+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

"Ubah cara hidup" Nasihat Menteri Penerangan

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Rabu, 11 Jun 2008

KL: Rakyat disaran supaya mengubah cara hidup dan mengamalkan budaya lebih berjimat cermat bagi menangani masalah kenaikan harga minyak dan barangan di pasaran global, kata Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Media di bawah Majlis Menangani Inflasi berkata jawatankuasa itu akan bertindak mengambil langkah-langkah bagi membentuk budaya tidak membazir di kalangan rakyat negara ini.

"Kita akan membetulkan tabiat...mula-mula kita ambil tindakan. Daripada tindakan itu menjadi tabiat...tindakan untuk merubah pembentukan budaya tidak membazir, budaya lebih jimat dan budaya sayangkan negara.

"Kita juga perlu membentuk budaya yang tidak mengambil kesempatan daripada kesempitan. Semua ini adalah memerlukan tindakan bersama.

"Kali ini juga kita mengatasi krisis yang kita hadapi sekarang dan saya percaya kita akan dapat atasinya," katanya pada sesi wawancara dalam rancangan Hello Malaysia terbitan Bernama TV di sini Selasa malam.

Menyentuh tentang keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani isu ini, Ahmad Shabery berkata kerajaan ikhlas dengan apa yang dilakukan.

"Kita berani berdepan dengan sesiapa sahaja untuk membincangkan perkara ini. Saya yakin, keseluruhannya atau majoriti rakyat memahami perkara ini," katanya.

Namun, katanya mungkin terdapat beberapa pihak yang mengambil kesempatan apabila orang dalam kesempitan.

Katanya oportunis akan berada di mana-mana bagi mengambil kesempatan.

"Sudah tentulah perkara ini perlu ditangani dan ia memerlukan penerangan yang secara menyeluruh dan rasional."

"Saya percaya rakyat sebenarnya rasional apabila mendengar penerangan dan penerangan ini mesti dipelbagaikan seperti melalui media elektronik, media cetak, media alternatif seperti blog dan internet," katanya.

Menteri itu berkata apa yang paling penting ialah perjumpaan terus dengan rakyat di kalangan kepemimpinan rakyat, dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita mahu juga badan-badan yang terlibat seperti Petronas dan kementerian-kementerian berkenaan turun ke bawah memberi penerangan. Mungkin ada beberapa langkah yang tidak sempurna dan perlu diperbaiki dan kita mahu mendengar pandangan orang ramai bagaimana hendak memperbaikinya."

Menurut beliau apa yang penting sekarang "kita mesti meminta rakyat memahami bahawa masalah yang kita tangani ini bukan masalah kita sahaja dan ini adalah masalah global."

Sementara itu, beliau menasihatkan rakyat supaya lebih bersabar dan tenang dalam menghadapi masalah yang dilalui sekarang.

"Kita sentiasa memikirkan jalan penyelesaian, kita sayangkan rakyat dan tidak mahu menghancurkan negara yang kita bina sehingga kini.

"Sebab itu kita minta rakyat lebih sabar dan tenang. Kita terbuka dan mendengar pandangan apakah cara yang terbaik untuk rakyat dan negara, inilah kita hendak ajar masyarakat kita bersedia untuk menerima penstrukturan subsidi" katanya.


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |