+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, June 11, 2008

Harga minyak tidak naik lagi 2008

Malaysiakini

Jun 11, 08 8:18pm

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol dan diesel tidak akan dinaikkan lagi tahun ini bagi mengurangkan bebanan rakyat.

Pada masa yang sama, Abdullah juga mengumumkan bahawa gaji kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun harga minyak dunia dijangka berada pada paras yang tinggi pada bulan-bulan mendatang.

Menurut laporan Bernama, harga sekarang akan dikekalkan walaupun harga minyak dunia mungkin mencecah AS$200 setong tahun ini, katanya di sidang akhbar di pejabatnya.

Menurutnya, kerajaan tidak menetapkan had siling harga pasaran minyak dunia pada masa akan datang dalam mengekalkan jaminan kerajaan itu.

Katanya, kerajaan sedar rakyat masih lagi sedang berusaha menyesuaikan diri dengan situasi harga minyak yang tinggi ketika ini.

Kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau 41 peratus kepada RM2.70 seliter, manakala harga diesel sebanyak RM1 atau 63 peratus kepada RM2.58 seliter, berkuatkuasa Khamis lalu.

Harga tersebut telah disubsidi sebanyak 30 sen seliter petrol.

Keputusan kabinet

Abdullah berkata harga minyak mentah yang tinggi ketika ini bermakna harga pasaran petrol juga telah meningkat kepada RM3.45 seliter.

"Sekiranya, kerajaan amalkan subsidi 30 sen seliter, harga petrol perlu diubah dari RM2.70 seliter kepada RM3.15 seliter pada bulan Julai," katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak akan berlaku susulan keputusan tersebut yang dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini.

Ditanya sama ada keputusan kerajaan itu akan menjejaskan pendapatan negara, perdana menteri berkata kerajaan berharap akan dapat pendapatan yang lebih daripada Petronas, syarikat minyak negara.

Menjawab soalan lain, Abdullah berkata harga minyak sekarang boleh diturunkan sekiranya harga minyak di pasaran dunia turun.

Gaji dua kali sebulan


Sementara itu, Abdullah berkata, langkah membayar gaji kakitangan kerajaan dua kali dalam sebulan bertujuan memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah.

"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.

"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berbuat demikian, Bernama memetik Abdullah sebagai berkata:

"Saya menganggap ini adalah satu pendekatan yang baik kerana ia membantu pekerja-pekerja kita untuk menguruskan aliran tunai isi rumah. Ini adalah penting."

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |