Mstar Online
11-06-2008 07:51:45 PM
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Bekas Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga sekarang tidak menerima desakan mana-mana pihak supaya berundur daripada menjadi Penasihat Petronas selepas beliau keluar daripada Umno tiga minggu lalu.
Sambil menegaskan tiada masalah untuk melepaskan jawatan tersebut jika ada pihak yang mahu beliau berbuat demikian, Dr. Mahathir mengulangi pendirian bahawa kedudukan Penasihat Petronas bukan jawatan parti. "Saya akan terus kekal. Ini bukan jawatan parti. Ini jawatan lain.Tapi kalau hendak suruh saya berhenti lah. Tak ada masalah," kata beliau kepada mStar Online dalam satu pertemuan di pejabatnya sebagai Penasihat Petronas di sini petang semalam "Setakat ini tiada (desakan) daripada mana-mana meminta berbuat demikian (lepaskan jawatan Presiden)," kata beliau ketika mengulas mengenai status kedudukan beliau sebagai Penasihat Petronas dan sama ada pernah menerima desakan atau tekanan supaya turut melepaskan kedudukan itu. Jelas beliau, Tun Hussein Onn, Perdana Menteri ketika juga pernah menjadi Penasihat Petronas, jawatan yang dikekalkan sehingga beliau meninggal dunia meskipun tidak pernah masuk kembali Umno. Tun Hussein keluar Umno apabila ia diharamkan pada 1988, malah beliau juga merupakan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa sejak 1984 sehingga beliau meninggal dunia. "Dia tak masuk (semula) Umno, dia bukan ahli Umno, beliau kekal jadi Penasihat Petronas sampai meninggal dunia," katanya. Dr. Mahathir dilantik sebagai Penasihat Petronas dan Proton selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri Oktober 2003. Hari ini, Dr. Mahathir juga mengulas mengenai soalan itu dalam blog beliau. Katanya: "Saya percaya bahawa ia bukan (jawatan) eksklusif kepada ahli-ahli Umno." Pada 19 Mei lalu, Dr. Mahathir keluar daripada Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan parti. Turut keluar ialah isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, anak mereka, Datuk Mokhzani Mahathir dan Tan Sri Sanusi Junid. Dalam reaksinya dua minggu lalu, Dr. Mahathir juga pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan berundur tetapi "sedia ditendang keluar." Sementara itu dalam tulisan blog beliau yang dinaik muat selepas temu bual dengan mStar Online petang semalam, di bawah tajuk Sanusi Junid, Dr. Mahathir melahirkan rasa sedih dengan tindakan menamatkan khidmat Sanusi (bekas Naib Presiden Umno) sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). "Mungkin dia (Sanusi) telah melakukan kesalahan yang besar yang tindakan ini perlu diambil. Tetapi secara kebetulan tindakan terhadap Presiden UIA ini diambil "Apakah perbuatan beliau ini yang menyebabkan dianya disingkir?" kata beliau dalam blognya hari ini. Dr. Mahathir menambah: "Saya harap sebab-sebab Tan Sri Sanusi hendak disingkirkan dijelas kepada rakyat. Jangan salahguna kuasa untuk kepentingan diri." Tambah beliau, kepimpinan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) harus ingat bahawa BN bukan lagi menguasai seluruh negara.
|
0 comments:
Post a Comment