keluar negara seorang menteri boleh menuntut sebanyak RM50,000.00 tanpa resit.

2. Bil letrik percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

3. Bil Air percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

4. Bil telefon percuma ditanggung oleh kerajaan Malaysia

5. Peruntukan perkakasan dapor/perhiasan rumah dan lain-lain boleh dituntut setahun sekali sebanyak RM40,000.00

6. Sebuah kereta Mercedes S320, di lengkapi dengan telefon bimbit,satu pemandu,minyak percuma.Kalau guna khidmat pemandu kementerian, dapatlah duit percuma.

7. Semua pemberian derma seperti kepada perkahwinan, kematian,atau pemberian kepada badan kebajikan kebajikan boleh dituntut.

8. Boleh mengadakan rumah terbuka setiap hari raya, segala perbelanjaan ditanggung oleh kerajaan. Kebiasaan Menteri menuntut sebanyak RM400,000.00

9. Setiap menteri biasanya tuntutan mereka sebanyak RM45,000.00 semua elaun perbelanjaan tidak termasuk elaun-elaun dalam slip pendapatan bulanan.

Slip Pendapatan Bulanan Bagi Timbalan Menteri ialah:-


1. Gaji Pokok RM15,000
2. Elaun Keraian RM9,500.00
3. Elaun Perumahan RM9,800.00
4. Elaun Wakil Rakyat RM10,650.00
5. Elaun parking RM 5,700.00

Jumlah pendapatan bulanan RM50,650.00 yang wajib terima samada sakit atau tidak hadir bertugas.

Dan Menteri:-


1. Pengerusi syarikat/lembaga jabatan kerajaan
2. Pengerusi syarikat swasta yg dilantik
3. Pedapatan dari syarikat persendirian seperti kontrak dan lain-lain
4. Pendapatan dari kroni-kroni peribadi
5. Saham yang diberi khas oleh kerajaan sebanyak 300,000 unit setiap masa.
6. Tidak termasuk dari pendapatan luar negara
7. Lain-lain sumber / wann _

Read More...

Sarawak dapat RM1b lagi

Utusan Online

KUCHING 10 Jun - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur asas di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan oleh Jemaah Menteri baru-baru ini dan akan diuruskan Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan rakyat Sarawak tidak jauh ketinggalan dengan penduduk negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut beliau, dengan peruntukan tambahan itu, pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar akan dapat dilaksanakan seterusnya memastikan penduduk dapat menikmati kemudahan yang sepatutnya.

''Ini penting supaya kawasan-kawasan luar bandar tidak dilupakan," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini selepas melakukan lawatan kerja sehari ke Sarawak.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan barisan menteri Kabinet Sarawak.

Pada sidang akhbar itu, selain mengumumkan peruntukan tambahan, Abdullah turut mengumumkan tiga lagi insentif untuk negeri Sarawak.

Ini termasuk peruntukan menyewa helikopter sebanyak RM15,000 yang ditanggung oleh kerajaan Pusat untuk semua Ahli Parlimen bagi melawat kawasan terpencil.

Selain itu, kerajaan Pusat bertekad menghapuskan kemiskinan tegar dan menurunkan kadar kemiskinan di Bumi Kenyalang kepada 2.8 peratus menjelang tahun 2010.

''Kerajaan telah menubuhkan Kumpulan Fokus kemiskinan yang merangka Pelan Kemiskinan dan menyelaraskan pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan," kata Abdullah.

Perdana Menteri berkata, bancian keluarga miskin tegar dan miskin di Sarawak telah siap sebanyak 98 peratus dan dijangka siap sepenuhnya akhir Jun ini.

Tegasnya, sebaik sahaja bancian selesai, kerajaan akan dapat melaksanakan perancangan secara lebih tepat dan berkesan untuk Sarawak.

''Sebagai langkah awal, kerajaan akan memberi tumpuan khusus kepada penyediaan bantuan rumah untuk golongan miskin di bandar dan luar bandar," katanya.

Turut diumumkan ialah penyertaan anak-anak Sarawak dalam perkhidmatan awam Persekutuan dan pengisian ketua-ketua jabatan.

''Sebagai langkah segera, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan skim tukar lantik iaitu melantik Pegawai Perkhidmatan Negeri ke Perkhidmatan Awam Persekutuan di peringkat pertengahan dan tertinggi," kata Abdullah.

Baru-baru ini, kata beliau, Mat Omar Johari, seorang anak Sarawak, telah dilantik sebagai Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak yang baru.

Turut mendapat perhatian Perdana Menteri ialah agihan peruntukan untuk Sarawak yang mengambil kira keluasan, bilangan penduduk dan tahap pembangunan.

Selain itu, kata beliau, kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar bagi setiap Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) untuk Bumi Kenyalang.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), peruntukan yang diluluskan untuk negeri ini terus meningkat kepada RM12.365 bilion yang merupakan peruntukan keempat terbesar selepas Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah.

''Bagaimanapun, keperluan negeri ini sedang dikaji di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 yang akan dimuktamadkan pada Jun ini," kata Abdullah.

Beliau memberitahu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM3.9 bilion untuk penyediaan bekalan air dan elektrik 24 jam bagi sekolah-sekolah di luar bandar.

Katanya lagi, isu-isu kemudahan asas dan isu kekurangan bekalan air dan elektrik luar bandar akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan dan Infrastruktur (JKPI) yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Jun ini.

Perdana Menteri menjelaskan, Sarawak merupakan negeri yang mendapat peruntukan kedua tertinggi bagi tujuan pendidikan di bawah RMK-9 iaitu kira-kira RM3 bilion bagi melaksanakan 2,187 projek.

Read More...

Tip jimat minyak masa gawat

Kosmo Online


PEMANDU yang bijak akan mengikuti kaedah-kaedah yang betul untuk menjimatkan penggunaan petrol. - Gambar hiasan


BUKAN mudah hendak membuang tabiat pemanduan yang salah.

Dengan kebimbangan dan kemarahan yang memuncak, pemandu yang bijak akan melakukan apa sahaja untuk menjimatkan penggunaan petrol.

Mungkin anda sendiri boleh mempraktikkan beberapa tip berikut:

* Apabila lampu isyarat bertukar hijau, anda tidak perlu bergerak laju. Lebih kuat anda menekankan pedal minyak, lebih banyak minyak yang digunakan.

Sebaliknya, tekan perlahan-lahan dan anda dapat menjimatkan banyak petrol daripada dulu.

Jika anda melihat lampu isyarat bertukar kepada merah, cepat-cepat tekan pedal brek daripada menunggu sehingga mencapai ke hujung jalan. Pijak brek secara perlahan agar kereta anda dapat berehat seketika dan ini menjamin ketahanan pad brek.

Kedua-dua tip ini mampu meningkatkan penggunaan petrol sehingga 35 peratus berdasarkan kajian yang dijalankan oleh laman automotif.

* Walaupun tidak menekan minyak dengan kuat, kelajuan boleh menghabiskan banyak petrol. Lebih laju anda memecut, lebih banyak angin yang diperlukan untuk menolak kereta ke depan.

Berdasarkan satu lagi laporan konsumer, pemanduan kereta pada kelajuan 75 batu sejam daripada 65 batu sejam akan mengurangkan penggunaan minyak petrol antara tiga hingga lima batu setiap gelen, bergantung kepada jenis kenderaan.

* Tabiat mengekori kenderaan lain adalah satu perkara yang patut dielakkan.

Selain tidak selamat, perbuatan ini membazirkan minyak kerana setiap kali kereta di hadapan menekan brek, anda terpaksa memijak lebih cepat. Kemudian, anda terpaksa menekan lebih minyak untuk mengejar dan mengekori kereta itu semula.

* Rilekskan diri dan memandu secara hemah. Pastikan kereta anda sejauh dua saat dari kereta di hadapan dengan mengira dua saat dalam hati.

* Anda tidak perlu memulakan enjin dan membiarkannya panas terlalu lama.

Dengan enjin baru yang dipasang pada kereta moden, tabiat ini boleh dikikis tanpa was-was. Dengan membiarkan enjin seminit akan menghabiskan minyak sejauh setengah batu berdasarkan kepada Suruhanjaya Tenaga California.

Sebab itu kereta hibrid akan mematikan enjin gasolin apabila ia berhenti bergerak, walau sesaat. Kita tidak perlu menghentikan enjin pada setiap masa tetapi sekurang-kurangnya matikan enjin sekiranya menunggu kawan berlari ke kedai dan lain-lain.

* Jangan membeli makanan melalui kaunter pandu lalu kerana lebih banyak wang perlu dihabiskan untuk membayar minyak menggoreng ketulan ayam.

Read More...

Potong elaun 10%-Tindakan hanya kaburi mata rakyat: Ghapur


Berita Harian

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyifatkan tindakan memotong elaun keraian anggota Kabinet sebanyak 10 peratus sebagai tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah negara sudah ‘bankrap’.

Malah, beliau mendakwa tindakan itu sekadar ingin mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan juga bertindak mengurangkan perbelanjaan.

"Bagaimanapun, tindakan ini belum tentu dapat menampung kos kenaikan harga minyak dan barang yang naik mendadak kerana rakyat berpendapatan rendah tetap menghadapi kesukaran."Kita juga keliru mengapa baru sekarang Kerajaan Pusat melakukan tindakan pemotongan elaun keraian sedangkan kenaikan harga minyak sudah lama berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah pemotongan elaun keraian jemaah Kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Julai ini.

Abdul Ghapur yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, kerajaan sepatutnya mencari mekanisme khusus bagi menangani pelbagai masalah berikutan kenaikan harga minyak.

"Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan yang berupaya membantu rakyat kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dan menstabilkan ekonomi negara tanpa membebankan rakyat," katanya.

Read More...

Tiada Lagi Kenaikan Harga Minyak Tahun Ini, Kata Abdullah

Bernama

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) - Harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi pada tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata langkah itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Harga sekarang akan dikekalkan walaupun sekiranya harga minyak dunia mencecah US$200 setong pada tahun ini, katanya pada persidangan akhbar di pejabatnya di sini.

Beliau berkata kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia di masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu pada tahun ini.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lepas.

Harga tersebut ialah harga di pam dengan kerajaan masih mensubsidi sebanyak 30 sen bagi setiap liter petrol. Tanpa subsidi harga pasaran petrol tempatan ialah RM3 seliter.

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku ekoran pengumuman kerajaan itu setelah keputusan dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan kerajaan, Perdana Menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

-- BERNAMA


Read More...

'Rakyat membilang butiran beras, pemimpin hadiri jamuan negara' - Mufti Perlis

Harakahdaily

Azamin Amin

Wed | Jun 11, 08 | 12:59:37 pm MYT

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - 'Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.

Demikian antara petikan pendapat Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abdidin berhubung soal pembaziran yang memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat yang turut dikaitkan dengan isu kenaikan harga minyak yang mendadak baru-baru ini.

"Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya.

"Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun," katanya yang dipetik daripada blognya.

Akibat daripada itu kata Asri, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak memperolehi yang selayaknya malah pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka.

"Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas," katanya.

Beliau dilihat tidak bersetuju sekadar untuk 'mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi'.

"Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri?

"Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh 'orang biasa'.

Dr Asri juga turut membangkit persoalan kewajaran di saat 'genting' ini adakah patut orang-orang besar diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka.

"Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan 'berhiburan' dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka?

"Wang itu, wang negara. Wang itu, wang rakyat," katanya yang sedar bahawa beliau mengambil risiko menulis hal ini namun baginya tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala-galanya.

Maka kata Dr Asri alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan.

"Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini," katanya.

Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini katanya perkara-perkara yang disebutkan itu mestilah dipandang serius malah kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. - mks._

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |