Berita Harian
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh, menyifatkan tindakan memotong elaun keraian anggota Kabinet sebanyak 10 peratus sebagai tidak munasabah dan menggambarkan seolah-olah negara sudah ‘bankrap’.
Malah, beliau mendakwa tindakan itu sekadar ingin mengaburi mata rakyat kononnya kerajaan juga bertindak mengurangkan perbelanjaan.
"Bagaimanapun, tindakan ini belum tentu dapat menampung kos kenaikan harga minyak dan barang yang naik mendadak kerana rakyat berpendapatan rendah tetap menghadapi kesukaran."Kita juga keliru mengapa baru sekarang Kerajaan Pusat melakukan tindakan pemotongan elaun keraian sedangkan kenaikan harga minyak sudah lama berlaku," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah pemotongan elaun keraian jemaah Kabinet termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa 1 Julai ini.
Abdul Ghapur yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata, kerajaan sepatutnya mencari mekanisme khusus bagi menangani pelbagai masalah berikutan kenaikan harga minyak.
"Kerajaan tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan yang berupaya membantu rakyat kerana kerajaan bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat dan menstabilkan ekonomi negara tanpa membebankan rakyat," katanya.
0 comments:
Post a Comment